Rabu, 25 April 2012

Tutup

KUCING TUTUP MATA ANJING


MORALNYA
Walaupun seseorang itu besar dan berkuasa, namun dia masih boleh ditutup atau dikaburi matanya oleh musuh. Justeru, jangan sekadar memandang ke hadapan, pandanglah juga ke belakang kerana mungkin musuh berada di belakang anda. Dari posisi lain, kebaikan atau sifat lemah-lembut (kucing) dapat mengatasi kejahatan atau kedurjanaan seseorang yang dilambangkan sebagai anjing. Selamat berfikir.

Isnin, 23 April 2012

LGBT

Mungkin Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menjadi kambing hitan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL). Mungkin juga sandiwara terancang JMM dengan DBKL. Saya kata mungkin kerana tiba-tiba sahaja JMM merancang mengadakan demonstrasi aman menentang kebangkitan golongan sesat para lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pada 21 April 2012. Tempat dipilih ialah di Dataran Merdeka. Saya setuju JMM dan NGO menganjurkan demonstrasi aman ini dan di Dataran Merdeka. Namun soalnya, mengapakah baru sekarang mahu menganjurkan demonstrasi aman menentang LGBT, sedangkan isu LGBT telah lama diperkatakan. Demikian, mengapakah JMM memilih Dataran Merdeka sebagai lokasi demonstrasi. Tempat itu baharu sahaja 'ditawan' oleh para mahasiswa yang menuntut penghapusan PTPTN dan diganti dengan pendidikan percuma. Tempat itu juga bakal 'ditawan' oleh kumpulan Bersih 3.0 bagi menganjurkan demonstrasi aman, Duduk Bantah, pada 28 April 2012.  Pada fikiran saya, niat sebenar JMM bukan menentang golongan LGBT, tetapi mahu memberi tekanan kepada DBKL agar tidak membenarkan operasi Bersih 3.0. Mungkin ada 'perjanjian sulit' antara JMM dengan DBKL. Dengan cara tidak membenarkan sesiapa menganjurkan demonstrasi aman di Dataran Merdeka maka menjadi alasan kepada DBKL tidak membenarkan operasi Bersih 3.0.  Justeru, ke manakah Bersih 3.0 akan pergi berdemonstrasi aman? Saya fikir, mereka akan kembali beraksi aman sebagaimana Bersih 2.0. Kalau gaya ini terjadi, maka pada saya, DBKL menjadi penyebabnya dan Barisan Nasional akan menerima padahnya.

Sabtu, 21 April 2012

Kembali

Walau ke manapun kita pergi, kita tetap akan kembali.
Kembali kita itu, kalau tidak dengan kaki, kita akan kembali dengan ingatan

Mata

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Manchester Metropolitan diketuai Dr. Andrew Parker mendakwa senaman mata dapat meningkatkan daya ingatan sehingga 10% (Berita Harian, 10 Mei 2007). Caranya dengan menggerakkan mata ke kiri dan ke kanan secara berulang selama 30 saat. Kelebihan senaman mata mengatasi pengambilan bahan stimulasi tiruan dan pil penguat daya ingatan kerana pergerakan mata menyebabkan dua bahagian otak saling berinteraksi. Hasil penemuan itu disiarkan dalam Jurnal Brain & Cognition dan Times of India. Manakala Miss Hana melalui blognya, betkidzs.blogspot.com menggarisi 10 cara menguatkan daya ingatan, iaitu (1) yakin dengan kebolehan sendiri, (2) latih otak berfikir, (3) kurangkan stres, (4) tingkatkan perhatian, (5) jaga pemakanan, (6) berikan cukup masa berfikir, (7) luaskan imaginasi, (8) sebut atau tulis berulang kali, (9) mengkategorikan berdasarkan kumpulannya, dan (10) aturkan perbuatan dengan kebiasaan. Selain itu, saya berpendapat dengan menganalogikan sesuatu dengan  sesuatu yang biasa dengan diri kita juga boleh membantu meningkatkan dan mengekalkan daya ingatan.

Mulia

Masuk kelas lebih mulia daripada hadir mesyuarat.

Khamis, 19 April 2012

Cerca

Memang setiap hari ada orang mencerca orang. Mengapi-apikan orang. Atau, mendesak si anu mendedahkan aibnya. Ya, sejak tahun 1998, masyarakat di negaraku dihinggapi penyakit suka mencerca orang. Bilangannya kian bertambah. Dari kanak-kanak hingga si tua bangka. Dari si mereng hingga pemimpin atasan. Malang rakyat  dipaksa mendengarnya (dari televisyen) atau membacanya (dari akhbar). Lebih malang lagi, kata-kata cerca, mengapi-apikan dan mendesak-desak itu datang daripada pemimpin, bakal pemimpin dan bekas pemimpin. Dikatakan bahawa si anu bersikap kurang ajar dan biadab terhadap agama terhadap bangsa terhadap raja terhadap negara. Anehnya, tidak pula saya dengar atau saya baca akan kebiadaban atau kekurangajaran si anu itu, sebagaimana sering kali saya dengar dan saya baca akan kebiadaban dan kekurangajaran mereka.

