Jumaat, 3 Mac 2017

Kepemimpinan - Peka

Hari ini saya berselisih pandangan dengan bos, KJ Jabatan Pengajian Melayu. Isunya berkenaan MBMMBI. Di IPGKBM ada jawatankuasa khusus menangani MBMMBI. 

Tidak seperti di IPG lain, di IPGKBM ada dua sayap, iaitu sayap Praperkhidmatan (30% pensyarah), dan sayap Dalam Perkhidmatan (70% pensyarah). Saya berada dalam JPM dan JPM berada dalam Praperkhidmatan. Perubahan ini bermula tahun 2016.  

IPGM minta semua KJ JPM di IPGK hadir mesyuarat untuk merangka program MBMMBI tahun 2017 dan mohon pembelanjaan anggaran. Pengarah telah minitkan surat itu kepada JPM. Apabila KJ minta saya mewakilinya ke mesyuarat berkenaan, saya pertingkaikan. Alasan saya, sepatut jawatankuasa berkenaan yang pergi kerana mesyuarat itu berkaitan dengan tanggungjawab mereka. KJ bantah kerana surat itu diminitkan kepada JPM, maka JPM patut pergi. 

Kata saya (berdasarkan pengalaman sebagai KJ), dalam mesyuarat itu nanti akan diminta laporan aktiviti MBMMBI tahun 2016, sedangkan program itu dilaksanakan oleh jabatan di sayap Dalam Perkhidmatan. Nanti akan timbul masalah 'lembu punya susu, sapi punya nama' dan 'berebut' duit peruntukan nanti. Sepanjang tahun 2016, JPM tidak terlibat dalam pelaksanaan aktiviti MBMMBI.

Oleh sebab KJ rasa tercabar, beliau mewakilkan pensyarah lain ke mesyuarat berkenaan. Itu tandanya KJ marah kepada saya. Saya diam saja dan menerima 'pertukaran' itu dengan syukur.

Petangnya, KJ berjumpa saya dan mengakui kebenaran kata-kata saya (beliau baru dua bulan jadi KJ) akan pensyarah yang sepatutnya pergi. Perubahan sikap itu setelah beliau berbincang dengan pensyarah di jabatan yang bertanggungjawab terhadap MBMMBI.

Moralnya, pertama, pengarah perlu peka dan tahu ke mana surat-surat masuk hendak diminitkan. Nampaknya, pengarah sendiri tidak peka dengan perubahan yang beliau sendiri lakukan. Kedua, tidak semua surat arahan yang masuk ke jabatan perlu kita ikut. KJ perlu teliti, dan kenal pasti orang atau jawatankuasa yang bertanggungjawab menanganinya.  

Dua moral ini boleh mengelakkan masalah dalam pentadbiran, dan membentuk keseronokan bekerja kepada diri dan kakitangan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan