Sabtu, 22 Disember 2012

Amanat Haji Hadi

Nampaknya kata-kata yang diisytiharkan sebagai Amanat Haji Hadi itu tidak akan luput daripada bumi Malaysia, malah mungkin di dunia selagi Umno memerintah Malaysia, selagi Utusan Melayu beroperasi dan selagi belum kiamat. Itulah kekuatan kata-kata yang dianggap amanat itu, dan sekali gus berupa kelemahan. Saya tidak mahu sentuh kandungan amanat itu, lantaran kekurangan ilmu.
 
Yang tergian-gian diminda saya ialah pertanyaan: (a) Apakah betul kata-kata itu ialah amanat? (b) Siapakah yang menamakan kata-kata itu sebagai amanat? (c) Mengapakah kata-kata itu boleh lahir dari mulut (dan minda) seorang ulama? (d) Mengapakah Umno begitu berminat dengan kata-kata yang dianggap amanat itu?
 
Soalan (a) memerlukan kita mendengar kembali kata-kata itu secara berwacana. Di manakah kata-kata itu diucapkan? Dalam siri ceramah agamakah, atau dalam siri ceramah politik? Kalau dalam siri ceramah agama, maka kata-kata itu cenderung bersifat amanat. Kalau dalam siri ceramah politik, maka kata-kata itu merupakan kalimat kempen. Ia sekadar retorik yang menggunakan Teori Arthasastra janaan Kaultiya. Teori Arthasastra ini banyak digunakan oleh Umno terhadap al-Arqam, Isu Memali, Partai PKM, dan kini isu kafir. Malah, Amerika Syarikat juga menggunakan teori ini untuk mendapat kebenaran menyerang Iraq, memburu Osama dan membunuh Sadam. 
 
Apakah frasa 'Amanat Haji Hadi' itu dinamakan sendiri (soalan (b)) oleh Haji Hadi dalam ceramahnya itu atau ceramah selepas itu? Jika 'ya' maka Haji Hadi bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesan kata-katanya itu. Jika 'tidak', siapakah yang menamakannya sebagai 'Amanat Haji Hadi?' Apakah orang itu mendapat persetujuan daripada Haji Hadi bagi menamakan kata-kata berkenaan sebagai amanat.
 
Jika 'tidak' dan kata-kata itu dinamakan sebagai amanat oleh orang tertentu, maka orang tertentu itu bertanggungjawab terhadapnya. Saya fikir, dalam hal ini, orang yang menamakannya sebagai 'Amanat Haji Hadi' sebagai pencipta fitnah.
 
Setahu saya, kata-kata itu telah dicetak dalam bentuk poster dan dijual. Manakala akhbar terbitan Utusan Melayu bertindak 'memasarkannya' hingga kini. Maka, mereka yang mengadaptasikannya ke dalam bentuk poster dan wartawan mengadaptasikannya ke dalam bentuk berita, terlibat sebagai penyebar fitnah. Mereka akan menanggung dosa fitnah selagi Umno memerintah Malaysia dan selagi dunia tidak kiamat. Manakala Haji Hadi pula mendapat pahala percuma darinya.
 
Manakala pertanyaan (c) dan (d)  tidak dapat saya menjawabnya kerana memerlukan kerja lapangan

Jumaat, 21 Disember 2012

PGSR (BM) Ambilan 2008



Kata pepatah, 'bukan senang hendak senang.' Memang senang tidak datang bergolek. Itulah yang dialami dan dirasai oleh sekumpulan pelajar PGSR (BM) ambilan 2008 yang aku turut mewarnai kesusahan dan kesenangannya. Mereka dari IPGK Kota Bharu dan IPGK Tawau. Bulan ini tamat sudah mereka sebagai pelajar. Susah senang yang dialami oleh mereka telah juga saya alami. Sebagai mahasistua dan separuh gaji pula. Nasihat saya, yang lebih penting ialah berfikir sebagai seorang intelektual (sarjana muda).  Tidak takut pada kesilapan. Tidak benci pada kritikan. Tidak mudah menghukum, apatah lagi mengekor. Memang kelulusan untuk kerja dan gaji, namun ilmu yang diperoleh untuk pakaian diri. Jika masih seperti dahulu (sebelum berijazah) maka sia-sia selama lapan semester kita belajar.

Khamis, 20 Disember 2012

Angan-Angan Mat Jenin

Angan-Angan Mat Jenin merupakan sebuah cerita rakyat dari alam Melayu. Sangat baik untuk diteladani. Namun, masyarakat Melayu moden menganggap cerita Angan-Angan Mat Jenin sebagai cerita kebodohan watak dan memalukan bangsa. Saya berpendapat sebaliknya. Cerita Angan-Angan Mat Jenin merupakan sebuah cerita yang tinggi nilai moralnya. Inilah cerita tentang panduan kejayaan perniagaan. Untuk berjaya dalam industri ini harus dimulai dari bawah - memetik kelapa. Keuntungannya dijadikan modal untuk membesarkan perniagaan, secara berperingkat. Jika telah berjaya melaksanakan perniagaan besar (dimetaforakan sebagai mengahwini puteri raja), janganlah kita lupa daratan. Bertindak tanpa strategi dan berpegang pada bukan asas yang kukuh. Resikonya amat membinasakan. Hal inilah telah saya cerita sepintas di celah-celah kuliah kepada 27 orang pelajar PGSR (guru). Dan tadi, salah seorang (hari terakhir sebagai pelajar PGSR) datang berjumpa saya dan memberitahu bahawa mindanya terjentik dengan cerita ringkas itu. Dia menceritakan pula kepada isteri dan keluarganya. Tentunya saya berasa seronok kerana telah berjaya memerdekakan minda yang terpenjara dalam epistemologi penjajah.  Malangnya, sistem pendidikan tempat pelajar PGSR (guru) itu belajar masih terpenjara!    

Khamis, 13 Disember 2012

Bustan al-Salatin

Bustan al-Salatin karya Nuruddin al-Raniri yang diselenggarakan oleh Siti Hawa Haji Salleh merupakan catatan ringkas tentang raja-raja yang memerintah Aceh Dar al-Salam. Kecuali Sultan Iskandar Thani dan Sultan Tajul Alam yang diceritakan lebih detail, tidak tergambar akan hal ehwal raja dan sistem pemerintahan raja-raja lain sebagaimana penceritaan terhadap raja Iskandar Thani. Justeru, terasa seakan-akan catatan ini dilaksanakan secara terpaksa atau dengan pengetahuan atau kuasa yang amat sedikit. Hal ini mungkin disebabkan Nuruddin al-Raniri bukan anak Melayu jati atau anak nusantara jati, dan kehidupannya terhad dalam kalangan golongan bangsawan sahaja, menyebabkan beliau tidak banyak mengetahui tentang jiwa Melayu itu sendiri. Saya juga berpendapat bahawa Nuruddin al-Raniri bukan seorang tukang cerita yang baik sebagaimana Tun Seri Lanang atau Raja Ali Haji. Dan, beliau juga seorang yang bersikap serius atau tegas. Hal ini kerana, pada penikmatan saya terhadap Bustan al-Salatin, terasa bahawa beliau sekadar melaporkan saja cerita tentang raja-raja Aceh Dar al-Salam yang didengari dari kaca mata orang ketiga.

Isnin, 10 Disember 2012

Selamat Pegantin Baharu

 
Selamat pengantin baharu kepada Hasmaliza binti Mohamad dengan Amran yang melangsungkan kenduri kahwin pada 25 November 2012. Tahniah diucapkan kepada Mohamad bin Othman dan Nik Aishah binti Ahmad, di Flat Mutiara, Kampung Pasir Lama, Kuala Lumpur. Semoga semuanya tercapai nseperti dihajatkan.

Khamis, 22 November 2012

Parodi Doa

Mingguan Malaysia, 18 November 2012
 
Mari kita berdoa dan berdoa berulang kali dengan menukarkan singkatan 'BN' kepada 'Israel,' 'UMNO' kepada 'Yahudi,' 'PRU13' kepada 'dunia' dan frasa 'Putrajaya' kepada 'akhirat.' SELAMAT BERDOA UNTUK SELAMANYA. SEMOGA DOA KITA DIBERKATI ALLAH DAN TIADA LAGI KEKEJAMAN MANUSIA.

