Rabu, 8 Februari 2012

Dasar

Sekitar tahun 1995 / 1996, saya pernah berbincang dengan Siti Zaleha M. Hashim berkenaan nisbah 60 - 40 aliran sains dan sastera di universiti. Semasa itu, Puan Siti Zaleha M. Hashim memegang jawatan editor Majalah Dewan Sastera. Kami tidak bersetuju dengan dasar baru kerajaan yang mahu menukarkan nisbah 40% pengambilan pelajar universiti aliran sains kepada 60% berbanding nisbah sebelumnya. Saya menolak sekeras-kerasnya anggapan perdana menteri waktu itu, DS Dr. Mahathir Mohamed, bahawa ramai siswazah menganggur disebabkan aliran sastera tidak dapat bersaing di pasaran kerja. Bagi saya, faktor pengangguran siswazah adalah sama, betapapun mereka berkelulusan teknologi maklumat ((IT) yang menjadi kursus pilihan utama masyarakat pada masa itu). Semuanya bergantung kepada graduan itu sendiri. Bagi mereka yang aktif dengan dunia luar, mereka akan mudah mendapat pekerjaan kerana ada kepakaran tambahan. Mereka yang menumpukan perhatian terhadap pelajaran semata-mata akan berkemungkinan mencapai kelulusan tinggi, namun (pada lazimnya) mereka lemah dalam membuat keputusan atau bertindak apabila berdepan realiti sebenar. Sedangkan, para majikan memerlukan tenaga kerja yang aktif, matang dan dapat menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa. Faktor ini jarang kedapatan pada pelajar ulat buku semata-mata. Saya percaya bahawa lambakan graduan berkelulusan daripada sesuatu major menjadi penyumbang kedua pengangguran, di samping masalah kelembaban ekonomi. Misalnya graduan berkelulusan IT. Semua universiti, kolej, kolej universiti (swasta dan kerajaan, dan dari dalam dan luar negara) menawarkan kursus IT. Tahap kelulusan mereka bermula daripada peringkat sijil hingga Ph.D. Dalam masa yang sama, organisasi pekerjaan pula menghantar pekerja-pekerjanya berkursus bagi menambahkan kepakaran. Tentunya organisasi ini tidak mengambil tenaga kerja baru berkelulusan IT. Manakala, graduan berkelulusan IT terus bertambah setiap tahun.  Perbincangan kami itu telah ternyata bahawa graduan sains kini menjadi penyumbang utama pengangguran. Saya percaya, ia menjadi antara faktor pelajar sekolah tidak berminat terhadap subjek Sains. Saya tidak menafikan kepentingan sains kepada manusia dan kemajuan negara. Namun, idea menolak kepentingan aliran sastera kepada manusia dan negara adalah tidak bijak. Adalah lebih baik kedua-dua aliran itu (malahan aliran ekonomi, vokasinal / kemahiran) digabungkan. Kemajuan fizikal harus diimbangi dengan kemajuan spritual dan kejatian bangsa. Misalnya, kemajuan dalam seni hiburan harus diimbangkan dengan budaya bangsa. Tema persembahan, mesej lagu, muzik atau persembahan iringan, dan juga hiasan pentas berkonsepkan glokal. Justeru, membuka baju ketika menyanyi (sebagaimana pernah dilakukan oleh Faizal Tahir) adalah di luar kejatian budaya bangsa. Walaupun perbuatan itu sesuai di Barat, namun tidak sesuai di Malaysia. Justeru, pelajar aliran sastera perlu juga mempelajari ilmu sains yang bersesuaian, dan pelajar aliran sains perlu juga mempelajari ilmu dari aliran sastera yang bersesuaian. Seeloknya, sediakan peluang seluas-luasnya untuk mereka memilih kursus minor atau elektif dalam kedua-dua aliran berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kenangan bersama-sama dengan Pyan

 Aku kenal Pyan sekitar tahun 1987. Aku selalu bertandang di Rumah Anak Alam, Jalan Merbuk, Kuala Lumpur. Di sini aku berkenalan juga dengan...