Isnin, 3 Januari 2022

Melawat Arau

 Malam 30 Disember 2021 aku sampai di Arau. Esoknya, aku melawat sekitar bandar Arau. Arau merupakan Bandar DiRaja di negeri Perlis.


Perlis terletak di utara Semenanjung Malaysia bersempadanan dengan Santun, Songkla dan Kedah. Asal Perlis sebahagian daripada negeri Kedah. 

 

Terdapat lima sumber dipercayai asal-usul negeri Perlis, iaitu pertama, Phrau Loi (kelapa hanyut) yang dipendekkan bunyinya jadi 'pereleh' (Buyung Adil); kedua, daripada perkataan ‘peroleh’ yang membawa maksud kurnia daripada kerajaan Kedah; ketiga, daripada nama seorang ulama besar Nusantara bernama Tok Perlis. Kuburnya di Bukit Mengulang, Perlis; keempat, daripada perkataan ‘perlus’ iaitu tanah sawahnya mudah  ‘terperlus’; dan kelima, menurut Ahmad Ismail dan Yazid Mat nama Perlis dipercayai berasal daripada nama pokok perlis yang banyak tumbuh di kawasan pinggir sungai. 

 

Keluasan negeri Perlis sekitar 821 kilometer persegi dengan kapasiti penduduknya bancian 2010 seramai Bumiputera (194,584 atau 88.4%), Cina (17,522 atau 8%), India (2,675 atau 1.2%) dan lain-lain (5,329 atau 2.4%). Ibu negeri bernama Kangar, manakala Arau merupakan Bandar Diraja.

 Aku melawat Kangar dan bermalam di Arau pada malam 30 Disember 2021. Walaupun dikatakan terdapat 10 buah hotel terbaik di Arau, namun aku menjumpai dua hotel bajet sahaja. Keesokannya aku melawat Hub Bas Perlis, Stesen Kereta Api, Rumah Warisan Perlis dan masjid. 


Kegiatan ekonomi utama masyarakat Perlis ialah menanam padi. Buah yang paling dikenali ialah buah Pauh Harum Manis.


 

Ahad, 3 Oktober 2021

Bersolat di bawah jajahan Covid-19

Bersolat itu wajib. Dalam penjajahan Covid-19 ini, sering kali aku bermasalah untuk mencari tempat bersolat, terutama dalam perjalanan atau musafir. Surau tutup, masjid tutup, surau di stesen minyak pun tutup. Hanya dapat solat di rumah. Sering terjadi, sesampai di rumah, waktu solat sudah terlepas. Adalah terasa sangat nikmat dapat mengerjakan solat, walaupun di bahagian luar masjid. Gambar - dua orang wanita sedang bersolat di bahagian luar masjid di Tanah Merah, Kelantan, pada 26 September 2021.

 


 

Sabtu, 26 Jun 2021

Vaksin Dos 1

 

 





Mendapat Vaksin Covid-19 Dos 1 pada 23 Jun 2021 di Stadium Tertutup Kuala Selangor.


 

 

 

Jumaat, 11 Jun 2021

Jualan Gundang Buku



Dengan motor aku punggah
mutiara ilmu

berkali hari

hingga duit habis
dan jualan gundang tutup.

 

Tidak Tersalah Tafsir

 

 

Kalau mendengar biar sampai ke gegendang.
Kalau membaca biar sampai ke noktah.
Baru maklumat tidak tersalah tafsir.

Selasa, 8 Jun 2021

Kalau Beli Kereta


Ayahku meninggal kerana terjatuh motor.
Kalau beli kereta tentu ayah masih ada.

Ahad, 6 Jun 2021

Rasa Pandai

Di stadium, penonton rasa lebih pandai daripada pemain. Di media sosial, natizen rasa lebih pandai daripada pemikir negara. Di lapangan pendidikan, ibu bapa rasa lebih pandai daripada guru.

Kerana rasa lebih itulah kita selalu terbelakang dan ditertawakan. 

 

 

Sabtu, 15 Mei 2021

Sejarah Hari Raya Aidilfitri 2021


Hari Raya Aidilfitri 2021 mencipta sejarah kerana buat pertama kali kami tidak dibenarkan merentas negara, wilayah, negeri, daerah, pekan, kampung dan rumah jiran. Malah, tahun ini tiada kedengaran ada orang putus jari atau cedera tangan. Polis sentiasa memantau bilangan kereta dan selipar/kasut di halaman rumah. Tiada majlis sambutan hari raya. Jika ada, penganjur dan pengunjung akan disaman.


 

Rabu, 12 Mei 2021

Selamat Hari Raya Aidilfitri 2021

            Selamat Hari Raya Aidilfitri 2021 kepada semua sahabat maya dan tidak maya.