"Ya Allah hukumlah Yahudi. Ya Allah, hukumkanlah Yahudi dan Isreal dalam dunia ini ya Allah. Mudah-mudah(k)an dalam perjalanan kami (orang Islam) ke akhirat, ya Allah dengan begitu sekali mudah dengan pertolongan-Mu ya Allah."

Jumaat, 16 November 2012

Kerani SPR

Aku pernah menjadi Kerani Pengundian & Kerani Mengira, Suruhanjaya Pilihan Raya dalam Pilihan Raya Umum Ke-9. Kawasannya P.110 Parlimen Seputeh. Keputusan akhirnya dimenangi oleh calon dari parti DAP. Memang Parlimen Seputeh menjadi kubu kuat DAP hingga sekarang. Walaupun dimenangi oleh parti pembangkang, pembangunan kawasan Seputeh tetap rancak. Dari kawasan perumahan dan padang lapang, kilang haram, kini telah ada Midvalley, pelbagai hotel dan tumah kedai. Malah sepanjang Jalan Kelang Lama, dari Batu 0 hingga Batu 6 begitu rancak membangun, hingga aku hampir tersalah tuju. Dulu aku tinggal di Kg. Pasir Lama, berhadapan Hotel Pearl Internasional, rumah setinggan. Apabila hendak dibangunkan, Tok Penghulu (dan orang kuat UMNO) telah berpakat dengan pegawai Dewan Bandar Raya menipu aku. Alasan mereka, aku masih bujang kerana tiada peralatan rumah, sebagaimana rumah kelamin yang lain. Aku tunjuk Surat Beranak anak dan surat nikah, tetapi cikabau itu tidak mahu menerimanya. Penduduk asal di sini diberi pilihan sama ada membeli rumah bandar raya dengan separuh harga, atau mengambil wang sebanyak RM22,000. Oleh sebab itu, pada tahun 1999 aku berhenti jadi Kerani Pengundian & Kerani Mengira, Suruhanjaya Pilihan Raya  kerana mahu undi pembangkang.

Sabtu, 10 November 2012

Seminar Pendidikan

TAHNIAH kepada Jabatan Penyelidikan, Inovasi dan Profesionalisme (JPIPK), IPG Kampus Tawau di bawah pimpinan Dr Jefridin Pilus kerana berjaya menganjur dan merangsangkan usaha memartabatkan ilmu. Sayangnya, Dr jefridin akan kembali ke IPG asalnya setelah setahun 'tersesat' di Tawau.
 
Terima kasih kepada JPIPK kerana menjemput saya sebagai pembentang makalah. Tajuk makalah saya, "Konsep Ruang dan Waktu dalam Hikayat Malim Deman." 

 

Khamis, 1 November 2012

Cerpen Menunggu Esok Tiba

Tahniah kepada Mazlinah binti Arabi kerana cerpen anda telah disiarkan dalam Utusan Borneo pada 28 Oktober 2012. Mazlinah merupakan pelajar DPLI (Bahasa Melayu) di IPG Kampus Tawau. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah). Menunggu Hari Esok merupakan cerpen pertama yang dihasilkan olehnya, dan hasil bimbingan saya. Walaupun pertama kali menghasilkan cerpen, saya terkesan bakat dan keupayaannya dalam bidang sastera. Beliau boleh cepat maju jika terus berkarya dan membaiki kelemahan diri, serta rajin membaca dan meneliti karya-karya penulis terkenal. Saya telah membimbing anda dan Utusan Borneo telah membuka laluan pertama, sekarang terpulanglah kepada anda untuk terus berkarya atau setakat kejayaan pertama sahaja. Jika ingin terus maju, jangan lupa menghadiri aktiviti-aktiviti kesusasteraan dan selalulah meneroka alam pemasalahan baru sebagai persoalan karya. 

Sabtu, 27 Oktober 2012

Cerpen Rimbunan Kasih

Cerpen Rimbunan Kasih karya Jumriani Andi Sikandar ini telah disiarkan dalam akhbar harian Utusan Borneo. Cerpen ini adalah hasil bimbinganku yang sedikit cuma. Beliau merupakan pelajar DPLI jurusan Bahasa Melayu di IPG Kampus Tawau. Semoga penyiaran karya ini memberikan semangat kepadanya menjadi penulis terkenal suatu hari nanti. Tanggungjawabku telah kulaksanakan, kini terpulanglah kepadanya untuk terus maju berkarya atau tenggelam.

Jumaat, 26 Oktober 2012

Mahkamah Syariah

Barangan rosak disimpan dalam bilik
pembicaraan di salah sebuah mahkamah
Penubuhan Mahkamah Syariah adalah baik. Penubuhannya dapat memberi keadilan kepada umat Islam dalam pemasalahan mereka. Sekali gus akan dapat memartabatkan agama Islam itu sendiri.
 
Namun, dalam beberapa kes terlihat semacam ketidakupayaan kuasa Mahkamah Syariah menangani pemasalahan orang Islam. Terasa bahawa Mahkamah Sivil lebih berdaya berbanding Mahkamah Syariah. Masyarakat, termasuk umat Islam, lebih menghormati Mahkamah Sivil daripada Mahkamah Syariah.
 
Kerap kali saya terbaca berita ketidakupayaan Mahkamah Syariah menyelesaikan masalah, khususnya berkaitan tuntutan cerai pasangan Islam. Keadilan yang dituntut telah menjadi ketidakadilan pada pihak yang lain.
 
Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika ada wanita yang sanggup 'bersuami dua', gara-gara Mahkamah Syariah gagal membuat keputusan terhadap tuntutan cerai mereka. Ada kalanya saya terasa bahawa wanita yang digantung tidak bertali melaksanakan perkahwinan keduanya adalah sebagai sindiran terhadap ketidakupayaan Mahkamah Syariah menyelesaikan tuntutan cerai mereka, walaupun telah memakan masa yang agak lama.
 
Kertas terpakai turut mencemar
kesucian mahkamah syariah
Sesungguhnya, usia tidak menunggu keputusan mahkamah. Mungkin oleh sebab itulah sesetengah wanita memutuskan untuk melaksanakan perkahwinan kedua walaupun tuntutan cerainya belum disahkan oleh Mahkamah Syariah.
 
Misalnya dalam kes Aidil Zafuan Abd. Razak yang memohon mahkamah memutuskan agar isterinya, Rita Rudaini Makhtar, kembali taat kerana telah menarik balik permohonan cerai terhadap isterinya atas alasan ingin berbaik semula (Utusan Malaysia, 4 Oktober 2012). 
 
Walaupun tarikh pembicaraan telah ditetapkan berkali-kali, namun kesnya tidak terselesaikan. Hakim hanya mampu memberi nasihat demi nasihat kepada peguam agar menasihati anak guamnya supaya datang pada tarikh pembicaraan. Nasihat itu pula 'seakan' tidak dipedulikan.
 
Dilaporkan bahawa ketidakhadiran pemohon adalah kerana pada tarikh yang sama, pemohon telah mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menentang pasukan negeri Sembilan dalam perlawanan bola sepak Piala Malaysia 2012.
 
Alasan itu seolah-olah memberitahu kepada masyarakat betapa rendah martabat Mahkamah Syariah. Terasa bahawa status Mahkamah Syariah 'berada' di bawah status perlawanan bola sepak Piala Malaysia 2012. Oleh sebab itu, kita 'tidak perlu patuh' arahan Mahkamah Syariah, jika ada urusan lain.
 
Saya fikir, hal ini tidak wajar dibiarkan. Kerajaan dan pihak berkenaan perlu bertindak mengatasinya agar agama Islam yang dianggap suci itu benar-benar suci dan bermartabat di Malaysia.  Dan, Mahkamah Syariah benar-benar membantu umat Islam. Cepat menyelesaikan kes dan pemasalahan umat-Nya.

Telah banyak saya dengar kes-kes yang bertentangan dengan Islam berlaku di negara Islam Malaysia. Misalnya ayam tidak disembelih mengikut hukum syarak, penjualan arak yang bebas, penjudian yang berleluasa, penzinaan yang dihalalkan undang-undang, fitnah yang menjadi-jadi dan ketidakberdayaan agensi Islam menangani masalah agama. Ada kalanya saya terasa bahawa ideologi politik lebih 'dimuliakan' daripada ajaran agama Islam sendiri.

Dan, makhamah syariah seolah-olah pegantung kedua tidak bertali terhadap para wanita setelah digantung tidak bertali oleh suaminya. Itulah yang dihadapi oleh Nur Syahirah di Mahkamah Syariah Kota Bharu, dan kemudian di Mahkamah Syariah Dungun.

