Khamis, 23 Februari 2012

Hadis Palsu

Saya bersetuju dengan saranan Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya, agar pihak berkuasa dalam hal ehwal agama Islam bertindak segera menyekat penyebaran hadis palsu di Malaysia. Adalah malang bagi penganut beragama Islam di negara Islam Malaysia bergelumang dengan hadis palsu. Saya percaya bahawa penyebaran hadis palsu akan merencatkan kemurnian akidah umat Islam. Dan, saya juga percaya bahawa ramai umat Islam Malaysia tidak mengetahui atau membezakan hadis benar dan hadis palsu.

Bagi mereka yang mahir dengan sejarah hadis atau pihak berkuasa agama Islam, mereka dapat menilai hadis benar dan hadis palsu. Namun begitu, bagi masyarakat awam, mereka menerima semua hadis adalah benar.

Saya telah lama mempertingkaikan akan sebab penyebaran hadis yang dianggap lemah. Ada sesetengah penulis mencatatkan bahawa hadis yang dirakam itu lemah, namun tetap dikumpul dan diterbitkan. Ada kalanya, hadis lemah ini juga digunakan sebagai dalil dan sandaran oleh penceramah agama. Namun bimbang dianggap antihadis dan  kerana kurang pengetahuan agama, maka hal ini saya diamkan.

Suatu ketika dahulu, Kassim Ahmad begitu bertegas menolak beberapa hadis yang dianggap bertentangan dengan ajaran al-Quran. Akibatnya, beliau telah dianggap antihadis. Tuduhan itu bukan sahaja datang daripada pemimpin politik, malahan pegawai di jabatan agama dan pendakwah sendiri. Mungkinkah, hadis-hadis yang ditolak oleh Kassim Ahmad itu ialah hadis palsu sebagaimana dimaksudkan oleh Dr. Juanda Jaya.

Bagi mengatasi pemasalahan ini,  saya cadangkan agar Pusat Islam dan Majlis Agama Islam Negeri serta mufti perlu berkolaboratif bagi mengenal pasti hadis palsu dan mengharamkan penyebaran hadis-hadis palsu serta buku-buku yang memuatkan hadis-hadis palsu.

Bersihkan akidah umat Islam Malaysia dengan cara membersihkan bahan-bahan bacaan dan rujukan daripada sebarang hadis yang meragukan.

Sebagai alternatif, saya mencadangkan agar Pusat Islam atau Majlis Agama Islam Negeri menerbitkan sendiri hadis-hadis sahih sebagai rujukan masyarakat. Dengan cara ini, umat Islam Malaysia akan lebih yakin dengan kesucian hadis yang dirujuk dan dapat berimam dengannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan