Khamis, 9 Februari 2012

Blog

Kali pertama aku belajar membina blog ialah sekitar tahun 2008. Aku belajar di Infodesa Kok Pasir, Tumpat, di bawah bimbingan Encik Ediramle Ismail. Aku menunggang motosikal dari Pengkalan Chepa ke kok Pasir yang jaraknya tidak kurang 20 kilometer. Blog pertama (latihan) ialah Laman Nurani. Entri pertama ialah ucapan perkenalan dan entri kedua ialah sebuah sajak. Blog kedua aku ialah nassuryibrahim.blogspot.com, dan blog ketiga ialah blog Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu. Dua kali aku belajar membina blog daripada Encik Ediramle Ismail. Walau bagaimanapun, pengetahuan aku masih sangat berkurang. Apabila mendapat tahu bahawa Dr. Tajulddin Muhammad (JKS) dan Encik Mohd Ali Wong (JTP) menganjur Kursus Asas Pembinaan Blog Jabatan / Unit, aku berusaha menghadirinya, walaupun tidak tersenarai sebagai peserta. Banyak ilmu baharu telah aku perolehi. Aku berpendapat bahawa blog dan seumpamanya merupakan media baru yang berfungsi menyebar dan berkongsi maklumat. Blog boleh digunakan sebagai media baru tempat mengasah bakat penulisan. Kita boleh bina blog berkenaan sesuatu. Misalnya, berkenaan kampung sendiri. Kita boleh menceritakan tentang ketua kampung, tok imam, bangunan tertentu, kejayaan dan sebagainya. Jika blog itu ditulis secara bersungguh-sungguh dan benar, entrinya boleh dikumpul, diedit dan diterbit dalam bentuk buku. Ia akan jadi dokumen sejarah yang sangat berguna pada suatu masa nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PANTUN SEBAGAI ALAT KOMUNIKASI MELAYU TRADISIONAL

  PANTUN SEBAGAI ALAT KOMUNIKASI MELAYU TRADISIONAL § Mohamad Saleeh Rahamad   Bukan lebah sebarang lebah,                    Lebah be...