Khamis, 26 Februari 2015

Pelanduk Putih

Ulasan saya: Rupa-rupa pengarang Sejarah Melayu tidak berdusta. Yang berikut ialah berita penuh tentang pelanduk putih.

PELANDUK PUTIH JADI TUMPUAN DI LANGKAWI
oleh Hamzah Osman
(BH, 26 Februari 2015)
 
LANGKAWI: Penemuan seekor pelanduk putih di pulau legenda ini menyebabkan kediaman milik Jismani Hasan, 41, di Kampung Buluh Penyumpit, dekat Kuah, di sini, menjadi tumpuan ramai.

Difahamkan, pelanduk putih yang dianggap unik dan jarang ditemui itu, dijumpai Jismani ketika mencari madu lebah di kawasan Hutan Simpan Bukit Tekoh, di sini, bersama anak lelakinya pada petang Rabu minggu lalu.

Menceritakan penemuan pelanduk berkenaan, Jismani berkata, haiwan unik itu ditemui kira-kira jam 5.30 petang ketika dia dan anaknya berada di kawasan tepi sungai berhampiran Telaga Tok Siti di Hutan Simpan Bukit Tekoh.

"Kami terserempak dengan pelanduk putih berkenaan ketika ia turun untuk meminum air di tepi sungai... tanpa berlengah kami terus pasang pukat di kawasan terbabit, sebelum pelanduk putih berkenaan berjaya dijerat kira-kira sejam kemudian," katanya.

Jismani berkata, sejak berita penemuan haiwan unik itu tersebar, pelanduk yang diberi nama 'Awang Putih' itu ternyata mencuri tumpuan ramai sehinggakan kediaman Jismani sering dikunjungi orang ramai yang berhasrat menyaksikan haiwan berkenaan.

Malah, bapa kepada enam anak itu turut mengakui ada pihak yang menawarkan harga sehingga melebihi RM1,000 untuk membeli Awang Putih, namun dia lebih selesa untuk membelanya sendiri.

Difahamkan penemuan pelanduk putih itu adalah yang kedua di pulau pelancongan ini, selepas haiwan ganjil sama pertama kali ditemui di Hutan Simpan Bukit Tekoh pada 23 Mac 2001.

1 ulasan: