Selasa, 29 Oktober 2013

Catatan Perjalanan

Oleh sebab Mesyuarat Induksi Kursus Generik bagi Semester 2 PPISMP ambilan Jun 2013 pada 28 Oktober 2013 bermula pukul 8.30 pagi, terpaksalah saya bertolak ke Kota Kinabalu pada 27 Oktober. Waran diberikan pukul 3.15 petang. Dari Airport KK menaiki teksi (RM30), menginap di Hotel Tang Dynasty, menyewa bilik 711 bernilai RM130. Hotel ini terletak di bahagian tepi bangunan kedai yang pelbagai. Tambang teksi dari hotel ke IPGK Gaya bernilai RM15. IPGK Gaya terletak di pinggir kota raya dan sebuah IPG klasik. Masalah utama pelawat ke sini ialah pengangkutan. Teramat sukar mendapatkan teksi. Terpaksalah mohon belas ihsan warga IPGK Gaya menghantar kami ke bandar. Dari bandar saya menaiki teksi (tambang RM20) ke Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. Niat hati mahu membeli buku. Malangnya, kedai buku Dawama telah berpindah. Saya bertemu dengan kawan lama, Encik Nordin Zainal Abidin (Norza) dan Ritah Yahya. Lama juga kami berbual tentang kisah silam semasa di Kuala Lumpur. Petangnya, Encik Nordin menghantar saya ke Airport. Jadual penerbangan pada pukul 8.30 telah ditunda ke 8.50 malam kerana kelewatan tiba AK6264 dari Singapura, yang dijadualkan berlepas ke Tawau.

Ahad, 27 Oktober 2013

Tunggakan Pendapatan

Pada 21 Ogos 2013, telah saya pos satu entri berkaitan cukai pendapatan. Sekarang dipaparkan kadar baharu cukai pendapatan sebagaimana dibentangkan dalam Belanjawan 2014 di Parlimen pada 25 Oktober 2013.
PENDAPATAN BERCUKAI
KADAR CUKAI
RM5.001 – RM20,000
1 %
RM20,001 – RM35,000
5 %
RM35,001 – RM50,000
10 %
RM50,001 – RM70,000
16 %
RM70,001 – RM100,000
21 %
RM100,001 – RM250,000
24 %
RM250,001 – RM400,000
24.5 %
RM400,001 - ke atas
25 %


Kadar baharu ini amat membanggakan. Terima kasih, Perdana Menteri. Namun begitu tidak ada perubahan terhadap pendapatan tertunggak yang tidak dilaporkan dalam tahun sebelum. Jumlah pendapatan itu masih dikira dalam tahun semasa. Bagi saya, tindakan ini perlu diberikan perhatian dan diberikan alternatif bagi mengatasinya. Hal ini kerana, melonggokkan pendapatan tidak terlapor tahun sebelumnya ke dalam tahun semasa, adalah membebankan rakyat dan tidak telus. Ada banyak sebab terlewat lapor pendapatan. Salah satu ialah kelewatan menerima penyata daripada daripada pihak berkenaan. Ada juga tunggakan pendapatan yang diuruskan lewat oleh majikan dan memasuki tahun berlainan. Misalnya, tunggakan kenaikan pangkat tahun 2011 atau 2012 yang dibayar dalam tahun 2013. Harap, dalam belanjawan seterusnya akan diberikan perhatian oleh Lembaga Hasil Dalam Nagara (LHDN).

Jumaat, 18 Oktober 2013

Pejuang

Kini ada dua pihak yang mendakwa bahawa kumpulan masing-masing sebagai pejuang kemerdekaan. Pertama, golongan politik Barisan Nasional (BN), manakala golongan kedua ialah kumpulan beraliran komunisme. Paling kuat bersuara ialah golongan BN. Golongan komunisme tidak bersuara. Hanya pihak yang bersimpati dengannya menyuarakan sumbangan mereka.

Pada saya, pejuang kemerdekaan dan kemerdekaan diperoleh bukan kesan daripada perjuangan satu golongan sahaja. Ia adalah hasil kerja secara kolektif masyarakat Tanah Melayu dahulu. Asal perjuangan menentang penjajahan Inggeris bukan kerana mahu kemerdekaan. Perjuangan menentang Inggeris tercetus kerana perasaan tidak puas hati para pembesar terhadap tindakan Inggeris yang menyekat 'kemewahan' dan kebebasan mereka. Pejuang awal seperti Dato' Kelana misalnya, menentang Inggeris kerana Inggeris menyekat kebebasannya mengutip cukai. Manakala pejuang akhir, Abdul Rahman Limbong dan Tok Janggut misalnya, menentang Inggeris kerana Inggeris mengenakan cukai terhadap barangan atau usaha mereka. Mereka menentang Inggeris bukan kerana mahu memartabatkan agama dan bangsa, sebaliknya kerana mahu mengembalikan martabat kekuasaan mereka.