Sekular

Menurut Bahagian Analisa dan Penyelidikan, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Utusan Malaysia, 17 April 2012), perkataan sekular berasal daripada bahasa Latin, saeculum, yang bererti waktu, umur manusia, abad atau dunia. Justeru, perkataan sekularisasi dapat difahami sebagai mengembalikan sesuatu yang bersifat duniawi ke lingkungan duniawi. Dari sudut sosiologi, sekularisasi merupakan tindakan yang membebaskan manusia dan pandangan manusia tentang dunia daripada pengaruh dan nilai-nilai keagamaan. Oleh sebab itu, istilah sekularisasi sering kali dipadankan dengan aktiviti yang menghapuskan kepercayaan agama atau bersifat suci. Misalnya, kepercayaan terhadap aktiviti berpolitik tidak termasuk di bawah kawalan agama.

Si Buta

Apa sahaja yang dimusuhi oleh tuannya, sama ada perkara yang dimusuhi itu wajar dimusuhi atau tidak, akan dimusuhi olehnya. Ini termasuklah, memusuhi dan membela raja. Apa sahaja yang disukai oleh tuannya, sama ada perkara yang disukai itu wajar disukai atau tidak, akan disukai olehnya. Ini termasuklah menghina dan mencerca bangsa.

Rabu, 18 April 2012

Nafi

Apabila pihak Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Datuk Mohd Zain (koordinator BN Selangor) nafi mengeluarkan sebarang arahan berhubung pemasangan bendera BN di beberapa stesen Komuter di Selangor adalah tidak wajar. Hal ini kerana pemasangan bendera BN tersebut berlaku dan dibuktikan dengan rakaman gambar. Mustahil sesuatu berlaku tanpa ada arahan. Sikap ini dianggap melontar batu sembunyi tangan, dan sudah ketinggalan zaman. Perbuatan menafikan perbuatan yang dapat dibuktikan berlaku akan dianggap cubaan menipu, tiada keyakinan diri dan tidak bertanggungjawab. Sikap ini sangat dibenci oleh generasi muda masa kini. Sikap begini akan merugikan BN dan kerajaan. Tidak salah jika kedua-dua pihak mengaku mengeluarkan arahan agar dipasangkan bendera BN di premis berkenaan. Pemasangannya sesuai kerana Pilihan Raya Umum 13 sudah hampir. Pembangkang tiada hak menghalang. Lagipun, premis berkenaan bukan kepunyaan mereka. Tinjauan Malaysiakini mendapati sekitar 30 helai bendera BN dipasang di kawasan stesen Batu Tiga dan Shah Alam. Bendera-bendera itu digantung di tempat sesuai, kemas dan tidak menjejaskan keselamatan pengguna dan operasi stesen. Saya menyeru kepada individu yang ingin menjadi pemimpin agar bersikap bertanggungjawab, berani dan berwawasan positif.  

Selasa, 17 April 2012

Yuran

Sewaktu masih miskin (selepas merdeka), negara mampu memberi pendidikan percuma kepada rakyat yang belajar di universiti. Mereka dibekalkan dengan biasiswa. Mereka tidak menanggung hutang setelah tamat belajar. Ramai yang mendapat manfaat pendidikan percuma tersebut. Tentulah antaranya ialah mereka yang mencadangkan pengkorporatan universiti dan memperkenalkan PTPTN. Aneh, apabila negara mencapai kemajuan, dan mereka yang mendapat pendidikan percuma di universitiu menguar-uarkan bahawa negara akan kerugian besar dan pembangunan tidak dapat dilaksanakan jika PTPTN dimansuhkan. Dalam masa sama, dapat pula melupuskan hutang pihak tertentu bernilai jutaan ringgit. Dan, dapat mensedekahkan sejumlah wang kepada isi rumah dan orang yang bertahun-tahun telah pencen. Pihak tertentu memberi alasan, jika PTPTN dilupuskan, akan rugi kolej swasta. Saya tertanya sendirian: Mengapakah dia begitu perihatin terhadap nasib kolej swasta, tidak terhadap nasib rakyat atau generasi muda? Apakah dia mengiktiraf semua diploma/ijazah dari kolej swasta? Saya fikir ada sesuatu tersembunyi di sebalik karung PTPTN. Apakah sesuatu itu?