Isnin, 22 Oktober 2012

Kajian Tindakan IPG

Bermula 22 - 23 Oktober 2012, pelajar PGSR opsyen Bahasa Melayu dan agama di IPG Kampus Tawau menghadapi viva Kajian Tindakan 2, BMM3115. Aku salah seorang penyelia dan sekali gus dilantik sebagai Panel Penilai. Walaupun memenatkan, kerja ilmiah ini memang dialu-alukan. Penat kerana melayan karenah pelajar. Apabila berhasil terasa keseronokan berganda. 
 
Sejak semula lagi aku tidak bersetuju dengan kajian tindakan di IPG. Lebih baik laksanakan kajian penyelidikan. Bebaskan skop, asalkan merangkumi bidang pendidikan. Pelajar boleh mengkaji apa sahaja - tokoh, institusi, mencipta modul, mengkaji pelbagai aspek bahasa, dan sebagainya.
 
Sebagai pensyarah bahasa, memang aku menekankan aspek bahasa. Namun aku rasa kecewa sebab orang atasan yang mengawal kajian seakan tidak faham dunia kajian. Asalkan kajian mesti kuantitatif. Kalau tak ada nombor-nombor maka bukan kajian yang baik. Itu namanya tulisan ilmiah. Mentang-mentanglah dia ada Ph.D Matematik, Ph.D Pendidikan. Semuanya nak dimatematikan dipendidikankan.
 
Aku melihat sebahagian hasil kajian tindakan pelajar PGSR itu seakan mengkaji Matematik. Hanya dipenuhi nombor-nombor  sahaja. Kajian bertujuan meningkatkan minat murid dan membimbing murid bina ayat, telah dipersembahkan data-data matematik. Dikatakan bahawa sekian-sekian peratus murid berjaya membina ayat dan meningkat minatnya. Tak pula dihujahkan binaan ayat oleh murid, sama ada yang betul mahupun yang salah. Mengapakah betul dan mengapakah salah, atau bagaimana cara membetulkan ayat murid, tak pula dinyatakan.
 
Maka timbul persepsi dalam kepala aku, bahawa pelajar-pelajar PGSR (termasuk PISMP) menghasilkan kajian 'Bahasa Melayu Matematik' atau 'Bahasa Arab Matematik' atau 'Kajian Agama Islam Matematik.' Mungkin ini maklumat atau ilmu baharu yang dijanakan oleh profesor IPG.
 
Dalam enam orang pelajar aku itu, hanya dua orang aku perakui. Aku anggap dia menghasilkan kajian bahasa Melayu. Yang lain-lain hanya hampas, janaan profesor IPG, Prof. Ahmad Pengalaman. 

Khamis, 18 Oktober 2012

Permit Mengajar

Ini permit mengajar aku yang pertama dan terakhir. Aku mula mengajar pada 1 Disember 1989 (pada masa itu, sesi persekolahan bermula pada bulan Disember). Dengan bangganya aku memohon permit, namun setelah menerimanya, aku rasa marah. Apa tidaknya? Permit yang diberikan itu sah untuk beberapa hari sahaja. Yang sepatutnya permit itu sah selama setahun. Mungkin alasan mereka kerana aku memohon pada akhir tahun, maka tarikh permit itu tidak boleh melangkaui tahun berikutnya. Aku fikir memohon permit pada awal sesi persekolahan itu sudah bijak. Rupa-rupanya ....  Marah terhadap tindakan dan pemikiran tidak bijak pegawai (dan JPWP juga), maka sehingga kini aku tidak memohon permit mengajar. Dan, ramai guru yang tiada permit mengajar. Apakah permit ini masih ada kini, tidak dapat pula saya pastikan.

Khamis, 4 Oktober 2012

Warganegara

Ini ialah bukti aku seorang warganegara yang sah di negara berdaulat. Bukan pendatang atau didatangkan. Bentuknya sehelai kertas bertulis tangan dan dikeluarkan di Petaling Jaya. Kertas itu kemudian diliminit dengan plastik tebal. Sangat mudah menyimpannya, lembut dan tidak mudah patah. Kad aku ini pernah rosak sekali dan hilang sekali. Boleh dilipat atau digulung. Kunamakan ia sebagai Kad Pengenalan Plastik. Dalam tahun 1990-an, kad ini ditukar kepada Kad Pengenalan Bunga Raya. Bentuk tidak selembut kad ini. Jika terlipat akan nampak kesan lipatannya.  Tulisannya bercetak dan kertasnya berwarna. Tahun 2000-an, sekali lagi kad ini ditukar dan dinamakan Kad Pengenalan Bermutu Tinggi. Dikatakan bermutu tinggi kerana ada cip komputer melekat padanya. Bentuknya seperti kad kredit bank dan mudah patah jika terlipat. Kertasnya berwarna biru.

Khamis, 27 September 2012

Persatuan Suluh Budiman

Persatuan Suluh Budiman (PSB) ialah persatuan bekas pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris (SITM/MPSI/IPSI). Maktab ini dibina pada tahun 1922. Aku memasuki maktab ini saat nama dikenali Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) pada bulan Julai 1987 - 1989 bagi jurusan PSM: Sejarah/ Pendidikan Seni dan ditempatkan dalam Kumpulan G. Aku belajar di sini selama dua tahun setengah.
 
PSB ditubuhkan pada tahun 1972 dan aku mula menganggotainya pada 20 Disember 1996. Permohonan aku diluluskan dalam mesyuarat PSB pada 22 Disember 1996, dan surat pemberitahuan yang diterima bertarikh 22 Februari 1997. Aku diterima sebagai anggota seumur hidup dengan nombor keahlian 1493.
 
Sejak menjadi ahli aku tidak pernah menghadiri aktivitinya kerana tidak pernah diberitahu. Malah, aku juga tidak tahu apakah PSB masih beroperasi setelah IPSI dinaiktarafkan kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Juga tidak dapat dipastikan, apakah nama aku masih berada dalam senarai keahliannya kini.

Sabtu, 22 September 2012

Kerjasama Perpaduan

Syukur Alhamdulillah kerana UMNO dan PAS dapat bersama-sama menyatakan perasaan kecewa dan kemarahan terhadap tindakan sentimen pengusaha filem Innocence of Muslims dari Amerika Syarikat dan karikatur dari Perancis yang menghina Nabi Muhammad SAW tanpa dihuruharakan oleh agen provokasi. Namun begitu, saya rasa kecewa kerana UMNO dan PAS masih gagal bersatu dan bergading bahu dalam menyatakan rasa hati terhadap isu yang sama.

Secara peribadi sudah lama saya ingin melihat kerjasama perpaduan kalangan pemimpin, khususnya dalam isu-isu yang berkaitan kepentingan agama dan nasional. 
 
Sepanjang 55 tahun merdeka dan 55 kali meraikan sambutan Hari Kebangsaan, seingat saya, tidak pernah berlaku kerjasama antara dua parti itu, walaupun terhadap isu kepentingan negara dan agama. Ketiadaan kerjasama itu, pada saya, membuktikan bahawa UMNO dan PAS tidak berhasrat mencapai perpaduan dalam erti pemahaman yang sebenar.

Kita sering mendengar para pemimpin nagara menguar-uarkan agar rakyat menghulurkan kerjasama membentuk perpaduan nasional, namun pada realitinya mereka sendiri tidak bersatu. Hal ini jelas menunjukkan bahawa seruan yang diuar-uarkan itu sekadar retorik politik semata-mata.

Jika dalam isu merai Hari Kebangsaan dan agama pun mereka tidak dapat bersama-sama sepentas dan sejalan menyambutnya, apatah lagi dalam isu yang lain. 
 
Alangkah perkasanya demonstrasi antikebiadaban terhadap sesetengah rakyat Amerika pada 21 September 2012 itu jika kedua-dua parti bergabung menunjukkan kebencian yang sama dengan cara menganjurkan di tempat yang sama dan bergerak bersama-sama ke kedutaan Amerika, tidak sebagaimana sekarang - demonstrasi PAS bergerak dari Masjid Tabung Haji di Jalan Tun Razak dan berarak ke kedutaan Amerika. Manakala, demonstrasi UMNO pula berlangsung statik di Masjid Kampung Baru tanpa bergerak ke mana-mana.

