Ahad, 29 Januari 2012

Pasport

Pertama kali aku memiliki pasport ialah sekitar tahun 1982/1983. Waktu itu aku masih belajar di sekolah. Oleh sebab sekolah membuat lawatan ke Singapura, maka aku terpaksa membuat Pasport Terhad Singapura. Terlupa pula bayaran yang dikenakan. Itulah kali pertama dan kali terakhir aku ke Singapura. Pada tahun 1994, sekali lagi aku membuat pasport - Pasport Malaysia - kerana Inst. Bahasa Melayu (kini IPGKBM) bercadang membuat lawatan ke Indonesia. Bayarannya ialah RM300.00. Kini, tahun 2012 sekali lagi aku membuat pasport (bayarannya RM5.00) yang dinamakan Dokumen Perjalanan Terhad, dikeluarkan oleh Pejabatan Imigresen Sabah cawangan Tawau. Dengan pasport ini aku dibenarkan tinggal di Sabah sehingga 2017. Sebelum itu, aku diberikan Pas Lawatan untuk tinggal di Sabah selama 30 hari. Rupa-rupanya, kerajaan Sabah dan sarawak menganggap warganegara Malaysia dari Semenanjung sebagai pelawat. Statusnya sama dengan warga asing. Bezanya, rakyat Semenanjung boleh menggunakan kad pengenalan. Memang hati kecilku terarasa undang-undang ini menyusahkan dan tidak perlu.  Terasa aneh apabila disyaratkan kepada rakyat Malaysia dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak perlu diberikan Pas Lawatan atau menggunakan pasport, sedangkan syarat ini tidak dikenakan terhadap rakyat Sabah dan Sarawak yang berkunjung ke Semenanjung.  Saya fikir undang-undang imigresen ini perlu dimansuhkan kerana tidak menggambarkan ciri-ciri 1Malaysia.  

Jumaat, 27 Januari 2012

Datuk Dr Mohamed Hassan Ali

Pemecatan serta-merta Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia, Datuk Dr. Mohamed Hassan Ali, daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membuktikan bahawa bukan senang memperjuangkan Islam dan ketuanan Melayu di tanah airnya sendiri. Juga membuktikan bahawa PAS bukan parti yang memperjuangkan Islam dan Melayu sepenuhnya, sebagaimana anggapan umum. Kalau UMNO dianggap parti Melayu yang menjadi parasit Melayu dan ketuanan Melayu serta Islam, prinsip beliau yang berusaha membela Islam, membela Melayu dan ketuanan Melayu, serta membela raja-raja Melayu telah dianggap merugikan parti dan Pakatan Rakyat.  Kalau bekas ahli UMNO yang dipecat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi ‘hantu’ kepada UMNO dan Barisan Nasional, pemecatan tergesa-gesa Datuk Dr Mohamed Hassan Ali pula bakal menjadi ‘hantu’ kepada PAS dan Pakatan Rakyat.  Namun, wajarkah beliau menjadi ‘hantu’ dan membakar kelambu yang pernah menjadi tempat menterjemah mimpi? Saya fikir lebih baik Datuk Dr Mohamed Hassan Ali memilih jalan yang dipilih oleh Lee Lam Thye apabila keluar daripada DAP. Beliau tidak menyertai mana-mana parti, sebaliknya terus memberi khidmat sosial kepada masyarakat. Khidmat ini lebih dihargai berbanding khidmat sebagai ahli politik. Barangkali beliau boleh memfokuskan isu akidah orang Islam sebagai landas khidmat sosialnya.