Sabtu, 14 April 2012

Bangsa

Kalau benar kita menyayangi bangsa, kita mesti memelihara dan memuliakan sistem yang membina bangsa itu. Sistem tersebut ialah agama, adab dan adat, dan bahasa dan sastera. Kalau salah satu elemen dalam sistem itu rosak atau kita langgar, maka usahlah bercakap atau mendambakan diri atau kumpulan diri kita sebagai pejuang bangsa. Tanggungjawab utama menanam kesedaran ini terletak pada pemimpin. Semua rakyat perlu menyokongnya.

Teladan

Salah satu kempen yang diwarwarkan oleh kerajaan Malaysia ialah kepimpinan teladan. Seingat saya, kempen ini dimulai sejak pemerintahan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed. Setiap pemimpin menjadi teladan kepada kakitangan bawahannya. Yang dimaksudkan pemimpin meliputi pemimpin negara hinggalah kepada pemimpin pelajar. Di samping itu, orang tua juga menjadi pemimpin kepada orang muda. Sebagai pemimpin mestilah menunjukkan teladan yang baik sebagai ikutan. Jika guru (pemimpin di sekolah) kencing berdiri, maka anak-anak muridnya akan kencing berlari. Ertinya, jika guru melakukan kerosakan kecil, muridnya akan melakukan kerosakan yang lebih besar. Pemangkin kempen ini ialah kempen amalan nilai-nilai murni, sama ada amalannya dalam pekerjaan mahupun amalan sebagai resmi hidup. Sebagai masyarakat Timur, lebih-lebih lagi masyarakat Asia, amalan murni sudah sebati dengan budaya bangsa. Namun begitu, masih ada segelintir individu yang tersasar dengan amalan nilai-nilai murni dan kepimpinan teladan.  Mereka terlibat dalam pelbagai kemungkaran atau amalan devian hingga melanggar adab dan adat masyarakat Malaysia. Kalangan durjana ini terdiri daripada para politikus dan penyokong politikus seperti akhbar dan media elektronik. Barangkali, mereka lupa akan hari pembalasan.

Selasa, 10 April 2012

Belajar

Kalau dihitung-hitungkan, dihisab-hisabkan, masa belajar pelajar PISMP di IPG dalam satu semester hanya sebulan atau maksima dua bulan. Aku berkata begini adalah berdasarkan pengalaman. Banyak masa kuliah tidak dapat dilaksanakan. Antara sebabnya, (a) cuti intrasemester, (b) cuti perayaan, (c) cuti umum, (d) cuti peristiwa, (e) BIG, (f) aktiviti persatuan, (g) aktiviti unit beruniform, (h) pensyarah kursus, (i) pensyarah mesyuarat, (j) pelajar kursus, (k) perkhemahan, (l) pensyarah menyelia praktikum, (m) pelajar ke sekolah (ada pelbagai nama program ke sekolah), (n) majlis rasmi IPG, (o) audit ISO/MQA, (p) pensyarah cuti sakit / rehat, (q) lawatan, (r) pelajar terlibat majlis rasmi di luar (contoh, hari kebangsaan), dll. Yang anehnya, pada setiap semester pelajar terpaksa ke sekolah. Ada seminggu, ada dua minggu, ada empat minggu, ada enam minggu dan macam-macam. Saya fikir, IPG perlu memikirkan kembali sistem pendidikan di IPG agar lebih banyak interaksi ilmu daripada interaksi sosial.

Ahad, 8 April 2012

Air

Walaupun tidak seteruk negara-negara di Afrika, masalah bekalan air bersih tenggendala di Malaysia telah menjadi isu politik. Satu NGO di Kelantan telah mendesak rakyat agar menukarkan Kerajaan PAS Kelantan kerana gagal menyediakan bekalan air bersih sepanjang masa. Rakyat Kelantan memang terkenal sebagai pengguna air telaga atau air bawah tanah. Air ini lebih bersih dan murah berbanding air paip. Oleh sebab itu, ramai rakyat Kelantan cerdik dan menguasai pusat-pusat pengajian tinggi di Malaysia. Kalau ditinjau beberapa tahun lepas, masalah air di Kelantan jauh lebih baik. Masyarakat di Johor misalnya, pernah menggunakan air parit. Begitu juga di beberapa tempat di Selangor, Pahang dan Perak. Di Sabah juga tidak ketinggalan. Bekalan air di Daerah Tawau misalnya, kerap kali terputus. Kadangkala  sampai sebulan. Demikian juga di Sarawak. Masyarakat Bidayuh di Kampung Punau misalnya, tidak mendapat bekalan air bersih, walaupun jaraknya dengan bandar Kuching hanya 30 kilometer. Mereka tidak pula berarak atau hantar memorandum atau mendesak masyarakat menukarkan kerajaan memerintah. Kalau kerana gangguan bekalan air mahu menukar kerajaan, maka kerajaan yang memerintah Sabah akan bertukar setiap tahun.

