Selasa, 13 Mac 2012

Terlajak

Belum melangkah sudah terlanjak. Itulah pandangan aku apabila para pelajar PISMP dan PGSR semester tujuh diminta menulis proposal kajian. Bukan salah menulis proposal kajian. Yang salah apabila tugasan itu diberikan pada masa tidak sesuai.

Dalam semester tujuh, para pelajar PISMP dan PGSR wajib mengambil kertas Penyelidikan Tindakan 1. Mereka didedahkan buat pertama kali  tentang selok-belok ilmu kajian. Pensyarah akan menjelaskan segala macam elemen dalam penyelidikan. Misalnya, maksud kajian, pemasalahan kajian, penulisan objektif, penulisan persoalan kajian, reka bentuk dan instrumen kajian, maksud kuantitatif dan kualitatif, dan sebagainya.

Malangnya, ada sesetengah IPG yang terlalu 'over' dengan kajian tindakan. Penyelaras dan pentadbirnya berkobar-kobar mahu membimbing kajian pelajar. Semangat yang berkobaran itu menyebabkan mereka bertindak di luar kuliah.

Baharu seminggu kuliah tentang teori Penyelidikan Tindakan, para pelajar ditugaskan menulis proposal kajian. Mereka dibahagikan kepada beberapa orang pensyarah penyelia dan diberikan tempoh selama sebulan untuk menulis proposal. Proposal itu akan dibentangkan (vival) dalam satu majlis khusus. Pembentangan itu akan dinilai oleh dua orang panel, dan penyelia. Mereka juga akan berdepan dengan pensyarah yang dijemput untuk menilai kerja pelajar. Kedua-dua panel (juga penyelia) dikehendaki menilai dan mencatat markah. 

Usaha ini (walaupun baik) saya anggap sebagai satu fenomena dalam pendidikan. Fenomena ini saya label sebagai: "Belum melangkah sudah terlanjak." Saya anggap sebagai fenomena dan melabelkan sedemikian kerana para pelajar belum dikuliahi dengan sempurna dan belum memahami dengan sempurna elemen-elemen dalam kajian, sudah ditugaskan menulis proposal. Akibatnya, timbul bermacam-macam karenah dan memeningkan. Tidak kurang juga berlaku ciplakan. 

Penyelaras juga mencipta satu garis panduan khusus untuk menilai proposal pelajar. Malangnya, garis panduan itu tidak dijelaskan sebaiknya kepada penyelia. Akibatnya, sering wujud salah faham kerana bimbingan penyelia tidak selari dengan kehendak penyelaras. 

Satu lagi fenomena "Belum melangkah sudah terlanjak" ialah berkenaan panel penilai. Kajian yang hendak dilaksanakan oleh pelajar ialah kajian tindakan sahaja, di peringkat ijazah pertama dan dalam subjek Penyelidikan Tindakan 1. Subjek ini berkesinambungan dengan subjek Penyelidikan Tindakan 2 dalam semester lapan. Dalam semester lapan inilah sepatutnya bermula proses menghasilkan penyelidikan tindakan yang sebenar, setelah pelajar memahami teori penyelidikan semasa dalam semester tujuh.

Justeru, pada pandangan saya, IPG berkenaan tidak perlu mengvivalkan proposal dan dinilai oleh dua orang panel untuk tugasan dalam semester tujuh ini. Lebih elok usaha ini dilaksanakan dalam semester lapan. Dan, setahu saya, vival proposal perlu pada peringkat ijazah kedua dan ketiga sahaja. Tidak ada vival untuk kajian tindakan.

Walau bagaimanapun, tidak salah mengvivalkan proposal kajian tindakan, kalau khusus untuk tujuan pembelajaran. Namun, ia perlu dijelaskan agar tidak timbul kekeliruan. Jangan sampai terbentuk pemahaman bahawa kajian tindakan perlu vival dan divivalkan pada peringkat proposal lagi. Jika terbentuk pemahaman sebegini, maka akan gagal matlamat kajian tindakan yang diperkenalkan di sekolah.

Justeru, yang salahnya ialah menulis proposal sebelum kuliah sempurna dilaksanakan dan pelajar belum memahaminya. Janganlah kerana semangat yang berkobar-kobar menyebabkan kita hilang pertimbangan dan tindakan kita dianggap, "Belum melangkah sudah terlanjak."

Rabu, 7 Mac 2012

Kelemahan

Kelemahan diri sebenarnya boleh menjadi sumber membina kekuatan diri. Kekuatan diri juga sebenarnya boleh menjadi penyebabkan kepada kelemahan diri. Semuanya bergantung pada keupayaan diri.

Ramai yang benci akan kelemahan dan bangga dengan kekuatan. Dalam setiap program, mereka akan berusaha menjayakannya sebaik mungkin. Mereka akan berasa kesal yang amat jika program yang dilaksanakan itu mengalami kecacatan dan cenderung menyalahkan orang lain terhadap kelemahan program tersebut.

Ramai yang tidak berusaha memanfaatkan kelemahan yang dialami untuk meraih kekuatan dan memanfaatkan kekuatan untuk meraih lebih kekuatan lagi. Akibatnya, ramai yang kecundang ditimpa kelemahannya. Lebih malang lagi, ramai yang kecundang ditimpa oleh kekuatannya.

Anda boleh memerhatikan bagaimana kekuatan telah memusnahkan diri. Dr. Mahathir merupakan Perdana Menteri Malaysia yang paling stabil dan meraih banyak kejayaan berbanding perdana menteri yang lain. Hal ini bererti Dr Mahathir merupakan perdana menteri yang punya kekuatan. Namun, kekuatan telah menimpa Dr. Mahathir apabila beliau merupakan perdana menteri pertama ditolak rakyat umum dan didesak meletak jawatan. Malah, dirinya 'dihina-hinakan' dalam pelbagai gaya - gelaran, sketsa, kartun dan sebagainya. Hal ini tidak dialami oleh perdana menteri sebelumnya.

Manakala kekuatan Pak Lah pula ialah menyedari kelemahannya. Beliau belajar daripada nasib yang menimpa tiga orang bekas Timbalan Perdana Menteri sebelumnya. Saya yakin beliau tidak bercita-cita menjadi perdana menteri. Penganalisis politik sebelum tahun 1999 juga tidak meramalkan bahawa Pak Lah bakal menjadi timbalan dan perdana menteri. Beliau berjaya menyembunyikan kelemahan sehingga Dr. Mahathir melantik beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Kini, Dr. Mahathir menganggap bahawa satu-satunya kelemahan beliau selama 22 tahun memerintah Malaysia ialah melantik Pak Lah sebagai Perdana Menteri Malaysia selepasnya.

Justeru, kelemahan bukan musuh, manakala kekuatan pula bukan kawan. Kehadirannya boleh menjadi musuh dan boleh menjadi kawan. Semuanya bergantung kepada individu memanipulasikan atau menukarkan kelemahan kepada kekuatan dan menukar kekuatan kepada lebih kekuatan lagi. Memusuhi lawan kerjaya adalah menempa kelemahan yang nyata.

Apabila DS Mohd Najib mengakui kelemahan kerajaan BN terdahulu dan memohon maaf, itu bererti beliau memanfaatkan kelemahan untuk meraih kekuatan. momentumnya sangat besar dan boleh diteladani.

Selasa, 6 Mac 2012

Vandalisme

Sama ada vandalisme atau samseng atau apa sahaja nama yang menggambarkan kerendahan moral dan ketamadunan diri seharusnya tidak wujud dalam masyarakat yang dianggap sopan dan lembut. Namun, agak mustahil sikap itu dapat dihindari, lebih-lebih lagi dalam zaman mengejar materialisme ini. Justeru, jikapun ada, biarlah vandalisme atau samseng itu datang daripada budak-budak yang tidak berpelajaran atau terbiar. Jangan sesekali sikap itu datang daripada budak-budak asuhan parti politik, lebih-lebih lagi dari parti politik yang berpengalaman menjadi kerajaan yang sering menyeru agar rakyat tidak menjadi anasir vandalisme atau samseng atau pengkhianat. Lebih malang lagi jika sikap itu datang daripada golongan dewasa dan berpelajaran pula. Malang yang terlebih malang lagi jika sikap itu juga datang dari golongan dewasa yang berpelajaran dan berjawatan sebagai pemimpin atau ketua sebuah kerajaan. Jika ada juga, malanglah dan celakalah pada anda yang mempunyai orang yang demikian itu. Sebelum kecelakaan itu menimpa kita, eloklah kita menjauhi diri daripada mereka, kecuali anda juga seumpama dengannya.

Isnin, 5 Mac 2012

Kayu Kapak


Jangan jadi seperti kayu yang bangga diri kerana dapat menjadi ulu kapak. Sedangkan, dengan memegang dirinya yang menjadi ulu kapak itu, tuannya telah dapat menebang rakan-rakan sekayunya yang lain.

Persidangan

Pada 3 Mac 2009, satu peristiwa bersejarah telah berlaku di negeri Perak Darul Ridzuan. Peristiwa pertama kali berlaku di tanah air itu ialah Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di bawah Pokok Hujan-hujan. Ia dikenali sebagai Persidangan Bawah Pokok.

Menurut YB. V. Sivakumar, Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Persidangan Bawah Pokok itu tidak bertentangan dengan undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan dan sah di sisi undang-undang.

Hal ini kerana ada dua syarat yang perlu dipatuhi agar sesuatu Persidangan Dewan undangan Negeri itu sah. Pertama, kehadiran speaker yang mempengerusikan persidangan tersebut. Dalam kes ini, speakernya, YB. V. Sivakumar telah hadir dan melaksanakan tanggungjawabnya. Kedua, kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri ke persidangan tersebut mencukupi korum. Persidangan tersebut telah dihadiri oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri Perak dari parti Pakatan Rakyat. Namun tiada seorang pun Ahli Dewan undangan Negeri Perak dari parti Barisan Nasional yang hadir.

Notis persidangan juga telah dikeluarkan oleh speaker dan dihantar kepada semua Ahli Dewan undangan Negeri Perak. Tindakan speaker itu telah memenuhi syarat dalam Perintah-perintah Tetap Dewan Perhimpunan Negeri Perak yang mana speaker berkuasa menetapkan tarikh dan masa persidangan.

Persidangan Bawah Pokok itu terpaksa dilaksanakan kerana pada pagi 3 Mac 2009, polis yang menurut perintah Setiausaha Kerajaan Negeri Perak telah menghalang 27 orang Ahli Dewan Undangan Negeri Perak daripada masuk ke Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menjadi  tempat persidangan.

Dalam persidangan yang berlangsung selama 30 minit itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Perak telah sebulat suara meluluskan  tiga usul sebelum mereka bersurai. Persidangan terbuka itu telah disaksikan oleh 2000 orang rakyat negeri Perak. Tiga usul tersebut ialah (a)  Usul kepercayaan kepada MB Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaludin; (b) Usul membubarkan Dun Perak; dan (c) Usul berupa kertas laporan Jawatankuasa Terpilih yang menggantung Datuk Dr Zambry dan enam Exconya.

Walaupun sah, Persidangan Bawah Pokok amat memalukan rakyat, khususnya di negeri Perak. Ia menandakan bahawa ahli politik Malaysia lebih mementingkan ketamakan kuasa daripada moraliti dan kesantunan adat.

Sabtu, 3 Mac 2012

Cakap

Semakin banyak bercakap akan semakin banyak sesedap cakap. Semakin banyak sesedap cakap akan semakin banyak terlepas cakap. Semakin banyak terlepas cakap akan semakin banyak menuduh cakap. Semakin banyak menuduh cakap akan semakin banyak tersilap cakap. Semakin banyak tersilap cakap akan semakin banyak masuk perangkap. Semakin banyak masuk perangkap anda akan dianggap tidak boleh dipercayai. Justeru, diam lebih baik daripada bersuara, apalagi menganjurkan ceramah mengelilingi dunia untuk memburuk-burukkan 'bekas isteri / suami.'

Jasa Penulis

Ramai orang mendapat kepandaian, mendapat kecerdikan dan mendapat kejayaan setelah memperoleh ilmu daripada buku-buku yang dibaca. Namun begitu, ramai yang tidak tahu, tidak peduli dan tidak pernah menghargai penulis atau penyusun ilmu dari buku yang dibaca. Tanyalah kepada mereka yang mendapat banyak A dalam sebjek di peringkat SPM atau STPM, atau mendapat pangkat pertama dalam ijazah mereka, atau yang sudah bergelar doktor falsafah. Ingatkah mereka pada pengarang-pengarang buku yang pernah dibacainya? Saya yakin tidak ramai yang tahu atau ingat. Mungkin, mereka akan memberi pelbagai alasan untuk membenarkan kealpaan mereka itu. Sebenarnya, menghargai pengarang buku yang pernah berjasa membekalkan ilmu kepada kita tidak susah. Cukuplah kita memberi sedekah pahala dari bacaan al-fatihah atau mendoakan agar hidupnya dirahmati-Nya dan diberikan oleh-Nya kekuatan untuk terus menulis dan menyebarkan ilmu. Marilah kita tanam rasa menghargai jasa mereka  mulai pada hari ini. Guru-guru boleh menyarankan agar pelajarnya turut membaca atau menghafal nama-nama penulis buku yang dibacai oleh mereka. Ingatlah, bahawa tanpa buku-buku yang ditulis oleh mereka, adalah sukar untuk kita memperoleh ilmu dan berjaya.