Rabu, 25 Januari 2012

Keadilan Sosial


Demonstrasi Natrah
Menurut DS Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam bukunya, Menjuarai Tranformasi, "Perpaduan tidak mampu dipupuk dengan hanya menggunakan mekanisme politik tanpa disertai asas sosioekonomi bertunjangkan keadilan sosial" (ms. 24). Saya berpendapat perihal keadilan sosial sering kali tidak dapat diterjemahkan oleh agensi kerajaan sendiri. Umpamanya, hak kontrak sosial orang Melayu, diskriminasi kenaikan pangkat one-off staf akademik IPG, pencabulan terhadap hak demonstrasi jalanan secara aman, kegagalan SPR melaksanakan pilihan raya adil misalnya adalah contoh ketidakadilan sosial yang melanda masyarakat di negara ini. Demonstrasi jalanan di Malaysia dipelopori UMNO kini sedaya-upaya dilabelkan sebagai negatif. Sedangkan, demonstrasi jalanan merupakan jalan akhir setelah rundingan senyap gagal. Menuduh demonstrasi jalanan di Malaysia sebagai ganas merupakan satu usaha mereka yang gila kuasa, atau separa waras untuk bertindak sewenangannya. Sebarang sikap dan tindakan yang membelakangi keadilan sosial akan memusibahkan semua pihak. Tegas DS Mohd Najib lagi, "Manusia yang memperoleh pengajaran yang betul daripada peristiwa sejarah dapat mengelak daripada melakukan kesilapan dan tindakan yang membawa kepada kejatuhan sesebuah negara mahupun tamadun" (ms. 17).

Durian Belanda

Nama saintifiknya ialah  Annona muricata L. Buah ini berasal dari hutan tropika Carribean dan kini banyak tumbuh di Asia Tenggara. Dahulu, semasa di kampung, aku membiarkan tumbuh, berbuah dan gugur begitu sahaja. Amat jarang aku memakannya. Namun kini, Durian Belanda telah menjadi buahan ekslusif. Harganya naik mendadak setelah diketahui khasiat. Di Kota Bharu, Durian Belanda dijual secara timbang dengan harga RM14.00 sekilo. Namun di Tawau, isteriku membeli sebiji Durian Belanda yang beratnya lebih tiga kilo dengan harga RM3.00. Malangnya, amat sukar diperoleh. Menurut laporan dari http//:wwwdurianbelanda.com, buah berduri lembut dan berkulit lembut ini mempunyai banyak khasiat. Antaranya, dipercayai dapat mengubat penyakit darah tinggi, kencing manis, gastrik, masalah jantung, penyakit hati, sakit sendi dan sengal anggota tubuh, dapat meningkatkan susu badan wanita, elak ketengangan, boleh dijadikan ubat penyakit malaria, ulser perut, antibakteria, antikanser, antitumor, astrigen dan sakit saraf, Isinya yang lembit boleh dimakan terus atau dibuat jus. Malah, daunnya juga boleh dibuat teh. Selamat mencuba.

Selasa, 24 Januari 2012

Berkunjung ke Kunak

Jarak Kunak dari Balung sekitar 50 KM. Jalannya mendatar dengan hiasan ladang kelapa sawit berselang pohon pisang, durian, rambutan dan hutan. Nama daerah seluas 438 batu persegi (1134 KM) ini sempena nama kapal kepunyaan Straits Steamship Company yang berlabuh di Lahad Datu sekitar 1960, di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Kunak. Walaupun baru mendapat nama, daerah Kunak yang terletak di Pantai Timur Sabah, telah pun didiami manusia sejak 30,000SM, khususnya di Tingkayu. Penduduknya sekitar  60,086 orang dari etnik Bajau, Bugis, Suluk, Cocos dan lain-lain.  Majoriti (95%) beragama Islam. Perjalanan ke Pekan Kunak akan menempuh bandar baru Kunak yang sedang berkembang dengan dua stesen minyak (Esso dan Petronas), beberapa deretan bangunan kedai (majoritinya kedai perabut dan pakaian), pasar, balai polis, sekolah, KFC, dan sebuah hospital. Jalannya berakhir ke bandar lama. Di kiri dan kanan bandar lama berderetan bangunan kedai kayu serta beberapa pentempatan rumah di atas air. Jalannya agak sesak. Selain peladangan sawit, kegiatan ekonomi masyarakat Kunak ialah pertaniabn dan menangkap ikan. Justeru, di sini kaya dengan hasil maritim yang segar dan murah. Walaupun terdapat perpustakaan awam, daerah yang mempunyai dua mukim ini - Mukim Madai dan Mukim Pangi - tidak mempunyai kedai atau gerai menjual bahan-bahan bacaan, termasuk akhbar. Ini kekurangan yang perlu diatasi agar pembangunan fizikal seimbang dengan pembangunan interlektual.