Pada saya, alangkah baiknya jika demonstrasi UMNO juga bergerak ke kedutaan Amerika dan bergabung dengan demonstrasi PAS. Dengan cara ini akan terlihat kesungguhan bantahan dan kesatuan hati rakyat Malaysia membantah pembuatan dajal sesetengah rakyat Amerika.
 
Tidak usahlah 'berteriak' menyeru agar rakyat bersatu-padu jika pemimpin tertinggi parti dan negara pun tidak menunjukkan sikap mahu bersatu dalam isu agama dan nasional.

Rabu, 5 September 2012

Novel 'Ke Pulau Sebatik 1'

Novel 'Ke Pulau Sebatik 1' (kePS) merupakan karya sulung penulis muda bernama Nur Mustika. Berdasarkan catatan biodata, Nur Mustika atau nama sebenarnya Noor Ainna Ab. Hamid mula melanjutkan pengajian di Akademi Pengajian Melayu pada tahun 2006. Majornya dalam Kesusasteraan Melayu dan minornya dalam bidang Pengajian Media. Jika diambil kira tahun pengajian rasmi peringkat sarjana muda dan penerbitan karya sulung pada tahun 2012, maka boleh dikatakan bahawa Nur Mustika seorang yang bertuah. Semangatnya masih berkobar-koibar dan idea mencurah-curah. Dengan keberuntungan itu, saya amat berharap agar pohon intelektualnya terus membuahkan karya-karya lain.  
 
Novel kePS bertolak daripada perahu pengalaman masa lalu diri pengarang. Saya fikir, idea ini wajar dan berkesan, dan patut diteladani. Tidak salah beridealisme yang tinggi-tinggi yang hebat-hebat jika berkemampuan. Tidak salah juga jika bertolak daripada pengalaman, kerana dengan cara ini, pemasalahannya lebih mendekati diri pengarang.
 
Nur Mustika ternyata berjaya menguli pengalaman masa lalunya hingga membentuk sebuah karya bertulis. Oleh sebab berkaitan masa lalu, maka novel ini padat dengan realiti sejarah. Penceritaan kePS bertolak dari rasa rindu watak terhadap kampung halaman, Pulau Sebatik. Imaginasi penceritaan bergerak mengiringi alam realiti watak Nur dari Universiti Malaya ke KL Sentral, dari KL Sentral ke LCCT, dan dari LCCT ke Tawau. Mengisi pergerakan watak Nur ke tiga stesen itu, Nur Mustika meramburambakan cerita dengan mengimbas kenangannya di Pulau Sebatik. Pulau yang terbelah dua ini menyimpan sejarah penjajahan Inggeris-Belanda, pembentukan Malaysia, kegiatan ekonomi masyarakat, sistem kepercayaan, adat dan adab masyarakat, etnik, dan sebagainya.
 
Oleh sebab novel kePS kaya dengan nilai sejarah tempatan dan kemasyarakatan, lebih-lebih lagi mengisahkan pengalaman watak Nur, maka saya berpendapat novel kePS ini merupakan novel autobiografi sejarah. Autobiografi kerana mengimbaskan realiti kenangan diri pengarang, manakala kesejarahannya kerana memaparkan realiti sejarah benar di Pulau Sebatik.
 
Nur Mustika berjaya memfiksyenkan sejarah hidupnya dalam sebuah karya kreatif terbitan ITBM dan PENA. Pengarang berjaya mengawal kisah sejarah agar bebas dari bersifat laporan dengan memfiksyen atau memberi nilai sastera bagi meramburambakan kisah sejarahnya. Hal ini menyebabkan wujud beberapa unsur suspen dan bebas dari jangkaan pembaca. Nur Mustika bijak memainkan perasaan pembaca.
 
Kesimpulannya, pengarang novel setebal 133 halaman ini berjaya memfiksyenkan sejarah hidupnya, dan kegiatan sosio budaya masyarakat di Pulau Sebatik. Membacanya kita akan dapat memahami sejarah dan sosiologi masyarakat Pulau Sebatik, di samping memahami nilai kasih-sayang dalam sesebuah keluarga. 

Isnin, 27 Ogos 2012

Mencari Jalan Pulang

Saya baharu selesai membaca buku autobiografi Dr Kassim Ahmad berjudul "Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme kepada Islam (MJP) terbitan ZI Publications Sdn. Bhd, tahun 2008. Suatu ketika dahulu, saya pernah membaca akan cita-cita akhir Dr Kassim ialah mahu menulis autobiografi dan terjemahan al-Quran. Satu cita-citanya telah tercapai, hanya tinggal satu lagi. Harapan saya, semoga cita-cita berbaki itupun akan tercapai. Saya pasti bahawa cita-cita berbaki itu juga akan tercapai. Keyakinan ini berasaskan kepercayaan saya bahawa dalam semua tulisan-tulisan Dr Kassim yang memuatkan terjemahan ayat al-Quran adalah terjemahan beliau sendiri. Kalau benar, ini bermakna usaha terjemahan itupun hanya tinggal bakinya sahaja.
 
Saya memang meminati tulisan-tulisan Dr Kassim. Pemikirannya tinggi, telus dan berani. Karya-karya sasteranya adalah bersifat kerakyatan. Malahan, berkenaan pembentukan negara bangsa dan perpaduan nasional telahpun dijanakan oleh Dr Kassim sejak awal kemerdekaan lagi. Ideanya itu lebih menarik berbanding idea-idea yang dilaksanakan oleh Perikatan. Kalau Dr Kassim berada dalam Perikatan, saya percaya, telah lama Dr Kassim dilantik sebagai menteri.
 
Berdasarkan pembacaan saya terhadap buku-buku yang mengisahkan penglibatan seseorang dalam aliran kiri ialah kerana berlaku penindasan dan kekejaman pihak berkuasa terhadapnya atau keluarganya. Dalam hal ini saya dapati demikian juga pada diri Dr Kassim. Kekiriannya bukan kerana ideologi kiri yang menarik, tetapi disebabkan kemiskinan dan kesengsaraan keluarga. Kekiriannya ditarik oleh faktor kemiskinan. Namun begitu, jiwa sebenarnya bukan bersifat kekirian, apalagi beraliran komunisme. Malahan dalam buku setebal 243 halaman ini digambarkan seolah-olah beliau tersalah masuk dalam dunia kekiriannya itu. Usahanya untuk keluar daripada kekiriannya itu dan memasuki aliran keislaman sudah bermula sejak tahun 1960-an lagi. Walau bagaimanapun, saya menganggap usaha awal itu bukan cetusan nuraninya yang sebenar.
 
Berdasarkan catatannya dalam buku MJP ini, faktor mutakhir (mungkin sebenar) ialah kerana kejatuhan aliran sosialis di peringkat dunia. Negara pendokong sosialis telah beralih kepada aliran kapitalisme. Ini ditambah pula dengan tindakan partainya yang menolak kepimpinannya. Dua faktor ini, pada pandangan saya, telah membawa perletakan jawatan Presiden partai dan ahli partai pada tahun 1984 dan menyertai UMNO pada tahun 1986. Persoalannya, mengapakah beliau tidak menyertai PAS?
 
Buku ini memang banyak mutiara ilmu. Kita boleh mengetahui fenomena dunia, pemasalahan Malaysia, politikus, partai dan diri Dr Kassim sendiri. Walau bagaimanapun, saya tidak puas membaca buku ini. Saya merasai Dr Kassim masih menyimpan banyak rahsia dirinya. Dalam bab-bab tertentu pula saya merasai tulisannya itu sebuah esei kemasyarakatan atau politik dunia. Beliau mencernakan pandangan, bukannya kisah dirinya. Hanya kisah berkenaan isu antihadis telah diceritakan perihal penglibatannya yang sebenar dan terasa kepuasan membacanya. Hal ini amat berbeza dibandingkan buku autobiografi Syed Husin Ali berjudul Dua Wajah. Justeru, saya berpendapat Dr Kassim masih perlu menulis autobiografi dirinya. Barangkali, beliau boleh memfokuskan buku itu khusus untuk bidang tertentu sahaja. Misalnya, sebuah autobiografi menceritakan penglibatannya dalam politik. Autobiografi yang lain menceritakan penglibatannya dalam sastera, dan sebagainya. Autobiografi menceritakan pengalamannya di bawah Akta ISA telah diterbitkan, berjudul Universiti Kedua.
 
