Khamis, 23 Februari 2012

Kolaborasi

Perhatikan ayat di bawah.
  1. Rubrik ini merupakan satu panduan untuk menilai kolaborasi pelajar dalam bilik darjah.
  2. Buku panduan ini adalah hasil kolaboratif guru-guru di Daerah X.
Ada dua istilah yang hampir sama dalam ayat di atas. Kedua-dua istilah ini amat popular dalam sistem pendidikan di negara kita. Para guru dan pelajar digalakkan "berkolaborasi" dan "berkolaboratif." Dalam skema pemarkahan terhadap kerja kursus pelajar di Institut Pendidikan Guru mempunyai ruangan markah khusus bagi aspek kolaborasi.

Apakah maksud "kolaborasi?"

Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan susunan Hj. Zainal Abidin Safarwan (2002: 928) menjelaskan maksud kolaborasi sebagai pakatan jahat, kongkalikong, sekongkolan, komplot, subahat, kerjasama dengan orang jahat atau musuh. Manakala maksud "kolaborator" pula ialah orang yang bersubahat. Malangnya, tiada entri "kolaboratif" dalam kamus ini.

Dalam Kamus Dewan (2005: 804 - 805) pula menjelaskan maksud "kolaborasi" sebagai subahat (kerjasama) dengan musuh atau orang jahat, subahat dalam pembuatan jenayah. Maksud "kolaborator" ialah orang yang subahat dengan musuh atau orang jahat.

Berdasarkan dua sumber itu dapat difahami bahawa maksud "kolaborasi" ialah bekerjasama  dengan beberapa pihak. Kerjasama yang disepakati itu menjurus ke arah pakatan jahat. Maksunya, "kolaborasi" ialah pakatan bagi melaksanakan aktiviti jahat.

Apakah pula maksud "kolaboratif?"

Kamus Dewan (2005: 805) mencatatkan maksud "kolaboratif" ialah ialah erat dari segi kerjasama antara dua pihak ataupun lebih. Definisi ini merujuk kepada kerjasama ke arah melaksanakan aktiviti kebaikan.

Walaupun kedua-dua istilah itu merujuk kepada kerjasama antara dua pihak, namun, bentuk dan matlamat kerjasama itu adalah berbeza. Yang satu menjurus kepada kerjasama ke arah kejahatan, manakala yang satu lagi bermaksud menjurus kepada kerjasama ke arah kebaikan.

Dalam sistem pendidikan negara, istilah "kolaborasi" digunakan dengan meluas bagi maksud "kerjasama ke arah kebaikan." Dalam ayat 1, walaupun menggunakan istilah "kolaborasi" namun maksudnya jelas merujuk kepada kerjasama ke arah kebaikan. Kepercayaan ini telah meluas dan telah lama meresap ke dalam jiwa guru. Inilah yang dikatakan sebagai kebiasaan berbahasa yang salah.

Secara tidak langsung, guru-guru dan pegawai di KPM telah menyebar dan menggalakkan ajaran salah. Walaupun berlaku di luar sedar, berbahasa dengan makna yang salah tetap memberi kesan terhadap diri dan sistem pendidikan negara. Barangkali inilah juga antara sebab dunia pendidikan kita dipenuhi dengan rangi-rangi kejahatan dan kebejatan sosial.

Oleh sebab Kamus Dewan menjadi pegangan guru dan pelajar di sekolah-sekolah, maka pihak guru dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu segera memperbetulkannya. Ketua Pengarah Pelajaran boleh melaksanakan pembetulan melalui surat pekeliling di bawah KPM.

Justeru, ayat 1 di atas seharusnya;
Rubrik ini merupakan satu panduan untuk menilai kolaboratif pelajar dalam bilik darjah.

Hadis Palsu

Saya bersetuju dengan saranan Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya, agar pihak berkuasa dalam hal ehwal agama Islam bertindak segera menyekat penyebaran hadis palsu di Malaysia. Adalah malang bagi penganut beragama Islam di negara Islam Malaysia bergelumang dengan hadis palsu. Saya percaya bahawa penyebaran hadis palsu akan merencatkan kemurnian akidah umat Islam. Dan, saya juga percaya bahawa ramai umat Islam Malaysia tidak mengetahui atau membezakan hadis benar dan hadis palsu.

Bagi mereka yang mahir dengan sejarah hadis atau pihak berkuasa agama Islam, mereka dapat menilai hadis benar dan hadis palsu. Namun begitu, bagi masyarakat awam, mereka menerima semua hadis adalah benar.

Saya telah lama mempertingkaikan akan sebab penyebaran hadis yang dianggap lemah. Ada sesetengah penulis mencatatkan bahawa hadis yang dirakam itu lemah, namun tetap dikumpul dan diterbitkan. Ada kalanya, hadis lemah ini juga digunakan sebagai dalil dan sandaran oleh penceramah agama. Namun bimbang dianggap antihadis dan  kerana kurang pengetahuan agama, maka hal ini saya diamkan.