Ahad, 22 Januari 2012

Menu Pagi

Kata pepatah, 'lain padang lain belalang.' Demikian juga sikap dan cita rasa manusia. Semasa tinggal di Kuala Lumpur, menu pagi masyarakatnya ialah roti canai atau nasi lemak dipadankan dengan teh tarik. Menu pagi masyarakat di Kelantan pula ialah nasi berlauk, nasi kerabu, nasi dagang dan pelbagai kuih-muih. Namun begitu, lain pula menu pagi masyarakat Tawau. Saya belum ketemu roti canai, namun ada dijual nasi lemak. Satu kelainan menu pagi masyarakat Tawau ialah pisang goreng, cempedak goreng, roti sandwic goreng. Pisang dan cempedak goreng itu dicicah kicap berlada (cili pedas). Dua jenis makanan ini terus dijual dari pagi sampai ke petang. Lazimnya, pisang goreng dan cempedak goreng di Semenanjung menjadi hidangan petang sahaja. Satu hal yang istimewa ialah harga pisangnya ialah RM1.00 sesisir.  Masakan mereka amat kurang gulai-menggulai (kari). Ini menjadi masalah kerana aku suka kari/kuah. Sambalnya tidak pedas langsung. Namun, ada cili yang sangat pedas dijual. Air pula amat tidak menyelerakan masyarakat Kelantan kerana tawar. Susu disebut 'nain.' Kalau anda memesan teh susu sebut saja 'teh nain / kopi nain.' Ada juga teh tarik. Sejak berada di Tawau, menu pagi aku ialah sama ada nasi lemak + teh nain / kopi nain atau kuih + teh nain / kopi nain.

Pasar Tamu

Pagi ini aku berkunjung ke Pasar Tamu. Letaknya di Jalan Apas, antara Bandar Seri Indah ke persimpangan Lapangan Terbang Tawau. Konsepnya sama sahaja dengan istilah Pasar Minggu / Pasar Pagi atau Pasar Malam di semenanjung. Pasar Tamu diadakan separuh hari sebelah pagi. Di sini juga ada pasar malam.

Harga barang-barang dijual tidak mahal. Purata kuih ialah RM1.00 untuk empat biji. Misalnya, karipap dalam gambar di sebelah. Kuih-muihnya sama sahaja dengan kuih-muih di semenanjung seperti kuih gulung, cucur, kuih seri muka, donat dan sebagainya, Namun, pulut pianggang lebih besar dan berintikan antaranya sambal udang, ikan, atau kacang (seperti adunan dalam ampan). Pada bahagian hujung daun pisang dilipat ke dalam (kalau di Kelantan diselitkan dengan lidi atau distaplerkan.  Pakaian bander pula antara Rm2.00 (baju) - RM10.00 (seluar).  Ada pelbagai jenis sayur. Paling banyak terung, labu dan sawi. Harga beras dan ikan lebih murah dari semenanjung. Namun, harga ayam daging lebih mahal. Ada juga dijual ayam hidup. Walau apapun, kebanyakan barangan masih boleh dibeli dengan harga RM1.00.

Rabu, 18 Januari 2012

Pengalaman di Tempat Baru

Seramai 18 orang tenaga baru dari serata IPGK yang dihantar ke IPGK ini pada tahun ini. Sebahagian besar tidak dapat mengajar kerana memang di sini kekurangan pelajar dan opsyen. Maknanya, menambahkan lagi lebihan pensyarah dan meninggalkan tempat asal yang memang tidak cukup pensyarah. Tetapi disebabkan kuata, kami terpaksa meninggalkan tempat yang tidak cukup pensyarah ke tempat sudah berlebihan pensyarah. Itulah cara IPGM berfikir - kuata.