Itu pandangan saya dan pandangan ini bukan bermaksud buku MJP ini tidak bagus. Telah saya katakan bahawa buku ini banyak mutiara ilmu, khususnya perihal kemasyarakatan. Setakat ini, bukunya dalam dunia sastera ada sebuah sahaja, iaitu buku Kemarau Di Lembah yang memuatkan cerpen dan sajak. Buku tentang esei kesusasteraan belum ada lagi sedangkan beliau bergiat aktif dalam bidang berkenaan. Sebagai peminat, saya menunggu buah kalam Dr Kassim seterusnya.
 
Mengakhiri catatan ini, saya perturunkan petikan kata-kata Dr Kassim sebagai peringatan dan renungan kepada saya dan rakan-rakan penulis.
 
"Minat saya kepada sastera antara lain ialah kerana saya tertarik kepada bahasa yang cantik dan indah yang diperlihatkan dalam novel dan puisi."
                               
                                                                                (Dr Kassim Ahmad, 2008: 51)
                                                                                               

Isnin, 20 Ogos 2012

BAGAI ISO DI IPG, MAKIN DIBAIKI MAKIN ROSAK


Setiap kali pensyarah di IPG menerima CD MS ISO untuk didokumenkan pekerjaan mereka, malangnya dokumen-dokumen yang dikatakan telah ditambahbaikan itu terdapat pula kecacatan-kecacatan lain. Kecatatan itu sama ada dokumen yang sedia cacat itu telepas ditambahbaikan, atau  berlaku dokumen asal yang sedia baik dan lengkap telah 'dicacatkan' dalam penambahbaikan.  Dokumen dalam MS ISO juga sering berubah sehingga pihak auditee sentiasa tidak faham dan sentiasa melakukan kesalahan. Ada kalanya pihak auditor meminta dokumen-dokumen yang tiada disenaraikan dalam MS ISO. Pernah juga terjadi, pihak auditor tersalah mentafsir (tidak faham) arahan dalam Manual Kerja dalam MS ISO. Apabila kefahaman auditor yang salah itu tidak bertepatan dengan pendokumentasian auditee (walaupun betul), maka dengan kuasanya auditor mempersalahan kerja-kerja betul auditee tersebut. Hal ini memberi tekanan kepada pensyarah sehingga menyebabkan kerja-kerja mendokumentasikan MS ISO menjadi kerja utama berbanding dengan tugas mengajar. Selain itu, dalam melaksanakan urusan dokumentasi ini berlaku penipuan maklumat, penipuan dokumen dan pembaziran. Penipuan-penipuan itu bukan sahaja datang dari auditee, malahan juga dari pentadbir. Apabila MQA beroperasi di IPG, berlaku pula pertindihan (penambahan bebanan) kerja. Dokumen-dokumen sama terpaksa dibuat beberapa salinan untuk direkodkan dalam beberapa fail. Sering pula terjadi manual arahan dalam MS ISO tidak sama dengan manual arahan dalam MQA walaupun terhadap dokumen sama. Berasaskan maklumat-maklumat di atas, maka saya bersetuju dengan pandangan "Bagai ISO di IPG, makin dibaiki makin rosak."  Malah, saya bersetuju jika MS ISO di IPG dikhususkan kepada pihak pentadbir (staf sokongan), manakala MQA dikhususkan kepada tenaga akademik.

Ahad, 12 Ogos 2012

Penyangak 36630

(1) 36630 E tΣ¿5 BEÖ äF,Ξ7gZX*&nÖ4oÖ£òceø@/éR-( £$@ Θf¡a@2sZMsR-ÜΨ?ù! 2#HΠ*5@DΣΔù¡@¥ 1*ΛhT" ù1J4hΦΔH I*èèU` ò=:eÇS` 03/07/2012 09:37:51; (2) 36630 E tΣ¿5 BEÖ äF,Ξ7gZX*&nÖ4oÖ£òceø@/éR-( £$@ Θf¡a@2sZMsR-ÜΨ?ù!j¤Ø (1@DΣΔù¡@¥ 1*ΛhT" ù1J4hΦΔH I*èèU` ò=:eÇS` 04/07/2012 09:32:19;  (3) 36630 E tΣ¿5 BEÖ äF,Ξ7gZX*&nÖ4oÖ£òceø@/éR-( £$@ Θf¡a@2sZMsR-ÜΨ?ù!RékR&X@DΣΔù¡@¥ 1*ΛhT" ù1J4hΦΔH I*èèU` ò=:eÇS` 05/07/2012 10:48:50; (4) 36630 E tΣ¿5 BEÖ äF,Ξ7gZX*&nÖ4oÖ£òceø@/éR-( £$@ Θf¡a@2sZMsR-ÜΨ?ù!$%òΦΞ2@DΣΔù¡@¥ 1*ΛhT" ù1J4hΦΔH I*èèU` ò=:eÇS` 06/07/2012 09:48:28; dan (5) 36630 E tΣ¿5 BEÖ äF,Ξ7gZX*&nÖ4oÖ£òceø@/éR-( £$@ Θf¡a@2sZMsR-ÜΨ?ù!rèfRΞM@DΣΔù¡@¥ 1*ΛhT" ù1J4hΦΔH I*èèU` ò=:eÇS` 09/07/2012 12:47:03

Inilah lima contoh mesej yang dihantar oleh 'penjenayah' melalui nombor 36630 kepada nombor broadband aku. Mesej ini tidak pernah aku minta, dan tidak pernah aku baca, malahan tidak dapat aku baca, juga tidak tahu bunyi fonetiknya, serta tidak faham cara membacanya. Tidak aku tahu akan tujuan Celcom hantar mesej ini, atau membenarkan laluan mesej ini di talian Celcom. Tidak juga aku tahu, adakah mesej itu milik penuh Celcom, atau milik anak syarikat berkaitan Celcom, atau talian haram penjenayah memecah masuk talian Celcom, atau rakan niaga Celcom. Berasaskan teori pengedar dadah dalam sistem perundangan Malaysia dan teori pengedaran arak dalam agama Islam, dengan membenarkan unsur menipu beroperasi di laluannya, aku berpendapat Celcom juga termasuk dalam kategori penjenayah, iaitu bersubahat kalaupun tidak penjana. Oleh sebab Celcom diberikan lesen untuk beroperasi, maka dapat dianggap bahawa penipuan ini dilakukan oleh penjenayah berlesen. Memang terdapat banyak penjenayah berlesen sekarang. Walau apapun, aktiviti penjenayah berlesen ini cukup menyusahkan kerana menelan wang berganda daripada yuran bulanan yang sepatutnya aku bayar. Apakah tujuan semua penipuan ini, hanya Celcom sahaja yang tahu rahsianya.

Selasa, 10 Julai 2012

Kongsi Pengalaman


Utusan Borneo, 8 Julai 2012
Tahniah kepada 10 orang guru yang belajar di IPG Kampus Tawau di bawah program PGSR opsyen Bahasa Melayu. Mereka melaksanakan kajian tentang penulis sastera remaja atau sastera kanak-kanak bagi memenuhi kerja kursus BMM3116 Genre Kesusasteraan Melayu dalam Bahasa Melayu. Memang agak memenatkan apabila melaksanakan kajian lapangan, namun pengalamannya amat memaknakan. Sekali lagi, tahniah, kepada Bacho Laju, Salman Isab, Kalbi Haji Japri, Rosehatib A. karim, Rusnah Bacho, Sapiah Amin, Salmiah Ishak, Rosella Tahir, Saripah Halid dan Lediah @ Lydia Siau. Juga diucapkan berbanyak terima kasih kepada sasterawan Ali Karim, Abd. Naddin Haji Shaiddin, Mabulmaddin Hj. Shaiddin, Sitti Rahmah G. Ibrahim, Noraini Osman kerana melayani karenah mereka. Untuk semua, selamat maju jaya.

Selasa, 3 Julai 2012

Halangan Pengajaran

Antara amalan pengajaran saya ialah memberi latihan terhadap pembelajaran semalam. Soalan latihan meliputi isi pengajaran dan persekitaran. Kadangkala, soalan dikemukakan sebagai refleksi diri dan refleksi pedagogi guru secara umum. Semalam telah saya kemukakan lima soalan bertulis kepada pelajar Program Diploma Perguruan Lepas Ijazah (DPLI) seramai 41 orang. Antaranya soalannya ialah "Berikan dua sebab aktiviti pengajaran guru tidak menyeronokkan."  Soalan ini memerlukan pelajar merefleksi pengalamannya di sekolah, dan sekali gus sebagai peringatan kepada saya dan juga mereka sendiri yang bakal menjadi guru terlatih.