Suatu ketika dahulu, Kassim Ahmad begitu bertegas menolak beberapa hadis yang dianggap bertentangan dengan ajaran al-Quran. Akibatnya, beliau telah dianggap antihadis. Tuduhan itu bukan sahaja datang daripada pemimpin politik, malahan pegawai di jabatan agama dan pendakwah sendiri. Mungkinkah, hadis-hadis yang ditolak oleh Kassim Ahmad itu ialah hadis palsu sebagaimana dimaksudkan oleh Dr. Juanda Jaya.

Bagi mengatasi pemasalahan ini,  saya cadangkan agar Pusat Islam dan Majlis Agama Islam Negeri serta mufti perlu berkolaboratif bagi mengenal pasti hadis palsu dan mengharamkan penyebaran hadis-hadis palsu serta buku-buku yang memuatkan hadis-hadis palsu.

Bersihkan akidah umat Islam Malaysia dengan cara membersihkan bahan-bahan bacaan dan rujukan daripada sebarang hadis yang meragukan.

Sebagai alternatif, saya mencadangkan agar Pusat Islam atau Majlis Agama Islam Negeri menerbitkan sendiri hadis-hadis sahih sebagai rujukan masyarakat. Dengan cara ini, umat Islam Malaysia akan lebih yakin dengan kesucian hadis yang dirujuk dan dapat berimam dengannya.

Selasa, 14 Februari 2012

Khairul Fahmi Che Mat

Khairul Fahmi Che Mat mencipta rekod sejarah bola sepak negara Malaysia sebagai pemain pertama menggunakan khidmat pengawal peribadi bagi menjaga keselamatannya. Beliau yang lahir pada 7 Januari 1989 di Dusun Raja, Kota Bharu, Kelantan, merupakan penjaga gol terbaik di Asia pernah bermain mewakili Kelantan FA, Harimau Muda, pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia dan The Red Warriors, sebuah pasukan bola sepak negeri Kelantan Darul Naim. Walau bagaimanapun, bekas pelajar Sekolah Sukan Bandar Penawar dan SS Bukit Jalil memerlukan khidmat pengawal peribadi bukan kerana popularitinya sebagai pemain bola sepak, melainkan akibat timbul pelbagai isu kontroversi yang membabitkan dirinya. Beliau pernah dikaitkan dengan isu putus tunang Leuniey Natasha, pengambilan minuman keras dan sebelum itu dikaitkan dengan 'penipuan' dalam urusan perniagaan. Syarikatnya, Khairul Fahmi Resourses (KFR) Sdn. Bhd, di Jalan Cemerlang, kota Bharu, pernah beberapa kali disimbah cat hitam. Walau apapun alasan, khidmat pengawal peribadi itu tetap mencipta sejarah tersendiri dan lambang populariti dirinya. Namun begitu, dibimbangi prestasi dan popularitinya menjunam dengan pelbagai isu kontroversi yang berlegar di sekitar dirinya. Justeru, saya amat berharap agar Khairul Fahmi atau Apek memberi tumpuan terhadap kerjayanya sebagai pemain bola sepak dan menjauhi aktiviti-aktiviti yang boleh merosakannya. Sesungguhnya, kerjaya bola sepak di Malaysia bukanlah tidak bertahan sepanjang hayat, melainkan pemainnya terpaksa mendampingi kerjaya lain untuk menyara hidupnya.

Khamis, 9 Februari 2012

Blog

Kali pertama aku belajar membina blog ialah sekitar tahun 2008. Aku belajar di Infodesa Kok Pasir, Tumpat, di bawah bimbingan Encik Ediramle Ismail. Aku menunggang motosikal dari Pengkalan Chepa ke kok Pasir yang jaraknya tidak kurang 20 kilometer. Blog pertama (latihan) ialah Laman Nurani. Entri pertama ialah ucapan perkenalan dan entri kedua ialah sebuah sajak. Blog kedua aku ialah nassuryibrahim.blogspot.com, dan blog ketiga ialah blog Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu. Dua kali aku belajar membina blog daripada Encik Ediramle Ismail. Walau bagaimanapun, pengetahuan aku masih sangat berkurang. Apabila mendapat tahu bahawa Dr. Tajulddin Muhammad (JKS) dan Encik Mohd Ali Wong (JTP) menganjur Kursus Asas Pembinaan Blog Jabatan / Unit, aku berusaha menghadirinya, walaupun tidak tersenarai sebagai peserta. Banyak ilmu baharu telah aku perolehi. Aku berpendapat bahawa blog dan seumpamanya merupakan media baru yang berfungsi menyebar dan berkongsi maklumat. Blog boleh digunakan sebagai media baru tempat mengasah bakat penulisan. Kita boleh bina blog berkenaan sesuatu. Misalnya, berkenaan kampung sendiri. Kita boleh menceritakan tentang ketua kampung, tok imam, bangunan tertentu, kejayaan dan sebagainya. Jika blog itu ditulis secara bersungguh-sungguh dan benar, entrinya boleh dikumpul, diedit dan diterbit dalam bentuk buku. Ia akan jadi dokumen sejarah yang sangat berguna pada suatu masa nanti.