Di sini, kami diberikan satu ruangan 'workstation' (patisyen) sekitar sedepa lebar dan sedepa panjang (kaji gambar), dan beberapa barang berikut:
  1. 1 batang Artline 70 high performance (biru)
  2. 1 batang Artline 70 high performance (merah)
  3. 1 buah almari besi
  4. 1 buah kipas meja (kipas ini sudah hilang, semalam, mungkin tuan asalnya ambil)
  5. 1 kotak klip kertas
  6. 1 batang gam Uhu stic
  7. 1 buah stapler max HD-10
  8. 1 kotak damai kokok no. 10
  9. 1 bakul sampah
  10. 1 gelung saletap
  11. 1 pisau NT Cutter
  12. 1 fail kulit keras bersaiz 50mm
Tidak tahu rasional barang 1 dan 2 kerana lazimnya aku menggunakan 'whiteboard marker' untuk menulis. Kertas dokumen makin banyak diterima, namun tiada fail untuk menyimpannya. Aku diberikan beberapa jawatan, namun belum ada lagi serahan tugas oleh Jawatankuasa lama. Aku juga diberikan subjek mengajar (BMM BM berbantu komputer) 3 jam seminggu. Subjek ini tidak mampu diajar oleh pensyarah BM (termasuk aku) kerana kurang pengetahuan menggunakan komputer. Aku menerima juga kerana tiada pensyarah sanggup menerima. Semua ini jauh berbeza di dua tempat lama aku mengajar yang 'mewah' dengan peralatan, kemudahan dan bekerja berasaskan kepakaran.

Ahad, 15 Januari 2012

Cerita Madi

Kereta yang kuambil dari kontena pada petang 12 Januari 2012 tidak dapat dihidupkan  selepas aku mengisi minyak pada pukul 10.00 malam. Kebetulan ada jip di sebelah, lantas aku mohon pertolongannya untuk 'jumper.' Malangnya, enjin kereta Kia Spectra 1.6 itu tetap 'mogok.' Madi (nama pemandu jip itu) menukarkan bateri keretaku dengan bateri rezab jipnya. Ditakdirkan Allah, enjin keretaku  hidup. Aku bercadang  membeli baterinya, namun Madi tidak mahu menjual. Katanya, "Itu bateri lama, kasi pinjam saja." Aku cuba memberi 'duit minum' atas kesudian dan jasanya menolong aku. Sekali lagi Madi berkeras tidak mahu menerima. Aku berjanji akan memulangkan bateri itu keesokan hari. Madi meminta aku menggunakan bateri itu sehingga hari kedua. Katanya, dia bekerja di Kunak dan balik ke Tawau setelah dua atau tiga hari di sana. Madi tidak datang pada hari dijanjikan. Setelah menghantar SMS, Madi menjawab, "Aku di Kunak masi." Hari ketiga baru dapat aku memulangkan bateri itu. Terima kasih, Madi, kerana menolong kami seikhlas nabi. Berdasarkan stiker di jip, Madi merupakan ahli Kelab Kembara Tawau. Sukar ketemu orang seperti Madi yang menaruh kepercayaan  walaupun kami tidak pernah bertemu. Sesungguhnya, Madi merupakan duta kecil rakyat Sabah yang membasmikan kebimbanganku terhadap keselamatan diri di sini. Benarlah kata rakan-rakan bahawa Tawau merupakan tempat paling selamat di Malaysia. Semoga hidup dan jasamu, Madi (dan keluargamu juga), dirahmati Allah. Aminnnnnnnnnnnnnn.