Daripada jawapan oleh 41 orang pelajar, saya dapat mengesan 32 alasan atau sebab pengajaran guru tidak menyeronokkan. Ada yang memberi lebih daripada dua jawapan. Berikut disenaraikan 32 alasan tersebut dan jumlah skornya dalam kurungan.
  1. Persekitaran tidak selesa atau kondusif - (7)
  2. Teknik pengajaran guru yang membosankan - (6)
  3. Teknik atau kaedah pengajaran yang tidak pelbagai - (8)
  4. Teknik pengajaran guru adalah sama - (2)
  5. Teknik guru bercerita hambar - (1)
  6. Teknik pengajaran guru tidak berkesan - (1)
  7. Guru tidak menggunakan teknik pengajaran yang sesuai - (1)
  8. Pengajaran guru statik tanpa ada aktiviti - (1)
  9. Aktiviti pengajaran yang tidak pelbagai - (2)
  10. Aktiviti pengajaran yang sama - (1)
  11. Guru tidak melibatkan murid dalam aktiviti pengajaran - (1)
  12. Penggunaan alat bantu mengajar yang tidak sesuai - (2)
  13. Bahan bantu mengajar tidak pelbagai - (4)
  14. Tiada bahan bantu mengajar digunakan - (3)
  15. Guru tidak guna alat bantu mengajar yang menarik - (2)
  16. Guru kurang kreatif menggunakan bahasa - (1)
  17. Guru kurang kreatif guna bahan bantu mengajar sedia ada - (8)
  18. Guru kurang upaya (kreatif) menarik minat murid dalam aktiviti pengajaran - (1)
  19. Guru kurang kreatif menyampaikan ilmu - (1)
  20. Guru kurang kreatif melaksanakan pengajaran - (1)
  21. Tiada unsur didik hibur dalam pengajaran guru - (5)
  22. Tiada menyelitkan unsur kelucuan/humor dalam pengajaran - (7)
  23. Suara guru tidak jelas - (5)
  24. Intonasi suara guru mendatar (1)
  25. Guru kurang maklumat atau persediaan untuk mengajar - (1)
  26. Guru kurang memahami tajuk yang diajar - (1)
  27. Jadual waktu yang padat - (2)
  28. Jadual waktu yang panjang (1)
  29. Pengajaran yang berpusatkan guru semata-mata - (1)
  30. Guru tidak guna bahasa badan - (1)
  31. Guru tidak ujar ayat dengan sebutan yang betul - (1)
  32. Murid tidak berminat terhadap tajuk yang diajarkan - (1)
Kesimpulannya ada 12 kategori sebab pengajaran guru membosankan. Semoga entri ini memberi peringatan kepada saya dan teladan kepada pembaca.

Selasa, 26 Jun 2012

Kerja yang Hina


Guru-guru selalu dimaniskan dengan kata-kata bahawa pekerjaan sebagai guru adalah paling mulia. Saya tidak menolak kebenarannya, sebagaimana saya tidak menolak bahawa bekerja sebagai guru juga, terkadang, paling hina. Kalau kita menyebarkan ilmu yang benar, maka mulialah kerja kita sebagai guru, dan sebaliknya. Di sini, saya akan berbicara dua realiti yang akan memungkinkan guru dapat penghinaan.

Pertama, untuk menjadi mulia, maka guru-guru dianjur, digalak dan mengamalkan sikap berkolaborasi. Sikap ini juga diterap kepada murid dan diamalkan dengan meluas oleh sebilangan pegawai di peringkat kementerian, jabatan pendidikan dan juga institut pendidikan guru. Kamus Dewan mencatatkan maksud kolaborasi sebagai kerjasama membuat pakatan jahat atau merancang melakukan kejahatan. Tentulah perbuatan ini bertentangan dengan ajaran agama. Walaupun kemungkinan guru tidak mengetahui maksud sebenar kolaborasi, jika murid mengetahui maknanya dan melakukan pakatan jahat itu atas alasan digalakkan oleh guru, maka guru tetap bertanggungjawab terhadap saranannya. Maka, kerja mulia guru akan bertukar menjadi kerja yang hina.
Kedua, saya merujuk satu kesilapan dalam Modul Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu, ditulis oleh empat orang doktor falsafah dan dua orang sarjana.  Topik yang dibicarakan ialah kesalahan sebutan dalam bahasa Melayu, iaitu kesilapan disebabkan pemilihan kata yang tidak tepat. Perhatikan contoh ayat yang diberikan dalam modul di halaman 74.

  1. Dia menunggang kuda pintar.
  2. Dia menunggang kuda cerdik.

Dalam Ayat 1 terdapat istilah "pintar", manakala dalam Ayat 2 terdapat istilah "cerdik."  Dikatakan bahawa penggunaan istilah “pintar” dalam Ayat 1 adalah salah. Yang betulnya ialah menggunakan istilah “cerdik” sebagaimana dalam Ayat 2.
Kedua-dua istilah itu merujuk kepada binatang. Pernahkah anda bertemu dengan kuda "pintar" atau kuda "cerdik?" Tentunya tidak. Maka, dari segi wacana, kedua-dua ayat itu salah, walaupun binaan ayatnya betul. Salah kerana pemilihan perkataan "pintar" dan "cerdik" yang dipadankan dengan binatang.

Makhluk yang "pintar" dan "cerdik" hanyalah manusia sahaja. Kuda bukan manusia. Kuda, sebagaimana binatang lain, sekadar ada otak sahaja, tetapi tidak mampu menggunakan otak sehingga menjadi "pintar" atau "cerdik." Yang ada otak dan menggunakannya sehingga "pintar' dan "cerdik" ialah manusia. Manusia dianggap haiwan berakal. Oleh sebab manusia menggunakan dan memanfaatkan akal, maka manusia berbeza dengan makhluk Allah yang lain, termasuk Malaikat. Dengan menggunakan akal, maka manusia menjadi pintar dan cerdik.

Berbalik kepada dua ayat di atas, kesalahan menggunakan perkataan telah menyebabkan kesalahan makna, dan seterusnya kesalahan maksud mesej yang ingin disampaikan. Tidak ada kuda yang pintar sebagaimana tidak ada kuda yang cerdik. Maklumat yang disarankan agar pelajar menggunakan istilah “cerdik” (dalam Ayat 2) sebagai menggantikan istilah “pintar” (dalam Ayat 1) adalah salah. Kedua-dua ayat itu salah. Untuk menunjukkan istilah “pintar” dalam Ayat 1 adalah salah, maka kosa kata "cerdik" dalam Ayat 2 perlu ditukarkan. Oleh sebab kuda sejenis binatang, maka Ayat 2 itu mesti diganti dengan istilah "jinak" atau "liar" agar Ayat 2 betul, manakala Ayat 1 kekal dengan istilah "pintar" atau "cerdik" sebagai membuktikan salah. Contoh ayat sebagaimana di bawah.

  1. Dia menunggang kuda "pintar / cerdik."
  2. Dia menunggang kuda "liar / jinak."
Demikian dua contoh kesilapan, walaupun tanpa sengaja, yang boleh menjerumuskan ke arah pekerjaan paling hina.

Khamis, 21 Jun 2012

Rihlah Ilmiah

Alhamdulillah, dicelah kesibukan kerja yang tidak menentu, akhirnya dapat juga saya menghabiskan pembacaan buku setebal 474 halaman ini. Banyak maklumat yang mengesankan saya perolehi daripada buku Rihlah Ilmiah Wan Mohd Nor Wan Daud: Dari Neomodernisme ke Islamisasi Ilmu Komtemporer (RI), khususnya berkenaan gerakan ilmu dan keintelektualan muslim Malaysia dan dunia. Rupa-rupanya gerakan ilmu benar tidak semudah harapan dan sangkaan. Banyak halangan termasuk dari pemimpin Islam sendiri.

Buku memuatkan dua dalam satu ini - autobiografi dan biografi dipersembahkan secara wawancara, mendedahkan pengalaman Wan Mohd Nor Wan Daud, dan ketokohan Syed Muhammad Naquib al-Attas, sebagai sarjana intelektual muslim Malaysia peringkat dunia. Banyak rahsia disingkatkan seperti strategi pengukuhan gerakan intelek dan halangannya, pendirian kesarjanaan, hubungan diplomatik kesarjanaan, gerakan pelajar muslim Malaysia di luar negara, krisis keintelektualan sarjana, sarjana muslim palsu, serta panahan politik hingga 'terbunuhnya' jawatan al-Attas dan ISTAC.

