Rabu, 4 September 2013

Menaruh Harapan

Dibandingkan dengan Semenanjung, prasarana sekolah di Sabah masih jauh ketinggalan. Banyak sekolah masih berbangunan kayu atau playwood dan beratap zink. Ada kalanya dinding atau lantainya berlubang-lubang. Meja pula banyak yang rosak, bertampal dan tercabut, namun masih digunakan kerana bekalan meja tidak mencukupi. Sebahagian papanya sudah reput. Bagi menampakkan keceriaan, bangunan papan itu dicat berkali-kali dengan warna cerah. Banyak juga sekolah tidak berpagar atau berpagar dawai, apalagi berpagar konkrit sebagaimana sekolah di Semenanjung. Kawasan sekolah pula berhimpit dengan rumah-rumah masyarakat setempat. Ada kalanya pelawat tertukar antara bangunan sekolah dengan bangunan rumah kediaman masyarakat setempat.
 
Gambar di sebelah adalah semasa saya menyelia praktikum pelajar. Saya tidak dibekalkan meja kerana sememangnya tidak ada meja lebih di kelas berkenaan mahupun di kelas sebelah. Mujur ada kerusi guru untuk saya duduk menyelia pengajaran guru. Terpaksalah saya menulis laporan beralaskan kaki sendiri. Perhatikan dinding dan lantainya adalah dari kayu playwood.
 
Gambar di bawah pula menunjukan tanggungjawab seorang guru di sekolah. Kerjanya melampaui tugas sebagai pengajar. Inilah sinario yang berlaku di sekolah. Seorang guru akan sekali gus menjadi kerani, jurulatih sukan, tukang kebun, tukang perabut, pemandu, pegawai perhubungan pelanggan, kaunselor, jurucakap, penyelenggara perabut dan bangunan, bomoh, jururawat dan sebagainya.
 
Masyarakat pendidik, terutama di  Sabah dan warga Institut Pendidikan Guru (IPG) sangat bergantung harapan kepada Datuk Mary Yap Kaing Ching, Timbalan Menteri Pendidikan yang baharu. Diharapkan beliau akan membawa perubahan kepada sekolah agar selari dengan visi dan misi kementerian. Begitu juga dengan IPG yang masih banyak ketinggalan berbanding dengan institusi pendidikan yang menawarkan ijazah. Bilik pensyarah seumpama stor atau pasar kering. Kurikulumnya tidak tersusun dengan baik dan akademik. Malah, aktivitinya banyak dikawal oleh pihak luar, bukannya IPG berkenaan. Tenaga pengajarnya masih bermentaliti guru, bukannya pakar akademik. Ini semua memerlukan sentuhan Datuk Mary Yap, lebih-lebih lagi beliau pernah memegang jawatan tertinggi di IPG. Beliau akan dikenang jika Berjaya membawa perubahan kepada IPG dan sekolah-sekolah di Sabah terutamanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan