Khamis, 27 Oktober 2016

Menyusu Kera


Bajet 2017 tidak mesra rakyat. Ia mesra individu saja. Ia 'bajet menyusu kera di hutan, anak sendiri mati kelaparan'. Banyak peruntukan kepada kementerian dipotong. Kalau tahun 2016, banyak kerja rasmi aku guna duit sendiri, nampaknya tahun 2017 juga akan demikian. Bajet ini 'tidak mempedulikan nasionalisme dan pendidikan negara'. Tiada langsung peruntukan untuk memajukan bahasa Melayu. Tetapi, bahasa Inggeris mendapat peruntukan 90 juta. Manakala, Permata mendapat 85 juta, dan 'merampas' dua IPG.

Baju Merah


Ibuku ahli Umno. Ayahku pun ahli Umno, tetapi aku tidak berparti. Selesa di atas pagar. Kumpulan baju merah ini dikatakan pembela Umno dan pembela orang Melayu. Mereka diketuai oleh Jamal Yunos, salah seorang Ketua Umno cawangan di Selangor. Malangnya, sikap dan perangai mereka gaya Israel. Kalau ayah atau ibuku tahu tentu mereka rasa malu. Lebih memalukan lagi, orang baju kuning yang dibelasah itu, juga orang Melayu.

Makan Malam Perdana 2016



Selamat berjamu selera. Kepada pelajar Semester 8, selamat menempuh alam baharu. Jadilah guru yang berkhidmat secara ikhlas kepada bangsa dan negara.

Asrama L, IPSI

Kenangan di Institut Perguruan Sultan Idris (Julai 1987 - Disember 1989) di Asrama L, kursus PSM:SJ/PSV Kumpulan G.


Selasa, 18 Oktober 2016

Arnab Taman Pertanian


Dalam gambar itu, aku menamakannya sebagai Arnab Taman Pertanian (sekarang boleh ditukar kepada Arnab Taman Botani). Tidak pasti apakah arnab batu ini masih ada atau telah diruntuhkan. Atau pecah kerana terkena gelombang Bom C4.

Taman Pertanian Bukit Cerakah terletak di Bukit Cerakah, Shah Alam. Taman ini dirasmikan oleh Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj pada 24 April 1986. Kemudiannya namanya ditukar kepada Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam. Kini dikenali sebagai Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) mulai tahun 2007.

Tujuan TBNSA dibangunkan adalah sebagai pusat kecemerlangan negara dalam bidang pendidikan, penyelidikan saintifik dan pemuliharaan bagi pembangunan botani, hortikultur, pertanian serta bidang-bidang lain yang berkaitan dengannya.

Pada tahun 1991 pernah berlangsung aktiviti deklamasi sajak sempena Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur.

Isnin, 10 Oktober 2016

Sastera dan Sains



















Ini cerita tahun 2007 semasa saya berkhidmat di IPGKTB, Pulau Pinang. 

Hasil imbasan, doktor melaporkan bahawa kami akan memperoleh anak kembar. Imbasan itu mencatatkan setiap butiran (gambar atas) Janin A dan Janin B.  
Sebenarnya, keturunan aku dan keturunan isteriku tiada sejarah beranak kembar. 

Berita gembira itu aku terima seadanya.

Pada 12 November 2007 isteri telah sakit perut saat janin berusia tujuh bulan. 

Oleh sebab air ketuban sudah keluar, isteri terpaksa bersalin melalui pembedahan. Ini kali kedua isteri bersalin melalui pembedahan. Kali pertama ketika isteri melahirkan anak sulung pada tahun 1991.

Doktor di Hospital Seberang Jaya membuat pemeriksaan terakhir sebelum pembedahan.

Doktor telah memanggil aku dan menunjukkan monitor imbasan. Katanya, dalam imbasan itu menunjukkan hanya ada satu janin sahaja. Tempat janin kedua kosong. 

Aku mengiyakan sahaja kerana aku tidak faham gambar hitam putih dalam monitor berkenaan. 
Memang benar hanya satu bayi sahaja yang keluar. 

Kami menamakannya Muhammad Nur Al-Amin. Anak itu mengalami sindrom down, tidak boleh mendengar dan bercakap. 

Kini, Muhammad Nur Al-Amin telah berusia sembilan tahun dan bersekolah di PDK.

Kesimpulannya, walaupun sastera tidak benar, namun sains tidak semestinya betul. 

Kehadirannya sangat menggurukan.

Jumaat, 7 Oktober 2016

Seminar Penyelidikan Tindakan

Selamat berseminar para pelajar PISMP (BM) ambilan Januari 2013 di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM), dan membentangkan hasil kajian masing-masing. 

Semoga kalian akan menjadi guru sebenar yang berkhidmat dengan ikhlas dan insaf serta memanfaatkan segala ilmu yang dipelajari sepanjang belajar di IPGKBM. 

Dan, tidak malas menambah ilmu, tidak kelorek membeli buku-buku.

Dan engkau, Mujahidah binti Mujin, kembangkan Teknik Haitum binaanmu itu.

Khamis, 6 Oktober 2016

Cadangan Membina Sekolah

Isu kemalangan murid di hadapan dan di dalam kawasan sekolah bukan isu baharu. Sudah banyak cadangan dikemukakan dan dilaksanakan. Walau bagaimanapun, masalah ini tetap berlaku. Puncanya adalah pelbagai. Berdasarkan pemerhatian, salah satu faktor ialah tapak sekolah dibina bersebelahan jalan raya utama.  Cadangan dan tindakan memasang papan tanda kelajuan di hadapan kawasan sekolah tidak berkesan. Manakala cadangan terbaharu mengehadkan kenderaan berat melintasi kawasan sekolah pada waktu-waktu tertentu, pada pandangan saya, tidak menjamin akan dipatuhi. Justeru, saya mencadangkan, pada masa akan datang, (a) sekolah-sekolah baharu yang akan dibina hendaklah berjarak satu atau dua kilometer daripada jalan raya utama; (b) melantik seorang pengawal lalu-lintas yang akan menguruskan murid melintas jalan di hadapan sekolahnya; (c) membuat tanda belang kuning sepanjang 50 atau 100 meter di atas jalan raya di hadapan pintu masuk ke sekolah; (d) menyediakan tapak parkir kenderaan tempat menurun dan menunggu murid yang lebih luas dan selesa; (e) membina beberapa laluan atau jalan alternatif ke sekolah berkenaan; dan (f) menghalang sepenuhnya penjajah berjualan di tepi pagar sekolah, lebih-lebih lagi di kaki lima jalan raya.