Membaca buku yang diusahakan oleh Dr. Adian Husaini terbitan UTM-CASIS, Jakarta, 2012, ini memberi kepuasan ilmiah tersendiri. Pembaca dihidangkan pandangan-pandangan kritis seperti gerakan Islam di Malaysia tidak pernah sampai ke hujung silibus, tiada kesungguhan, dan sentiasa diwarnai kepentingan peribadi. Apabila hal ini terjadi maka ilmu yang diterima oleh manusia tidak suci, tidak benar dan tidak bebas apabila manusia meletakkan makna ilmu berdasarkan pandang alam dirinya, tafsiran pada pemahamannya dan huraiannya berdasarkan cita rasa dan ideologi. Maka dengan itu, ilmu tidak lagi bebas. Hal inilah yang sedang membarahi masyarakat di negara kita.

Bagi membersihkan anasir jahat dalam penyebaran ilmu salah dan demi keharmonian bangsa dan negara, dan mengislamisasikan ilmu, Malaysia memerlukan satu gerakan radikal bagi mengatasinya. Gerakan ini, disarankan, harus dimulakan oleh golongan pendidikan di perguruan tinggi kerana pendidik merupakan sumber pusat  yang boleh mewariskan semangat  kesedaran ilmu benar kepada murid dan seterus kepada masyarakat melalui murid atau bekas murid. Guru yang mengajar di peringkat prasekolah, sekolah dasar dan sekolah menengah merupakan produk dari perguruan tinggi. Justeru, pengajaran dan pembelajaran di perguruan tinggi perlu direformasikan seperti kepakaran tenaga pengajar, sukatan pelajaran, bahan-bahan pembelajaran, juga visi dan misinya.

Mengakhiri catatan ini, berdasarkan kefahaman saya membaca buku ini, saya berpendapat bahawa Wan Mohd Nor Wan Daud  adalah ibarat sebuah perpustakaan al-Attas yang di dalamnya tersimpan visi - misi, cita-cita, ilmu, cara kerja, rakan, jerit-perit, kepercayaan  serta suka duka al-Attas. Malahan tersimpan juga pengalaman-pengalaman peribadi al-Attas. Pengetahuannya tentang al-Attas amat mendalam. Maka benarlah pada orang yang berkata bahawa beliau merupakan kultus al-Attas. Bagi saya, beliau merupakan al-Attas Junior. Beliau dikenali kerana orang mengenali al-Attas dan beliau sangat dipercayai oleh al-Attas. Hal ini tidak menghairankan kerana beliau sangat hormat dan menyayangi al-Attas.

Selasa, 12 Jun 2012

Bahagia

Hidup ini bukan untuk membahagiakan orang lain, melainkan hidup ini  untuk membahagiakan diri sendiri. Jikalau diri sendiri sudah beroleh  rasa bahagia dan bahagia akan bahagia jugalah orang-orang di sekitar dirinya kerana diri sendiri tidak lagi meracau atau berkelakuan sehingga mengganggu rasa bahagia dan kebahagiaan orang lain. Oleh sebab rasa bahagia antara manusia berbeda, maka adalah wajar kita mencintai diri kita, harta kita dan segala kekitaan. Jika kita mencintai diri orang, harta orang dan segala keorangan orang itu, maka sampai bila-bila pun kita tidak akan ada rasa bahagia.

Isnin, 11 Jun 2012

Melawat Taman Perkahwinan


MELAWAT TAMAN PERKAHWINAN

Rendang pepohonmu dimesrai angin bayu
layu dedaunmu diterjah angin sembilu
melawatmu taman perkahwinanku
ranum bebuah dari ikhlasnya cinta
nikmat rerasa dari rindunya puja.

9 Februari 2012

Ahad, 10 Jun 2012

Kesempurnaan

Apabila kita tidak mampu berfikir janganlah pula kita berasa marah apabila ada orang lain dapat memikirkannya kerana kesempurnaan berasal dari ketidaksempurnaan. Berasa bahagia berada dalam zon selesa atau merasai diri sudah mahasempurna merupakan musuh dalam selimut yang bakal mengigit diri sendiri. Umpamanya, seorang gadis mencari-cari calon suami yang mahasempurna, akan tanpa disedari bahawa dirinya kian tidak sempurna. Justeru, terimalah hakikat bahawa setiap komentar itu tidak lahir dari ruang kosong melainkan adanya ketidaksempurnaan atau berlawanan dengan jati bangsa, adat susila bangsa, undang-undang  atau agama. Langkah terbaik ialah berusaha membaiki ketidaksempurnaan itu, bukannya memarahi mereka yang berusaha memikirkan dan mendedahkan ketidaksempurnaan berfikir oleh pelakunya itu.

Rabu, 30 Mei 2012

Ahli Seumur Hidup

Saat media rancak melaporkan tentang Amy Serch, Mus Wings dan Ibnor Rizal menyertai Umno, saya menerima khabar telah diterima sebagai Ahli Seumur Hidup Persatuan Penulis Nasional (Pena). Ini ialah persatuan kedua saya menjadi Ahli Seumur Hidup. Persatuan pertama ialah Angkatan Sasterawan Terengganu (Pelita). Saya menjadi ahli sekitar tahun 1994. Surat Pena bertarikh 19 Mac 2012 ditandatangani oleh Setiausaha Agung Pena, Syed Mohd Zakir Syed Othman. Permohonan aku pada akhir tahun 2011 itu telah mendapat kelulusan Jawatankuasa Pena yang bermesyuarat pada 08 Mac 2012. Sebenarnya, Pena bukan sesuatu yang asing pada diriku. Sejak menetap di Kuala lumpur pada awal tahun 1990-an, aku sering mengikuti acara anjuran Pena, di samping acara anjuran Gapena dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pernah juga aku membaca puisi di Rumah Pena pada malam Jumaat. Saya sering berkunjung ke Rumah Pena ketika Sutung Umar RS berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Pena. Malah, Pena pernah menjemput aku membentang kertas kerja yang membicarakan tokoh Pena, Datuk Baharuddin Zainal. Kertas kerja yang bertajuk "Sinisme Sajak-Sajak Baha Zain" itu kemudiannya disiarkan dalam majalah Dewan Sastera. Berkat usaha, kerjasama rakan-rakan dan rahmat Allah, kertas itu telah menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Sering juga, apabila aku berkunjung (setelah berkhidmat di Pulau Pinang dan Kelantan) ke Rumah Pena apabila aku datang ke Kuala Lumpur. Ada kalanya aku bermalam di Rumah Pena, sama ada bersama keluarga atau seorang diri. Kini Pena diterajui oleh anak-anak muda generasi penulis yang pernah 'ditendang' dari belakang oleh AJK Gapena. Mereka berwawasan dan ternyata mampu mendaulatkan Pena sebagaimana pemimpin Pena terdahulu. Sebagaimana ahli Pena yang lain, saya juga berharap agar Pena terus gagah di persada persuratan Melayu. Jika ada sengketa, jangan sampai memusnahkan persatuan. Bersengketa memang sudah menjadi adat berpersatuan. Itulah kenangan dan penjana kematangan. Pemimpin besar mesti diuji. Lagi besar seseorang akan jadi pemimpin, maka lagi besar ujiannya. Lihatlah, Mendela atau Ang Su Yi. Jika lulus ujian tersebut akan jadilah dia pemimpin besar. Pemimpin tanpa cabaran atau takut menghadapi cabaran bakal meruntuhkan organisasi. Diharapkan, hal ini, tidak demikian pada Pena, dan persatuan-persatuan penulis yang lain.