 

Sabtu, 27 Februari 2021

IPGKBM

Aku pernah belajar di sini. Pertama, mengikuti kursus Media dalam Pengajaran Bahasa Melayu. Kursus ini berjalan selama tiga bulan, pada tahun 1993. Bersama-sama Amiruddin Mohd Ali Hanafiah. Kedua, mengikuti Kursus Perguruan Khas (KPK) selama setahun, pada tahun 1994. Ada 10 kursus berjalan serentak. Aku ambil kursus Kesusasteraan dalam Pengajaran Bahasa Melayu. Bersama-sama Dr Shamsuddin Othman. Ketiga, mengikuti Program Berkembang antara IPGKBM dengan Universiti Malaya, iaitu tahun 1995. Pada 16 Februari 2014 aku datang berkhidmat di sini sebagai pensyarah. Mulanya berada di Jabatan Bahasa Melayu. Tahun 2016 aku ditempatkan di Jabatan Kesusasteraan Melayu. Tahun 2018 aku ditempatkan ke Jabatan Pengajian Melayu. Dan, tahun 2020 aku ditempatkan ke Jabatan Persuratan Melayu. Aku beberapa kali berpindah kubikal, namun semuanya di tingkat 10.








Selasa, 16 Februari 2021

AKU SEBUTIR BINTANG KECIL

 Aku sebutir bintang kecil
berusaha mengerdip
di lautan atmosfera 
langit sastera

seperti Ababil terbang
memadam api syaitan
aku ingin menerangi 
jalan kawan-kawan
ke rumah sastera-Mu.
 
NASSURY IBRAHIM


Jumaat, 18 Disember 2020

Aku Rindu Kamu

Ya Allah, Engkau ampuni dosa-dosa ayahku, ibuku, saudara-maraku, isteriku, suamiku, guru-guruku, kawan-kawanku. Engkau terimalah segala jasa, amal dan ibadah kami. Tempatkanlah kami dalam syurga-Mu ya Allah.
 
 

 

Jumaat, 16 Oktober 2020

Lebih Baik Hadir Mesyuarat

Hadir mesyuarat lebih penting daripada mengajar. Itu persepsi aku.

Sebabnya, dalam mesyuarat Majlis Kualiti Institut (MKI), aku mewakili KJ, mereka bincang bahawa jika tidak hadir program Institut sebanyak tiga kali berturut-turut akan diberikan surat tunjuk sebab. Demikian, jika hadir sekejap, kemudian menghilang kerana pergi mengajar, juga akan dianggap tidak hadir,

Maka hari ini aku tidak masuk ke kelas yang sepatut bermula 8.45 - 12.45 tgh kerana mesyuarat MKI dari jam 9.00 - 12.55 tgh.

Petangnya pula, aku hadir Mesyuarat JK Arkib dan Repositori Bil. 1/2020 dari jam 2.00 - 4.00 ptg. Sungguh mahal gaji aku pada hari ini. Aku perlu hadir mesyuarat walaupun sebagai patung bernyawa.

Siapa mahu surat tunjuk sebab dan surat itu dimasukkan dalam fail peribadinya. Aku tidak mahu. Tentu tuan-tuan pun tidak mahu. Maka, lebih baik hadir mesyuarat daripada mengajar jika masanya serentak.



Pasar Karat

Di sini orang menjual bermacam barangan. Ada yang berkarat dan ada yang masih baharu. Barangan tiada di kedai mungkin akan ditemukan di sini. Aku datang ke sini kerana mencari buku-buku lama. Dan, aku berpuas hati dengan pencarian aku itu. 

 Pasar Karat barangan lama, 

kalau dapat (peroleh) senyum sokmo.

Selasa, 6 Oktober 2020

Denggi

Walau ramai orang bersiap-sedia menghadapi serangan Covid-19, namun tidak ramai yang bersiap-sedia menghadapi serangan Aedes. Telah dua bulan kementerian kesihatan datang menyembur asap setiap minggu di kawasan perumahan kami.

Jumaat, 1 November 2019

Kampung Mati

Gajah mati meninggalkan gading. Harimau mati meninggalkan belang. Orang mati meninggalkan nama. Kampung mati meninggalkan sejarah. 

Ada kampung mati terlingkup kerana kemungkaran. Ada kampung mati tertimbus tanah bukit. Ada kampung mati tenggelam tsunama atau ombak. Ada kampung mati kerana empangan. Ada kampung mati kerana ditimpa pembangunan.

Selamat tinggal Kampung Abdullah Hukum. Selamat tinggal Kampung Kerinchi. Selamat tinggal Kampung Jenangor. Selamat tinggal.   

Jumaat, 4 Oktober 2019

Ujian Penguasaan Bahasa Melayu Guru

Berdasarkan surat dari Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM.700-2/2/46 (   )) terdapat 64,140 orang guru Bahasa Melayu dari seluruh Malaysia akan menduduki Ujian Penguasaan Bahasa Melayu Guru (UPBMG). 

