Selasa, 5 November 2013

Bunga Beracun

Bunga menjadi lambang kecantikan. Halaman rumah yang ditanami dengan bunga akan kelihatan cantik dan menarik. Bunga juga dilambangkan kepada gadis atau wanita. Rumah yang mempunyai anak gadis atau wanita belum bersuami atau janda akan kelihat kemas dan menarik. Namun begitu, tidak semua halaman atau rumah yang mempunyai bunga akan kelihatan cantik, kemas dan menarik. Kenyataan ini adalah berdasarkan imej bunga dalam jabatanku. Kami ada dua kuntum bunga. Satu bunga Dartu, dan satu lagi bunga Gentu. Namun, kedua-duanya membawa imej yang sama.



Persiapan bagi memasuki semester baharu, telah aku agih subjek kepada setiap ahli. Pengagihan itu berdasarkan kriteria (a) kepakaran kerana telah biasa mengajar subjek berkenaan, dan (b) minat yang dinyatakan dalam tinjauan sebelumnya. Setelah diberikan, bunga Dartu tiba-tiba melenting dan menjerit-jerit meroyan. Suaranya tinggi sekali menolak mengajar subjek diberikan. Sedangkan, pemberian subjek itu menepati kriteria (a) dan (b). Dartu bermati-matian mahu mengajar subjek lain. Malu kepada rakan-rakan melihat kami, maka aku menurut kehendaknya. 

Pada masa lain pula, kebetulan kami terpaksa ambil-alih subjek pensyarah yang pindah tiba-tiba. Aku membahagikan jumlah jam sama rata antara aku dengan Dartu. Demikian, apabila memeriksa hasil kerja kursus projek pelajar. Aku berikan 10 hasil kerja kursus projek (KKP) itu kepadanya dan 10 lagi aku memeriksa. Markah 10 orang pelajar yang aku memeriksa itu aku masukkan dalam Borang Kerja Kursus Projek (BKKP) dalam komputer jabatan dan meminta Dartu memasukkan markahnya dan e-melkan terus ke Unit Peperiksaan (UP). Malangnya, Dartu tidak berbuat demikian. Aku menyedarinya apabila UP menelefon aku bertanyakan markah subjek berkenaan. Aku meminta UP menanyakan Dartu. Khabarnya, Dartu marah-marah dan mengatakan telah memberikan markah berkenaan kepadaku. Dua kali aku menelefon tidak dijawabnya. Beliau pula tidak datang bekerja pada minggu berkenaan. Jalan terbaik menyelesainya ialah mencari KKP berkenaan. Malangnya, KKP itu tiada di petisyen kerjanya. Aku cuba mencarinya di tempat simpanan dokumen di belakang pestisyen kerjanya. Ditakdirkan Allah, aku menemui KKP itu tersimpan dalam kotak di tempat berkenaan. Betul-betul dia menjadi bunga liabiliti jabatan.

Bunga Gentu ini pula tidak kurang hebatnya. Baharu dua tahun berpindah ke sini. Dia cepat melenting tanpa memahami akan pemasalahan isu. Suatu hari, dalam mesyuarat jabatan, aku meminta ahli bersama-sama memartabatkan jabatan. Aku cadangkan setiap ahli menghantar satu hasil penulisan  untuk diterbitkan. Kebetulan bunga tinggalan ini ada membentangkan kertas-kerja di seminar pendidikan. Aku anggap dia bertaraf profesor. Aku meminta kertas kerja itu yang dibentangkan itu dihantar ke jabatan untuk dikompilasi dan diterbitkan. Gentu menegaskan bahawa kertas-kerjanya tidak boleh diterbitkan lagi kerana telah diterbitkan dalam prosiding. Kalau diterbitkan akan menyalahi syarat seminar. Aku cuba bertegas bahawa kertas kerja itu masih boleh diterbitkan. Pandangan ini berasaskan beberapa buku yang aku baca memuatkan kertas-kerja yang dibentangkan dalam seminar sebelumnya. Si bunga ini tiba-tiba naik angin dan mengatakan aku menafikan kepakarannya dan syarat seminar. Suaranya menjerit-jerit bagai singa kelaparan. Kerana tidak mahu menganggu perjalanan mesyuarat, aku cepat-cepat memohon maaf dan berjanji sedaya-upaya tidak menganggunya lagi.

Pada  akhir tahun aku bertanggungjawab mengisi markah prestasi. Hanya Gentu sahaja yang belum hantar. Dalam masa beberapa minggu aku telah hantar mesej agar beliau mengisi Borang HRMIS dan hantar kepadaku. Kali pertama aku diberitahu bahawa HRMIS tidak boleh diisi di luar stesen (sebenarnya boleh) dan tunggu sehingga beliau balik. Sudah balik pun masih tidak hantar, maka, atas pandangan kawan, sekali lagi (kali keempat) aku hantar mesej agar hantar HRMIS segera kerana sudah sampai tarikh tutup. Malangnya, aku mendapat jawapan,"Jangan beri tekanan kepada saya. Saya sedang sakit!". Memadangkan, jika aku tidak mengisi markah prestasi dalam HRMISnya,mungkin kenaikan gajinya tahun 2014 akan bermasalah. Maka, aku mohon bantuan Timbalan Pengarah merayunya. Akhirnya berjaya. Terima kasih Tuan Timalan Pengarah.

Itulah pengalaman aku sebagai Ketua Jabatan, berdepan dengan dua kuntum bunga di jabatanku. Bunga yang lazim dianggap membawa kecantikan, kekemasan (kesenangan hati) dan menarik, ternyata sebaliknya. Kedua-duanya aku anggap sebagai bunga beracun, bunga yang membawa liabiliti kepada jabatan. Memang pun. Menurut mantan Ketua Jabatan, kelakuan dan sikap si bunga tidak tersentuh itu lebih dasyat lagi pada zaman pentadbirannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

AKAL BUDI MELAYU

  Akal Budi Melayu OLEH ATIQAH ABD RAHIM   Sesi Wacana Ilmu 2020 Siri Kedua telah bersiaran langsung menerusi laman Facebook rasmi Dew...