Selasa, 29 Januari 2013

Kulit Kota

Kumpulan sajak KULIT KOTA diselenggarakan oleh penyair tersohor Besut, saudara Wan Zahari Ali, dan diterbitkan oleh Pelita Besut sekitar tahun 1986/1987.
 
Kami berpakat menyumbangkan dana bagi menjayakan penerbitannya. Dalam kumpulan sajak ini memuatkan sekitar 10 buah sajak saya. Apabila membacanya kembali, terasa sangat semangat idealisme dan kesonderan estetikanya. Namun, itulah sejarah kepengarangan saya, pemikiran saya dan saya menyukainya. Bukti saya membangun dari lembah kecacatan estetika sesebuah sajak.
 
Hal ini amat ditakuti oleh segelintir penulis sehingga mereka tidak sanggup mengakui bahawa sajak-sajak itu adalah karya awal mereka. Biarkan mereka dengan cara mereka. Saya percaya bahawa manfaat karya tidak semesti pada mutunya, melainkan susuk-susuk lain juga. Termasuklah pada susuk yang hodoh dan buruk karya itu.

Khamis, 24 Januari 2013

Maulidur Rasul

Setiap tahun kita menyambut Maulidur Rasul, dengan cara berarak dan memuji-muji akan dia, nabi terakhir kita. Sedikit ceramah disampaikan buat santapan minda umatnya. Namun, puji-pujian dan ceramah yang disampaikan itu, yang itu-itu juga, sebagaimana puji-pujian dan ceramah pada tahun-tahun sudah. Kita diberitahu, Baginda seorang peniaga berjaya, namun kita tidak diberitahu akan cara Baginda berniaga hingga berjaya. Kita diberitahu Baginda seorang pemimpin agong, namun kita tidak diberitahu akan cara Baginda menyusun karbinetnya, kriteria yang digunakan atau cara menyelesaikan masalah yang timbul. Kita diberitahu bahawa Baginda seorang pendidik yang terbaik, namun tidak pula kita belajar atau diajar Teori Pendidikan Rasulullah. Terasa ada sesuatu masih tersembunyi. Alangkah baiknya jika difokuskan satu pemasalahan sedalam-dalamnya pada setiap kali Maulidur Rasul, agar dapat kita mengetahui sebanyak-banyaknya akan diri Baginda, dan menteladaninya. Pesan ustaz, hendaklah kita mengetahui akan diri Baginda melebihi kita mengetahui diri orang lain.  Ya, sebaik-baiknya. Kita patut belajar dan diajar tentang pemikiran Rasulullah, bukannya pemikiran musuh-musuhnya.

Rabu, 23 Januari 2013

Peta Perjalanan

Peta Perjalanan merupakan kumpulan sajak kelima saya selepas Cermin (Gapri, 1987), Menimba Laut (DBP, 1996), Di Rumah Wiramal (Pustaka Nusa, 2003) dan Elipsis (DBP, 2008). Kumpulan sajak ini pada asalnya berjudul Sejak Kau Hadir yang pernah diisytiharkan sebagai salah satu daripada lima pemenang Hadiah Penghargaan ASDI 3 anjuran Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita) dan Gapena tahun 1995.  Oleh sebab Dewan Bahasa dan Pustaka dan Gapena menolak penerbitannya, maka saya telah menerbitkan sendiri pada tahun 2006. Penyertaan ASDI 3 terbuka hingga peringkat yang berbahasa Melayu. Dari segi rekod, lebih 60 manuskrip menyertainya dengan Hadiah Utama dimenangi oleh penyair Rahimidin Zahari melalui kumpulan sajak Sekepal Tanah. Justeru, saya rasa cukup bangga apabila Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) sanggup menerbitkannya. Sajak-sajak dalam kumpulan ini banyak terilham daripada ilmu dari kuliah Diploma Falsafah Sains Islam, Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam, ABIM. Antara pengajarnya ialah Osman Bakar, Hairudin Harun, Mohd Yusof Othman, Latif Samian, Wan Mohd Nor, dan lain-lain.  Saya sengaja mengubahkan namanya kepada Peta Perjalanan kerana sajak-sajaknya dibahagikan kepada tiga bahagian. Secara abstrak, bahagian pertama berpusat kepada teori, bahagian kedua berpusat kepada praktis dan bahagian ketiga menjurus kepada pemasalahan. Kini, Peta Perjalanan telah beredar dalam masyarakat dan anda adalah hakimnya.

Selasa, 8 Januari 2013

Penjelasan Haji Hadi

Pada 22 Disember 2012, saya telah mengeposkan satu entri ke blog ini yang dinamakan "Amanat Haji Hadi." Saya berbicarakan secara ringkas tentang siapakah yang menamakan petikan ceramah itu sebagai 'amanat.'

Akhbar Mingguan Malaysia pada 6 Januari 2013 di halaman 3 telah menyiarkan satu berita bertajuk "Tidak pernah menamakan Amanat Haji Hadi." Penafian ini datang daripada Haji Hadi.

Apa yang saya persoalkan dalam entri itu telah terjawab, bahawa Haji Abdul Hadi tidak pernah menamakan petikan ceramahnya sebagai 'amanat.'

Justeru, siapakah yang menamakannya? Maka, sekali lagi saya menegaskan bahawa pemberi nama "Amanat Haji Hadi" dan penyebarnya adalah penjana fitnah.

Wah, banyaknya pahala diperoleh oleh Haji Abdul Hadi! Mungkin dosanya juga sedang dipunggah oleh orang-orang tertentu.