Seramai 2,412 orang daripada jumlah itu akan menduduki UPBMG pada tahun 2019. Tujuannya untuk peningkatan profesionalisme guru Bahasa Melayu dan penyediaan latihan berdasarkan tahap profesiensi guru berkenaan. 

Aku terlibat sebagai pentaksir di pusat IPGK Teknik pada 30 September 2019, dan IPGK Bahasa Antarabangsa pada 01 - 03 Oktober 2019. Aku bertugas memeriksa jawapan kefahaman dan temu bual lisan secara berkumpulan seramai enam orang. Semua mereka dari Sekolah Jenis Kebangsaan.

Kesimpulan yang dapat nyatakan (1) semua guru berkenaan bukan opsyen bahasa Melayu tetapi mengajar Bahasa Melayu. Antara opsyen mereka ialah bahasa Tamil, bahasa Cina, Matematik, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, dan Sains; (2) mereka diarahkan oleh guru besar untuk mengajar Bahasa Melayu; (3) sebilangan daripada mereka bercakap pelat; (4) sukar untuk mereka mengajar; (5) ada yang terasa minat untuk mengajar Bahasa Melayu; (6) guru tidak tahu teknik betul bagi menjawap soalan pemahaman.

Secara umumnya, punca permasalahan ini datangnya daripada guru besar yang sewenang-wenangnya mengarahkan guru mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu.

Selasa, 12 Februari 2019

Jualan Buku Terpakai Di Pusanika, UKM

Ini kali kedua ada jualan buku terpakai di Pusanika, UKM. Oleh sebab dibuat semasa cuti, maka dapatlah aku menyertainya. Dari segi jualan adalah tidak memberangsangkan. Pelajar universiti sudah kurang membeli buku. Mungkin disebabkan sumber kewangan. Tetapi, aku yakin punca utamanya ialah kerana kemajuan internet. Pelajar boleh memcari sebarang maklumat dalam internet. Justeru, industri buku kian mengecil. Sebelum ini, aku pernah membuat jualan buku dalam program deklamasi sajak di UPSI. Tiada seorangpun pelajar datang melihatnya, apalagi membeli. Aku menjual buku-buku sajak, sesuai dengan program mereka, namun ....


Khamis, 17 Januari 2019

Kota Bharu


Bandar Kota Bharu (KB) ialah ibu negeri Kelantan. Mula dibuka pada 1844, iaitu semasa pemerintahan Sultan Muhammad II dan terletak di tebing Sungai Kelantan. Pengunjung dari Kuala Lumpur boleh pergi ke Kota Bharu melalui (a) Lebuh Raya Karak ke Lebuh Raya Pantai Timur, (b) Lebuh Raya Karak - Bentong - Gua Musang, (c) Lebuh Raya Utara Selatan - Simpang Pulai, Ipoh - Tanah Tinggi Cameron -  Gua Musang, (d) Lebuh Raya Utara Selatan - Kuala Kangsar - Gerik - Tanah Merah, (e) Lebuh Raya Utara Selatan - Butterworth - Gerik - Tanah Merah, (f) Lapangan Terbang KLIA - Lapangan Terbang Sultan Ismail Putra, (g) Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz - Lapangan Terbang Sultan Ismail Putra. Keluasannya ialah 152.1 batu persegi (394 km²). 

 Kepadatan penduduk pada tahun 2010 berjumlah 491,237 dengan kepadatannya 3,229.7 /batu persegi (1,247/km²). Bandar Kota Bharu diisytiharkan sebagai bandar raya Islam pada hari Sabtu 1 Oktober 2005 oleh DYMM Sultan Ismail Petra ibni al-Marhum Sultan Yahya Petra di Stadium Sultan Mohammed Ke IV.

Jumaat, 4 Januari 2019

Taiping

Taiping dimajukan oleh Inggeris kerana di sini terdapat banyak bijih timah. Nama lama Taiping ialah Klian Pauh dan merupakan bandar warisan yang berada dalam daerah Larut, Matang dan Selama. Taiping pernah menjadi  ibu negeri Perak sebelum tahun 1937. 

Nama Taiping daripada bahasa Cina yang bermaksud "aman" atau 'Damai". Nama Klian bermaksud lombong, manakala  Pauh merujuk sejenis buah mangga bersaiz kecil. Keluasan Taiping ialah 186.46 km2 (71.99 batu persegi). Pada tahun 2010, jumlah penduduknya seramai 212.562.


Asal ekonomi Taiping ialah bijih timah yang diusahakan oleh Cina Ghee Hin dan Hai San. Di sini terdapat Kem Tentera, Zoo Taiping, Penjara Taiping, Hospital Taiping, Muzium, sekolah sejak zaman Inggeris dan sebagainya. Kereta api baharu Malaysia (ETS) juga menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam pantas dari Taiping ke Ipoh dan ke Kuala Lumpur