Golongan berpendidikan Mesir menentang Inggeris kerana faktor agama. Kesedarannya timbul setelah digerakkan oleh golongan radikal di Timur Tengah. Walaupun agama Islam cemerlang di Tanah Melayu, namun tiada catatan membayangi bahawa kecemerlangan itu mencetuskan bibit-bibit kesedaran menentang penjajahan Inggeris. Api penentangan mereka diimport.

Satu kumpulan, pada saya, adalah juga golongan yang menyemarakan kesedaran menentang penjajahan Inggeris ialah penjajahan Jepun. Idealisme Jepun, Asia untuk orang Asia, dan kejayaannya menentang Inggeris telah membangkitkan semangat juang orang Melayu dan bukan Melayu secara menyeluruh di Tanah Melayu. Hal ini ditambah pula dengan kekejaman pemerintah pada masa itu, baik dari kalangan tentera Jepun mahupun pemerintah selepas penguasaan tentera Jepun. 

Saya katakan bahawa pejuang kemerdekaan dan kemerdekaan diperoleh bukan kesan daripada perjuangan satu golongan sahaja. Maka, siapakah golongan yang ramai itu. Saya merumuskan bahawa pejuang-pejuang kemerdekaan Tanah Melayu terdiri daripada golongan pembesar yang kecundang kekuasaan, golongan beraliran kapitalis, golongan beraliran komunis sosialis, golongan beraliran agama, dan golongan pendidik (guru dan wartawan). Yang lebih mendominasi di saat ambang kemerdekaan dan seterusnya menguasai negara ialah golongan kapitalis.

Malangnya, pada saya, nilai kemerdekaan yang mereka capai itu, kini kian pudar pada generasi. Malah, identiti kenegaraan yang sepatutnya berdiri kukuh, juga kian menghilang.

Jumaat, 11 Oktober 2013

Pemimpin

Dari Kiri: Doti, Dr. Azma, Haslinda, Maniyamin dan Augustine
  1. Kita tak perlu jadi pemimpin untuk semua, cukuplah kalau dapat jadi pemimpin kepada mereka yang memerlukannya.
  2. Jangan engkau suka melihat depanku sahaja, dan benci melihat belakangku.
  3. Peristiwa negatif mudah tersebar, namun peristiwa positif sukar disebarkan.
  4. Yang dilihat pada orang lain itu, seharusnya yang nampak ialah diri sendiri.
  5. Ramai yang suka pada rama-rama, namun benci pada ulat daun.
  6. Kita perlu mempelajari, sekurang-kurang 10 tahun, untuk menjadi pakar yang sebenar-benar pakar.
  7. Kalau etika tiada maka produknya tidak bernilai.
  8. Menyeru orang menjadi baik lebih mudah berbanding menyeru diri sendiri.

Rabu, 9 Oktober 2013

Pinggan Cuci

Agak sukar juga mahu percayai peristiwa 14 September 2013 itu, namun jika itu hakikatnya, ya apa salahnya kita percaya bahawa  26,213 keping pinggan telah berjaya dicuci bersih dengan hanya menggunakan sebotol pencuci Joy seberat 800 mililiter (tanpa habis) berharga RM13.95. Khabarnya, pinggan-pinggan itu diambil dari beberapa buah universiti di Lembah Kelang, kemudian dicuci oleh 16 staf Joy dan disusunaturkan oleh 200 sukarelawan di atas trek olahraga Stadium Nasional Bukit Jalil dengan jarak sejauh 6.8 kilometer. Masa mencuci pinggan-pinggan tersebut ialah Sembilan jam, bermula tujuh pagi hingga empat petang.  Kejayaan ini dicatat dalam Guinness World Records.