Fenomena Nazri

Malaysiakini, 13 Januari 2012 melalui wartawan Jimadie Shah Othman melaporkan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, mengaku menghalang cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya  (SPR) menggunakan dakwat kekal dalam PRU 12 pada tahun 2008. Alasan beliau kerana berbangkit isu perlembagaan berhubung hak warganegara berumur lebih 21 tahun untuk mengundi. Laporan pihak polis pula mengatakan pembatalan itu disebabkan ada pihak mengimport dakwat kekal dan bimbang disalahgunakan dalam PRU 12. Seingat aku tidak pernah membaca ada warga berumur 21 tahun membantah cadangan SPR itu. Pada fikiran aku, pembatalan penggunaan dakwat kekal itu merupakan antara sebab BN kalah teruk dalam PRU 12, memburukkan imej SPR dan pengerusinya (ketika itu) Datuk Abdul Rashid. Ini bererti Nazri merupakan antara  menyumbang kekalahan BN. Barangkali pihak polis pula terpaksa mengada-adakan cerita kerana sehingga hari ini tiada tangkapan dibuat terhadap pihak mengimport dakwat kekal.

Sabtu, 14 Januari 2012

Fasa 3 DG48 IPG

Entah di mana silapnya, pengumuman Fasa 3 kenaikan 'one-off' DG44 ke DG48 para pensyarah IPG terus mengundang kontroversi. Ramai pensyarah yang layak masih tercicir. Malah, beberapa nama yang diumumkan pada akhir tahun 2010 dan ditahan pemprosesannya, juga tercicir apabila diumumkan kembali pada akhir tahun 2011. Pada fikiran aku, hal ini terjadi kerana terlalu banyak karenah dan ketidaktelusan dari pihak IPGM dan IPGK yang menetapkan pelbagai syarat. Sedangkan, kenaikan dalam Fasa 1 dan Fasa 2 (DG44 ke DG48, DG48 ke DG52 dan DG52 ke DG54) tidak bersyarat. Antara lain karenah yang dikenal pasti ialah pemberian markah prestasi di bawah paras 90.  Bagi pentadbir IPGK berprinsip bahawa markah 90 ke atas hanya layak kepada mereka yang terlibat dalam aktiviti di peringkat antarabangsa. Akibatnya, sekali lagi para pensyarah malang di IPGK protes dan mendesak penjelasan dari pengarah. Satu pengajaran penting patut diteladani oleh para pengarah dan penilai prestasi di IPGK ialah tidak kedekut markah dan mengambil berat kebajikan kakitangannya. Pemberian ganjaran biarlah adil dan setimpal dengan tanggungjawab yang dilaksanakan oleh mereka.

Jumaat, 13 Januari 2012

Tahun Terpanas Dunia

Akhbar Berita Minggu bertarikh 8 Januari 2012 melaporkan bahawa tahun 2012 merupakan Tahun Terpanas Dunia setelah 160 tahun sejak 1850. Suhu dijangka meningkat sebanyak 0.48 darjah. Patutlah, semalam (12 Januari) ketika aku memandu ke pekan Tawau, aku merasai cuacanya membahang. Aku merunggut kepada isteri, "Kata Sabah negeri di bawah bayu, tetapi cuaca panas,"  Pengakuan aku itu dipersetujui isteri, Katanya, "Mana bayunya?" 

Pagi tadi baru aku dapat membaca akhbar Berita Minggu berkenaan, maka fahamlah aku akan cuaca dunia yang sedang menghangat sekarang. Aku bermohon yang amat kepada Allah agar tidak menghantar kemarau ke Tawau kerana masyarakat di sini sering menghadapi masalah air. Juga aku bermohon agar Allah jauhi kami daripada angkara La Nina dan rakan-rakannya.

