Satu fenomena yang melanda masyarakat Malaysia, malah masyarakat dunia, khususnya kaum wanita, ialah ingin sentiasa kelihatan muda dan cantik. Justeru, pakar-pakar kecantikan telah menyahut impian itu dengan memperkenalkan pelbagai produk kecantikan, kelangsingan dan kemudaan. Industri kosmetik menduduki tempat kedua dalam minat masyarakat selepas industri teknologi komunikasi.
Barangkali seiring dengan impian tersebut, Jabatan Pengankutan Jalan Malaysia (JPJ) melalui proksinya, MIROS, telah mewarwarkan bahawa salah satu faktor kemalangan ialah kerana kereta tua masih beraksi di atas jalan raya. Sehubungan dengan itu, kementerian pengangkutan telah mewarwarkan usia kenderaan di atas jalan raya agar turut juga kelihat muda dan jelita, iaitu tidak melebihi 12 tahun.
Seperti biasa, alasan bercirikan Teori Arthasastra digunakan. Dikatakan oleh pihak yang menyokong bahawa kenderaan yang berusia lanjut menjadi penyumbang utama kemalangan di jalan raya. Ramai rakyat Malaysia meninggal akibat pelbagai jenis kemalangan yang melibatkan kenderaan berusia lewat muda. Angka-angka kemalangan dan kematian akibat kemalangan kenderaan yang dipaparkan amat membimbangkan.
Saya tidak bersetuju dengan faktor usia sebagai punca utama kemalangan. Terdapat kereta berusia lewat yang beraksi di atas jalan raya, namun tidak pernah pula kemalangan. Hal ini, pada saya, adalah berkaitan dengan pemandu dan sikap pemiliknya.
Banyak kemalangan yang melibatkan kereta berusia muda, berlaku berleluasa di atas jalan raya. Malah terdapat kenderaan yang masih dalam jaminan syarikat.
Pemilik harus bertanggungjawab terhadap kenderaan mereka agar sentiasa dalam keadaan selamat. Penyelenggaraan secara berkala perlu menjadi tabiat penjagaan kenderaan. Setiap komponen dan injin kereta perlu sentiasa selamat dan diawasi. Brek dan segala jenis lampu mesti berfungsi dengan baik.
Pemandu juga perlu sentiasa dalam keadaan selamat. Pakaian dan kesihatan perlu diutamakan. Sepanjang jalan di Malaysia terdapat banyak kedai makan, wakaf, setesen minyak, masjid, tempat rehat yang boleh dijadikan pusat hentian sementara jika pemandunya mengantuk. Tidak rugi jika terlewat sampai asalkan semua jiwa selamat.
Selain itu, faktor pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya juga perlu diambil kira. Seingat saya, jalan dari Baling ke Grek yang baharu dibuka (sekitar tahun 2006/2007) telah dipasang papan tanda selekoh berbahaya, walaupun belum lagi mencatat mangsa. Soalnya, mengapakah dibina selekoh berbahaya? Demikian juga dengan nasib Lebuh Raya Pantai Timur dari Bentong ke Kuantan yang mencatat kemalangan dan meragut nyawa walaupun baharu dibuka kerana faktor permukaan jalan yang tidak rata. Malah, banyak kemalangan berlaku akibat jalan berlubang dan sempit.
Jika usia kenderaan mahu dipendekkan, kerajaan hendaklah menurunkan harga kenderaan agar tidak melebihi RM100,000 sebuah. Ini untuk menjamin agar pemendekan usia kenderaan tidak mendera rakyat bawahan. Mutu jalan raya pula hendaklah sentiasa dipantau, di samping melebarkan jalan dan menyediakan laluan khas untuk motosikal.
Walau bagaimanapun, saya bersetuju jika kenderaan berwajah buruk dan tidak diselenggarakan dengan baik dilarang beraksi di atas jalan raya. Ya, kerana ia terdedah kepada bahaya dan membahayakan pengguna jalan raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan