Sabtu, 6 Jun 2015

Dialog Borneo-Kalimantan Ke-12

Kita sering kali terlupa (?) memanfaatkan kearifan tempatan bagi membina bangsa dan negara, sedangkan kearifan tempatan itu amat membijaksanakan modal insan. Kata Dr Adi Badiozaman Tuah dalam Ucaptama, kearifan tempatan yang bermula dari ide, pemikiran atau gagasan dizahirkan dalam pelbagai bentuk amalan budaya material mahupun nonmaterial. Ia bersifat bijaksana, bernilai baik dan jadi pegangan atau amalan anggota masyarakat. 

Kita mempunyai ramai pemikir, malah ahli falsafah bertaraf dunia. Namun kita terlupa (?) memanfaatkannya hingga kearifan itu diambil oleh negara luar untuk membina negara mereka. Kita ada Aminuddin Baki, Atan Long, Awang Had Salleh, Za'ba, Ungku Omar, Zulkifli Muhammad, namun kita tidak menjanakan teori pendidikan mereka ke dalam sistem pendidikan negara. Kita lebih bahagia (?) merujuk teori-teori modal insan yang dijual oleh dunia Barat. Maka, jadilah kita orang Timur yang kebaratan.