Isnin, 22 Oktober 2012

Kajian Tindakan IPG

Bermula 22 - 23 Oktober 2012, pelajar PGSR opsyen Bahasa Melayu dan agama di IPG Kampus Tawau menghadapi viva Kajian Tindakan 2, BMM3115. Aku salah seorang penyelia dan sekali gus dilantik sebagai Panel Penilai. Walaupun memenatkan, kerja ilmiah ini memang dialu-alukan. Penat kerana melayan karenah pelajar. Apabila berhasil terasa keseronokan berganda. 
 
Sejak semula lagi aku tidak bersetuju dengan kajian tindakan di IPG. Lebih baik laksanakan kajian penyelidikan. Bebaskan skop, asalkan merangkumi bidang pendidikan. Pelajar boleh mengkaji apa sahaja - tokoh, institusi, mencipta modul, mengkaji pelbagai aspek bahasa, dan sebagainya.
 
Sebagai pensyarah bahasa, memang aku menekankan aspek bahasa. Namun aku rasa kecewa sebab orang atasan yang mengawal kajian seakan tidak faham dunia kajian. Asalkan kajian mesti kuantitatif. Kalau tak ada nombor-nombor maka bukan kajian yang baik. Itu namanya tulisan ilmiah. Mentang-mentanglah dia ada Ph.D Matematik, Ph.D Pendidikan. Semuanya nak dimatematikan dipendidikankan.
 
Aku melihat sebahagian hasil kajian tindakan pelajar PGSR itu seakan mengkaji Matematik. Hanya dipenuhi nombor-nombor  sahaja. Kajian bertujuan meningkatkan minat murid dan membimbing murid bina ayat, telah dipersembahkan data-data matematik. Dikatakan bahawa sekian-sekian peratus murid berjaya membina ayat dan meningkat minatnya. Tak pula dihujahkan binaan ayat oleh murid, sama ada yang betul mahupun yang salah. Mengapakah betul dan mengapakah salah, atau bagaimana cara membetulkan ayat murid, tak pula dinyatakan.
 
Maka timbul persepsi dalam kepala aku, bahawa pelajar-pelajar PGSR (termasuk PISMP) menghasilkan kajian 'Bahasa Melayu Matematik' atau 'Bahasa Arab Matematik' atau 'Kajian Agama Islam Matematik.' Mungkin ini maklumat atau ilmu baharu yang dijanakan oleh profesor IPG.
 
Dalam enam orang pelajar aku itu, hanya dua orang aku perakui. Aku anggap dia menghasilkan kajian bahasa Melayu. Yang lain-lain hanya hampas, janaan profesor IPG, Prof. Ahmad Pengalaman. 

2 ulasan:

  1. assalamualaikum Encik.

    Saya salah seorang pelajar PISMP 2010 dan sekarang perlu membuat kertas proposal kajian tindakan Bahasa Melayu.

    Saya bercadang untuk membuat kajian terhadap penggunaan kata pemeri ialah dan adalah dalam kalangan murid tahun lima kerana mereka tidak tahu membezakan penggunaan kata pemeri ialah dan adalah dalam ayat.

    Cadangannya adalah untuk menggunakan mod tutorial interaktif atau menggunakan rumus.

    kalau saya menggunakan mod tutorial interaktif, apakah perkara yang perlu saya masukkan supaya objektif kajian saya iaitu untuk meningkatkan kefahaman dan penguasaan kata pemeri ini tercapai?

    satu lagi, kalau saya ingin menggunakan rumus, apakah rumus yang sesuai untuk diterangkan kepada murid-murid tahun lima ini?

    mohon cadangan encik sebagai pensyarah bahasa.

    terima kasih..

    BalasPadam
  2. Maaf, Cikgu Hanif, terlewat tengok. Saya nak cadangkan rasa tak kena pula, kot bertentangan dengan kenyataan penyelia. Jadi, saya boleh katakan, berbincanglah dengan penyelia. Insya Allah tiada masalah.

    BalasPadam