Jumaat, 1 November 2019

Kampung Mati

Gajah mati meninggalkan gading. Harimau mati meninggalkan belang. Orang mati meninggalkan nama. Kampung mati meninggalkan sejarah. 

Ada kampung mati terlingkup kerana kemungkaran. Ada kampung mati tertimbus tanah bukit. Ada kampung mati tenggelam tsunama atau ombak. Ada kampung mati kerana empangan. Ada kampung mati kerana ditimpa pembangunan.

Selamat tinggal Kampung Abdullah Hukum. Selamat tinggal Kampung Kerinchi. Selamat tinggal Kampung Jenangor. Selamat tinggal.   

Jumaat, 4 Oktober 2019

Ujian Penguasaan Bahasa Melayu Guru

Berdasarkan surat dari Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM.700-2/2/46 (   )) terdapat 64,140 orang guru Bahasa Melayu dari seluruh Malaysia akan menduduki Ujian Penguasaan Bahasa Melayu Guru (UPBMG). 

Seramai 2,412 orang daripada jumlah itu akan menduduki UPBMG pada tahun 2019. Tujuannya untuk peningkatan profesionalisme guru Bahasa Melayu dan penyediaan latihan berdasarkan tahap profesiensi guru berkenaan. 

Aku terlibat sebagai pentaksir di pusat IPGK Teknik pada 30 September 2019, dan IPGK Bahasa Antarabangsa pada 01 - 03 Oktober 2019. Aku bertugas memeriksa jawapan kefahaman dan temu bual lisan secara berkumpulan seramai enam orang. Semua mereka dari Sekolah Jenis Kebangsaan.

Kesimpulan yang dapat nyatakan (1) semua guru berkenaan bukan opsyen bahasa Melayu tetapi mengajar Bahasa Melayu. Antara opsyen mereka ialah bahasa Tamil, bahasa Cina, Matematik, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, dan Sains; (2) mereka diarahkan oleh guru besar untuk mengajar Bahasa Melayu; (3) sebilangan daripada mereka bercakap pelat; (4) sukar untuk mereka mengajar; (5) ada yang terasa minat untuk mengajar Bahasa Melayu; (6) guru tidak tahu teknik betul bagi menjawap soalan pemahaman.

Secara umumnya, punca permasalahan ini datangnya daripada guru besar yang sewenang-wenangnya mengarahkan guru mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu.

Selasa, 12 Februari 2019

Jualan Buku Terpakai Di Pusanika, UKM

Ini kali kedua ada jualan buku terpakai di Pusanika, UKM. Oleh sebab dibuat semasa cuti, maka dapatlah aku menyertainya. Dari segi jualan adalah tidak memberangsangkan. Pelajar universiti sudah kurang membeli buku. Mungkin disebabkan sumber kewangan. Tetapi, aku yakin punca utamanya ialah kerana kemajuan internet. Pelajar boleh memcari sebarang maklumat dalam internet. Justeru, industri buku kian mengecil. Sebelum ini, aku pernah membuat jualan buku dalam program deklamasi sajak di UPSI. Tiada seorangpun pelajar datang melihatnya, apalagi membeli. Aku menjual buku-buku sajak, sesuai dengan program mereka, namun ....


Khamis, 17 Januari 2019

Kota Bharu


Bandar Kota Bharu (KB) ialah ibu negeri Kelantan. Mula dibuka pada 1844, iaitu semasa pemerintahan Sultan Muhammad II dan terletak di tebing Sungai Kelantan. Pengunjung dari Kuala Lumpur boleh pergi ke Kota Bharu melalui (a) Lebuh Raya Karak ke Lebuh Raya Pantai Timur, (b) Lebuh Raya Karak - Bentong - Gua Musang, (c) Lebuh Raya Utara Selatan - Simpang Pulai, Ipoh - Tanah Tinggi Cameron -  Gua Musang, (d) Lebuh Raya Utara Selatan - Kuala Kangsar - Gerik - Tanah Merah, (e) Lebuh Raya Utara Selatan - Butterworth - Gerik - Tanah Merah, (f) Lapangan Terbang KLIA - Lapangan Terbang Sultan Ismail Putra, (g) Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz - Lapangan Terbang Sultan Ismail Putra. Keluasannya ialah 152.1 batu persegi (394 km²). 

 Kepadatan penduduk pada tahun 2010 berjumlah 491,237 dengan kepadatannya 3,229.7 /batu persegi (1,247/km²). Bandar Kota Bharu diisytiharkan sebagai bandar raya Islam pada hari Sabtu 1 Oktober 2005 oleh DYMM Sultan Ismail Petra ibni al-Marhum Sultan Yahya Petra di Stadium Sultan Mohammed Ke IV.

Jumaat, 4 Januari 2019

Taiping

Taiping dimajukan oleh Inggeris kerana di sini terdapat banyak bijih timah. Nama lama Taiping ialah Klian Pauh dan merupakan bandar warisan yang berada dalam daerah Larut, Matang dan Selama. Taiping pernah menjadi  ibu negeri Perak sebelum tahun 1937. 

Nama Taiping daripada bahasa Cina yang bermaksud "aman" atau 'Damai". Nama Klian bermaksud lombong, manakala  Pauh merujuk sejenis buah mangga bersaiz kecil. Keluasan Taiping ialah 186.46 km2 (71.99 batu persegi). Pada tahun 2010, jumlah penduduknya seramai 212.562.


Asal ekonomi Taiping ialah bijih timah yang diusahakan oleh Cina Ghee Hin dan Hai San. Di sini terdapat Kem Tentera, Zoo Taiping, Penjara Taiping, Hospital Taiping, Muzium, sekolah sejak zaman Inggeris dan sebagainya. Kereta api baharu Malaysia (ETS) juga menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam pantas dari Taiping ke Ipoh dan ke Kuala Lumpur