Sabtu, 5 Oktober 2013

Tersibuk

Encik Mazania Bin Kasimin, Ketua Panel Hakim
Pertandingan Pidato Integriti 2013 Peringkat IPGKT
Bermula 23 September 2013, adalah musim sibuk. Bermula tarikh itu hingga 26 September merupakan Minggu Integriti. Jabatan saya (JPM) menganjur Pertandingan Pidato Integriti pada 24 Sept. Pada 25 Sept. ada Karnival Seni. Kebetulan, pada 25 - 28 Sept. kawan-kawan dari DBPKL datang ke Tawau kerana mengkaji pantun tradisional. Ada tawaran sebagai fasilitator CPD pada 7 - 11 Okt., namun terpaksa saya tolak. Sepanjang akhir Sept. memang kami sibuk  kerana akhir Projek Mikroton tanpa henti yang akan berlangsung sepanjang 4 - 11 Oktober. Saya bertugas sebagai penulis teks kata alu-aluan Pengarah dan Rektor bagi buku program dan penulis teks ucapan Pengarah, Rektor dan Timbalan Menteri Pendidikan 1 untuk majlis Perasmian Penutupan pada 12 Okt. sekali gus jadi L.O saksi untuk beberapa sesi. Dalam tarikh sama ditawarkan pula Kursus Profesionalisme pada 8 - 10 Oktober di Kuching (tiket kapal terbang beli sendiri), dan fasilitator CPD pada 7 - 11 Oktober. Oleh sebab tawaran Kursus Profesionalisme lebih awal dan sudah memberi persetujuan, maka sekali lagi tawaran fasilitator CPD terpaksa saya tolak (sehingga kini sudah tiga kali urus setia telefon mohon persetujuan). Ini tidak termasuk beberapa Kursus MBM yang dapat diganti oleh orang lain (misalnya di Concord Inn KLIA pada 7 - 10 Okt.). Dalam masa sama juga saya mesti memeriksa tugasan dan membina soalan peperiksaan akhir semester. Mesyuarat untuk anjur Perhimpunan Bulanan IPGKT belum lagi dibuat. Oh, memang dua bulan ini amat tersibukan

Jumaat, 4 Oktober 2013

Makroton

IPG Kampus Tawau Mulakan Cabaran Cipta Rekod Pengajaran Makro 182 Jam Tanpa Henti

Oleh Nashir Mansor

TAWAU, 4 Okt (Bernama) -- Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau hari ini memulakan cabaran mencipta nama dalam Malaysia Book Of Records melalui pelaksanaan Pengajaran Makro selama 182 jam tanpa henti.

Projek Makroton yang membabitkan 249 guru pelatih dan kakitangan IPG berkenaan dimulakan tepat 8 pagi ini di kampus itu dan akan berakhir pada pukul 10 malam 11 Okt.

Guru-guru pelatih berkenaan dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil dan ada di kalangan mereka bertindak sebagai guru dan sebahagiannya sebagai murid dan setiap kumpulan itu akan menyampaikan pengajaran makro mereka selama sejam.

"Proses mencipta rekod ini akan mengambil masa sembilan hari lapan malam membabitkan 74 orang saksi daripada kalangan bukan kakitangan IPG Tawau tetapi dari pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan terdiri daripada doktor, jururawat, pengetua dan penolong-penolong kanan sekolah.

"Mereka secara sukarela dan gembira dilibatkan dalam projek yang disifatkan sebagai julung-julung kali diadakan dan ingin menyaksikannya," kata Pengarah IPG Kampus Tawau Masni Madat kepada Bernama di sini hari ini.

Masni berkata antara lain projek berkenaan bertujuan mempromosi kecemerlangan pendidikan IPG Kampus Tawau ke peringkat kebangsaan dan memartabatkan pengajaran bahasa Melayu dan Inggeris memandang pengajaran makro dilaksanakan menggunakan kedua-dua bahasa berkenaan.

Melalui usaha ini, ia dapat memberi pengalaman autentik kepada pelatih mengenai prosedur melaksanakan projek bagi melonjakkan kecemerlangan profesionalisme keguruan serta memberi pendedahan kontektual mengenai amalan kebertanggungjawaban bersama untuk meningkatkan kualiti profesion keguruan.

Masni berkata pihaknya sudah bersedia sepenuhnya dari segala segi termasuk menghadapi kemungkinan gangguan bekalan elektrik sepanjang projek itu berlangsung bagi memastikan kejayaannya.

"Rakaman semua rancangan pengajaran sepanjang 182 jam itu akan diserahkan kepada Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching pada 12 Okt sebagai bukti pengajaran ini telah selesai dan terlaksana," katanya.

Masni juga berkata semua rancangan pengajaran yang disampaikan sepanjang projek berkenaan juga diharap akan menjadi sumber rujukan kepada IPG lain di seluruh negara yang berminat menggunakannya.

"Sepanjang tempoh 182 jam itu, pengajaran makro ini disampaikan melalui pelbagai cara termasuk menggunakan komputer riba dan lukisan," katanya.

-- BERNAMA 4 Oktober 2013