Khamis, 5 April 2012

Harga

Dulu harga maruah diri rakyat bernilai janji-janji manis, sehelai kain atau sekilo gula. Paling mahal harga maruah rakyat Terang Ganu. Harga orang miskin terpilih dan harga ibu tunggal terpilih ialah bernilai RM300. Demikian harga maruah diri ahli dan keluarga ahli JKKK. Tetapi kini, harga maruah diri keseluruhan orang dewasa sudah naik kepada RM500 sekeluarga. Harga maruah diri pelajar / mahasiswa pula RM200, dan yang lebih menarik, budak-budak sekolah pun sudah ada harga maruah diri bernilai RM100. Alhamdulillah, setidak-tidaknya itulah tanda kemajuan yang sangat luar biasa. Walau bagaimanapun, harga mereka itu tidak setanding nilai anggota para polisi dan Felda yang hampir setiap bulan memperoleh durian runtuh. Malah, orang yang sudah lupa tarikh pencen pun mendapat durian runtuh juga. Alangkah sayangnya kerajaan kepada mereka. Dan, alangkah baiknya kalau sayangnya itu pada setiap tahun.

Selasa, 3 April 2012

Kanser

Menurut Menteri Kemajuan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah, seorang daripada 19 orang wanita Malaysia menghadapi kanser payudara. Apakah sebabnya? Menurut isteri, Noraini binti Hasan, punca utama penyakit payudara (dan penyakit-penyakit lain juga) berkait rapat dengan pemakanan. Katanya, dalam setiap makanan terdapat campuran ramuan MSG yang berfungsi untuk menyedapkan makanan. MSG yang berlebihan boleh memudaratkan kesihatan dan mengundang pelbagai jenis penyakit moden. Jika anda pernah makan tomyam atau sup masakan rakyat Patani, dan berasa dahaga selepas memakannya, kemungkinan tomyam atau sup itu dimasukkan banyak MSG. Tadi, semasa bersarapan dengan Chai Chin Pheng, Wan Mardziyah Wan Hasbullah dan Idrus Saaidy Maarof, aku diberitahu bahawa salah satu ramuan bagi merangup pisang goreng atau bawang goreng ialah menggorengnya bersama-sama straw atau plastik. Semua ini punca kepada penyakit kanser. Aku termenung mendengar kata-kata mereka. Diam-diam hatiku berinterior monolog, 'kalau begitu, lelaki juga terdedah kepada penyakit kanser payudara.

Isnin, 2 April 2012

Akibat

Akibat memeluk dan mencium dari belakang seorang tukang cuci wanita berusia 43 tahun di Kondominium Venice Hills, Batu 9, Hulu Langat, seorang lelaki warga Nigeria, Onochie Martins Nwankwo, 35 tahun diadukan oleh wanita berkenaan kepada anggota Ikatan Relawan  Rakyat (Rela). Akibat aduan itu, anggota Rela berusaha mencari dan berjaya menahan lelaki Nigeria berkenaan. Akibat berjaya menahan lelaki warga Nigeria itu telah dipukul oleh anggota Rela berkenaan. Akibat dipukul, lelaki warga Nigeria itu telah menemui kematian. Akibat kematian lelaki warga Nigeria itu, kira-kira 200 orang rakan senigeria telah merusuh. Akibat rusuhan itu, habis fasiliti harta awam seperti pondok pengawal dan Bilik Gerakan Rela musnah. Akibat kematian yang membangkitkan rusuhan itu, tujuh orang anggota Rela telah ditahan dan direman selama tujuh hari. Akibat tahanan itu, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Akibat membunuh, jika sabit kesalahan, mereka juga akan dibunuh.

Syurga

Oleh sebab syurga hanya satu, maka saya mengandaikan bahawa syurga berada di tengah-tengah dan di kelilingi manusia. Oleh sebab di kelilingi manusia, syurga yang mahaindah dan mahanikmat itu ada banyak jalan ke tempatnya. Semua jalan ke syurga adalah suci dan bersih. Hanya orang yang suci dan bersih sahaja dapat menemui jalan ke syurga. Syarat itu diketahui oleh semua manusia. Malangnya, tidak ramai manusia yang berusaha menyuci dan membersihkan dirinya. Menjadikan diri suci dan bersih tidak sukar sebenarnya. Ikut sahaja panduan yang ditetapkan oleh pemilik syurga itu. Pasti kita akan menemuinya. Ya, tentulah kita perlu ikut kehendak pemiliknya kerana Dia memiliki syurga dan kita ingin menikmati syurga milik-Nya. 

AKAL BUDI MELAYU

  Akal Budi Melayu OLEH ATIQAH ABD RAHIM   Sesi Wacana Ilmu 2020 Siri Kedua telah bersiaran langsung menerusi laman Facebook rasmi Dew...