Selasa, 29 Mei 2012

Senam Tonggeng

Tidak pasti, apakah senam tonggeng ada dalam tentera? Yang pasti, senam gaya tonggeng memang ada. Badan membongkok sehingga hujung jari  menyentuh ibu kaki. Senaman yang sedemikan bentuknya itu bukan bertujuan menonggeng kepada seseorang. Senaman itu untuk memanaskan badan sahaja. Temtulah niat dan gaya senaman itu berbeza dengan niat dan gaya tari tonggeng oleh kumpulan penyanyi K-Pop dari Korea mahupun sekumpulan bekas tentera seperti dalam gambar di sebelah. Yang pasti, senam tonggeng untuk menonggeng kepada seseorang telah dipelopori oleh bekas tentera yang mengetuai Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) Dato' (B) Mohd Ali Baharom. Kini dikenali sebagai Ali Tonggeng. Beliau dan beberapa orang bekas tentera yang bergabung dalam PVTM telah mempersembahkan Senam Tonggeng di hadapan kediaman pengerusi Bersih 3.0, Datuk S. Ambiga. Perbuatan ini diibaratkan, kerana nila setitik rosak susu sebelangga, kerana telah mencemarkan nama baik bekas tentera, baik bekas tentera dalam PVTM mahupun bekas tentera yang bergabung dalam Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (KERABAT) atau bekas tentera di luar persatuan. Kita menghormati tentera Malaysia kerana jasanya yang sangat besar kepada negara. Sebahagian keamanan negara datang daripada peluh tentera. Tanpa pengorbanan mereka, mungkin negara kita masih belum merdeka. Walau bagaimanapun, kita juga sedar bahawa sebilangan kecil musuh negara datang daripada bekas tentera. Mat Komando misalnya, menjadi penjenayah setelah bersara daripada tentera. Malah, geng al-Mauna yang menentang kerajaan adalah tentera yang masih berkhidmat. Perbuatan itu tentunya memburukkan imej negara dan imej tentera sendiri. Walaupun peratusnya kecil, sepatutnya tiada bekas tentera menjadi musuh atau penjenayah. Mereka terkenal sebagai orang yang berdisiplin dan setia kepada negara. Jika orang yang dilatih setia dan dianggap paling setia telah tidak setia, maka ada sesuatu yang tidak kena. Pihak kerajaan perlu memeriksa akan sebab berlaku yang demikian itu. Mungkin kebajikan mereka selepas bersara tidak dipedulikan, menyebabkan mereka hidup merempat atau memilih menjadi penjenayah. Setahu saya, ramai bekas tentera yang berkhidmat sebagai pengawal keselamatan @ jaga.  Pada saya, kerja sebagai pengawal keselamatan @ jaga bukan penghormatan terhadap bekas tentera. Kerja itu tidak setimpal dengan jasa mereka. Malahan, sesetengahnya tiada pencen bulanan sebagai tentera sehingga terpaksa mohon bantuan menyara hidup keluarga. Ibarat pepatah, habis madu sepah dibuang.

Sabtu, 26 Mei 2012

Akhirat

Semua orang akan mati. Semua orang akan dihidupkan kembali. Baik orang itu beragama Buddha, beragama Hindu, beragama Kristian dan lebih-lebih lagi orang yang beragama Islam. Mereka percaya bahawa ada kehidupan selepas mati. Namun, kehidupan itu berbeza. Hidup di dunia berbeza dengan hidup di akhirat atau selepas mati. Hidup antara seseorang dengan seseorang yang lain di akhirat juga berbeza, sebagaimana berbeza hidup manusia-manusia ketika di dunia. Ada yang hidup berbahagia. Ada yang hidup menderita. Semuanya bergantung pada ibadah dan amalan jariahnya. Baik amalan di dunia akan baiklah hidupnya di akhirat. Dan, sebaliknya. Berkata Ustaz Azizan Abdul Razak, apabila manusia mengejar akhirat, dia akan mendapat dunia. Namun, apabila manusia mengejar dunia, belum tentu dia akan mendapat akhirat. Walaupun ada pertalian 'waris' antara dunia dan akhirat, namun pertalian 'waris' yang diterima baik adalah berdasarkan kiraan ibadah dan amalan jariahnya. Jawatan besar di dunia belum menjamin kebahagiaan hidup di akhirat. Semuanya bergantung pada ibadah dan amalan jariahnya. Justeru, beliau menyarankan agar guru-guru (dan sesiapa sahaja) mencontohi kegigihan Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang terus mengajar ilmu kepada masyarakat biarpun setelah menjadi menteri besar dan menghadapi pelbagai cabaran termasuk dianggap sebagai 'bapa kafir' oleh Tan Sri Abdul Rahim Noor. Guru-guru (dan juga pendakwah) perlu juga ingat dan jangan tenggelam dalam mitos bahawa pekerjaan sebagai guru itu mulia. Selain paling mulia, saya menerima juga hakikat bahawa pekerjaan sebagai guru boleh bertukar menjadi pekerjaan paling hina. Mulia dan terus berkembang amalan jariahnya jika guru itu mengajar kebenaran sebagaimana dituntut oleh agama Islamnya. Hina dan berkembang amalan kehinaannya jika guru itu mengajar atau menyebar kepalsuan. Bayangkan, antara 20 orang pelajar yang menerima kepalsuan daripada Guru A, salah seorang telah menjadi guru (Guru B) dan menyebarkan (tanpa sedar) kepalsuan Guru A kepada 20 orang muridnya pula. Dan, salah seorang misalnya, daripada murid Guru B menjadi guru dan menyebarkan (tanpa sedar) kepalsuan Guru A yang disampaikan oleh Guru B kepada 20 orang muridnya pula. Dan, begitulah seterusnya, akan berkembang kemuliaan dan kehinaan guru. Tentulah amalan kemuliaan dan kehinaan itu akan mempengaruhi hidupnya di akhirat.

Rabu, 23 Mei 2012

Haram Novel

Saya baru selesai membaca novel yang telah lama dibeli ini, Sebongkah Batu di Kuala Berang karya Faisal Tehrani. Sebagaimana novel-novel karya Faisal Tehrani yang lain, novel ini juga menarik untuk direnungi dan kaya dengan nilai ilmunya. Pembaca dihidangkan dengan sejarah kedatangan Islam ke Nusantara dan masuk ke Terengganu melalui Acheh. Ini satu teori baharu yang sebelum ini dikatakan bahawa Islam masuk ke Tanah Melayu melalui Arab, atau India, atau China yang dibawa oleh saudagar. Dalam hal ini, tidak pula Faisal memberitahu status dan pekerjaan sebenar pembawa Islam dari Acheh itu. Mungkin mereka ialah saudagar, mungkin juga mereka ialah pendakwah sepenuhnya. Idea yang menarik juga ialah saranan agar industri filem kita 'diislamkan' atau digiatkan industri genre filem Islam. Memang genre ini ketinggalan berbanding genre filem hantu. Lebih ketinggalan oleh genre filem cinta. Sama ada genre filem hantu atau genre filem cinta, semuanya menghidang seni hiburan murahan. Saya merupakan salah seorang manusia yang kurang gemar menonton filem atau drama Melayu, kecuali filem atau drama itu diuar-uarkan kehebatannya mutunya. Lebih baik saya menonton filem aksi lakonan Jakie Chan atau Jet Li. Logik ceritanya lebih memuaskan. Apabila saya mencari gambar kulit novel ini diinternet, baru saya mendapat tahu bahawa novel ini telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tanpa memberi alasan (blog Suarajagat). Dikatakan oleh blog Suarajagat bahawa terdapat beberapa bahagian yang tidak 'manis' dengan Islam dan lebih-lebih lagi ada kandungannya yang menjurus unsur Syiah. Pada saya, tindakan mengharamkannya adalah tergesa-gesa, tetapi itulah identiti 'intelektual' Malaysia. Pemikirannya separuh masak. Ada baiknya, pihak KDN  dan JAKIM berbincang dengan pengarang dan penerbit bagi memurnikannya, atau dibuat diskusi. Menurut Suarajagat, ada tiga perkara dalam novel ini yang tidak murni. Pertama, berhenti bina masjid dan guna wang zakat membikin filem berunsur Islam, kedua, kenyataan Islam yang ada di Malaysia sekarang bercampuraduk dengan dokrin-dokrin bukan Islam, dan ketiga kenyataan terdapat persamaan dalam ilmu tasawuf dengan kepercayaan lampau masyarakat. Takkan kerana tiga perkara itu tidak dapat diselesaikan, lantas kita mengharamkannya. Di dalamnya masih banyak mutiara yang patut dijadikan renungan atau ikhtibar. Malah, tiga perkara itupun masih boleh diperdebatkan. Kenyataan-kenyataan Suarajagat menjawab komen pembaca lebih menjurus kepada memfitnah Faisal Tehrani.  Kikislah sikap suka mengharamkan sebelum membincangkan kewajarannya.

PANTUN SEBAGAI ALAT KOMUNIKASI MELAYU TRADISIONAL

  PANTUN SEBAGAI ALAT KOMUNIKASI MELAYU TRADISIONAL § Mohamad Saleeh Rahamad   Bukan lebah sebarang lebah,                    Lebah be...