Khamis, 12 Januari 2012

Jam

Alangkah baik sekiranya jam berada di tanganku dan aku berkuasa terhadap jam itu: mengawal pergerakan jarum panjang dan jarum pendeknya. Dengan itu aku tidak ketinggalan masa. Dan, yang lebih penting aku dapat menentukan masa tanpa mengubah sifat masa. Aku tidak akan mengalami kejutan (budaya) masa. Semasa di semenanjung aku bangun sekitar pukul 6.00. Alam gelap bertukar kecerahan warna sekitar pukul 6.35. Namun, lain pula penerimaan masa yang aku alami di Tawau. Waktu solat Subuh mula sekitar 4.55 pagi. Alam mulai cerah pada pukul 6.00 pagi (gambar atas). Malam bermula pukul 6.30 petang. Manakala waktu kerja bermula  pukul 7.30 / 8.00 pagi hingga 4.30 / 5.00 petang. Sedangkan, alam pada pukul 6.30 pagi (gambar bawah) sudah cerah. Agak membazir masa kerana terpaksa menunggu waktu kerja ditetapkan. Oleh sebab itu aku berkata, alangkah baik sekiranya jam berada di tanganku dan aku dapat mengubahnya. Akan aku ubah masa mula bekerja, sama ada pukul 6.30 atau 7.00 atau 7.30 atau kekal 8.00 pagi. Terpulanglah pada pilihan. Yang penting aku tidak tergesa-gesa pulang pada pukul 4.30 petang kerana suasana sekitar pukul 6.30 petang sudah mulai gelap dan sudah masuk waktu solat Magrib.

Selasa, 10 Januari 2012

Menjuarai Tranformasi

Terdapat 11 tajuk buku dwibahasa ini, iaitu "Melayu dan Kepimpinan," Memperkukuh Jati Diri," "Meneraju Bangsa," "Menyatu Bangsa Membina Negara," "Mendukung Keluhuran Perlembagaan," "Meneraju Negara," "Rakyat dan Demokrasi," "Berdiri Sama Tinggi," "Pencetus Perubahan," "Hak, Kebebasan dan Keselamatan Negara," dan "Tranformasi untuk Menjuari Kegemilangan." Sekali gus buku ini merupakan janji DS Mohd Najib sebagai peneraju negara di bawah dasar 1 Malaysia, seperti katanya, "... kita sentiasa berpegang kepada tiga prinsip utama, iaitu kesatuan Melayu sebagai teras perpaduan nasional; Islam sebagai addin dan kemakmuran negara sebagai tonggak keadilan sosial." Berdasarkan beberapa fenomena yang berlaku saya khuatir hal ini tidak difahami oleh hulubalang beliau serta institusi pengerak sehingga membawa lumpur hitam kepada kerajaan. Kes Liwat 2, Fidlot, keganasan polis, kerakusan ahli politik tertentu, tuntutan Bersih 2.0, perpecahan Melayu misalnya ternyata berada di luar wilayah roh kata-kata DS Mohd Najib di atas.

Keganasan Polis

Orang Melayu dikenali sebagai bangsa bersopan-santun dan kaya adab susila. Mereka bercakap dan bertindak secara berkias. Sedaya-upaya menghindari keganasan. Maknanya, orang Melayu tidak suka akan keganasan. Namun hal ini seakan-akan mitos terhadap orang Melayu moden dan lebih-lebih lagi kepada generasi pascamerdeka. Keganasan komunis yang diwarwarkan kepada kami tidak sebagaimana keganasan sesetengah anggota polis. Misalnya keganasan polis terhadap para demontrasi aman. Telah banyak cadangan penambahbaikan dikemuka, namun semua itu seakan sia-sia. Hal ini amat malang kerana sebarang tindakan tidak berhemah sesetengah anggota polis akan memberi kesan negatif seperti menambah dan melebarkan wilayah kebencian rakyat terhadap kerajaan dan partai memerintah.

Kebebasan Akademik

Sajak saya berjudul 'Jangan Bunuh Universiti' (BM, 6 Mac 2005) menuntut kebebasan akademik dan peranan universiti sebagai pembina modal insan. Sepatutnya universiti bebas daripada gangguan sebarang idealisme politik. Biar mahasiswa berbahas tentang pelbagai ilmu dan ideologi ilmu yang ada di dunia ini. Namun, apabila mahasiswa terpaksa berdemonstrasi menuntut kebebasan akademik, rupa-rupanya permasalahan zaman Mahathirisme itu masih berlaku di zaman 1 Malaysia. Justeru, saya setuju tindakan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) di bawah pimpinan Adam Adli Abdul Halim berdemonstrasi. Bukan kerja mahasiswa berdemonstrasi melainkan terpaksa kerana tiada lagi jalan perbincangan. Ternyata, tindakan LMP itu berjaya membuka telinga para pemimpin nasional dan mereka yang pekak terpaksa membeli alat pendengaran. Soalnya, siapakah dan apakah yang menyebabkan mahasiswa berdemonstrasi? Hal ini perlu ditangani agar universiti kita dihormati dan bertaraf dunia.

Isnin, 9 Januari 2012

Sasterawan Negara A. Samad Said

Aku mengenali nama Sasterawan Negara A. Samad Said setelah aku mengenali dan mengauli dunia sastera. Sejak itu, apabila ditanya tentang pengarang dan karya diminati, beliaulah antaranya. Namanya diangkat oleh A. Teauw  melalui novel Salina. Setelah membaca karya-karya beliau, aku berpendapat beliau merupakan pejuang kemanusiaan. Beliau berjuang memperlihatkan masyarakat mangsa perang dan idealisme bangsanya. Hal ini jelas kelihatan dalam novel Salina, Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang, Daerah Zeni, Hujan Pagi dan sebagainya. Kini, beliau memasuki fasal kedua, iaitu berjuang membebaskan keunggulan bangsa daripada kekejaman bangsanya sendiri. Sajaknya, Peludah Warna, merupakan bukti akan kesasauan pemerintah terhadap bangsa dan kebangsaannya, dan terhadap negara dan kenegaraannya.

Ahad, 8 Januari 2012

Tulisan Mati

Sekitar tahun 1980-an, tulisan trengkas masih hidup. Ramai yang mempelajari trengkas bagi kegunaan dalam bidang kewartawanan, setiausaha, perkeranian dan sebagainya. Lazimnya, tulisan trengkas ditawarkan bersama-sama kelas menaip. Justeru, banyak kelas menaip dan trengkas wujud di setiap daerah pada masa itu. Namun, tulisan ini sudah mati. Generasi muda tidak mempelajarinya disebabkan tiada kepentingan. Bidang-bidang pekerjaan di atas tidak lagi mencari calon yang pandai trengkas sebagai syarat pemilihan. Nasib malang yang menimpa tulisan trengkas ini boleh berulang terhadap tulisan rumi bahasa Melayu, jika bangsanya atau pemerintah terus meminggirkan bahasa Melayu daripada arus perdana negara. Sekarang ini, tulisan yang sedang nazak ialah tulisan Jawi. Usaha meminggirkannya bermula sekitar tahun 1970. Kini sudah ramai orang Melayu tidak boleh membaca atau menulis Jawi. Kesan pertama peminggiran tulisan Jawi menimpa akhbar Utusan Melayu. Dan kini, ramai orang Melayu tidak pandai membaca al-Quran. 

Sabah dan 1 Malaysia

Aku tiba di Lapangan Terbang Tawau pada  pukul 6.35 petang pada 2 Disember 2011. Keadaan sekitar sudah gelap-gelemat. Nasib baik aku dijemput oleh Encik Hamzah Lasa yang membawa aku ke tempat penginapan. Ini kali pertama aku menempuh suasana malam pada pukul 6.30 petang (malam). Walaupun penerbangan domestik, aku terpaksa melalui pemeriksaan imigresen. Setelah menghulurkan kad pengenalan, pegawai imigresen memberi sekeping pas pelawat. Pas itu membenarkan aku tinggal selama 90 hari di Sabah. Sambil berjalan keluar, hati kecilku berbisik, "Adakah negeri Sabah ini sebahagian daripada Malaysia? Adakah Sabah ditadbir di bawah sistem pemerintahan 1 Malaysia? Adakah aku ini bukan warganegara Malaysia?" Kalau "ya," mengapakah warganegara Malaysia dihadkan berada di Sabah. Mengapakah aku dihantar untuk berkhidmat di Sabah?

AKAL BUDI MELAYU

  Akal Budi Melayu OLEH ATIQAH ABD RAHIM   Sesi Wacana Ilmu 2020 Siri Kedua telah bersiaran langsung menerusi laman Facebook rasmi Dew...