Rabu, 8 Februari 2012

Dasar

Sekitar tahun 1995 / 1996, saya pernah berbincang dengan Siti Zaleha M. Hashim berkenaan nisbah 60 - 40 aliran sains dan sastera di universiti. Semasa itu, Puan Siti Zaleha M. Hashim memegang jawatan editor Majalah Dewan Sastera. Kami tidak bersetuju dengan dasar baru kerajaan yang mahu menukarkan nisbah 40% pengambilan pelajar universiti aliran sains kepada 60% berbanding nisbah sebelumnya. Saya menolak sekeras-kerasnya anggapan perdana menteri waktu itu, DS Dr. Mahathir Mohamed, bahawa ramai siswazah menganggur disebabkan aliran sastera tidak dapat bersaing di pasaran kerja. Bagi saya, faktor pengangguran siswazah adalah sama, betapapun mereka berkelulusan teknologi maklumat ((IT) yang menjadi kursus pilihan utama masyarakat pada masa itu). Semuanya bergantung kepada graduan itu sendiri. Bagi mereka yang aktif dengan dunia luar, mereka akan mudah mendapat pekerjaan kerana ada kepakaran tambahan. Mereka yang menumpukan perhatian terhadap pelajaran semata-mata akan berkemungkinan mencapai kelulusan tinggi, namun (pada lazimnya) mereka lemah dalam membuat keputusan atau bertindak apabila berdepan realiti sebenar. Sedangkan, para majikan memerlukan tenaga kerja yang aktif, matang dan dapat menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa. Faktor ini jarang kedapatan pada pelajar ulat buku semata-mata. Saya percaya bahawa lambakan graduan berkelulusan daripada sesuatu major menjadi penyumbang kedua pengangguran, di samping masalah kelembaban ekonomi. Misalnya graduan berkelulusan IT. Semua universiti, kolej, kolej universiti (swasta dan kerajaan, dan dari dalam dan luar negara) menawarkan kursus IT. Tahap kelulusan mereka bermula daripada peringkat sijil hingga Ph.D. Dalam masa yang sama, organisasi pekerjaan pula menghantar pekerja-pekerjanya berkursus bagi menambahkan kepakaran. Tentunya organisasi ini tidak mengambil tenaga kerja baru berkelulusan IT. Manakala, graduan berkelulusan IT terus bertambah setiap tahun.  Perbincangan kami itu telah ternyata bahawa graduan sains kini menjadi penyumbang utama pengangguran. Saya percaya, ia menjadi antara faktor pelajar sekolah tidak berminat terhadap subjek Sains. Saya tidak menafikan kepentingan sains kepada manusia dan kemajuan negara. Namun, idea menolak kepentingan aliran sastera kepada manusia dan negara adalah tidak bijak. Adalah lebih baik kedua-dua aliran itu (malahan aliran ekonomi, vokasinal / kemahiran) digabungkan. Kemajuan fizikal harus diimbangi dengan kemajuan spritual dan kejatian bangsa. Misalnya, kemajuan dalam seni hiburan harus diimbangkan dengan budaya bangsa. Tema persembahan, mesej lagu, muzik atau persembahan iringan, dan juga hiasan pentas berkonsepkan glokal. Justeru, membuka baju ketika menyanyi (sebagaimana pernah dilakukan oleh Faizal Tahir) adalah di luar kejatian budaya bangsa. Walaupun perbuatan itu sesuai di Barat, namun tidak sesuai di Malaysia. Justeru, pelajar aliran sastera perlu juga mempelajari ilmu sains yang bersesuaian, dan pelajar aliran sains perlu juga mempelajari ilmu dari aliran sastera yang bersesuaian. Seeloknya, sediakan peluang seluas-luasnya untuk mereka memilih kursus minor atau elektif dalam kedua-dua aliran berkenaan.

Selasa, 7 Februari 2012

Malang

Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) merupakan peperiksaan awam tertinggi di sekolah-sekolah dalam Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, STPM merupakan peperiksaan penting yang menjadi laluan ke peringkat diploma atau ijazah. Banyak peluang pekerjaan di peringkat STPM, di samping menjadi syarat pengambilan guru pelatih ke maktab perguruan. Justeru, banyak sekolah yang menawarkan pengajian sehingga peringkat tingkatan enam. Namun kini, kegemilangan STPM sudah hilang. Calon-calonnya kian mengecil. Graduannya tidak lagi dipedulikan sebagaimana graduan SPM. Banyak sekolah telah menutup kelas-kelas tingkatan enam. Sudah jarang orang bercakap tentang STPM. Majalah-majalah untuk pelajar tingkatan enam  (Diskusi, Akademik misalnya) juga sudah tidak diterbitkan. Semuanya mendaulatkan SPM. Sikap tidak peduli terhadap graduan STPM turut datang daripada KPM  sendiri.  Kalau dahulu, antara syarat pengambilan guru pelatih ke maktab perguruan ialah lulus di peringkat SPM atau STPM. Mereka diberikan gaji C1 atau C2. Namun kini, syarat kemasukan ke IPG ialah lulus cemerlang dalam SPM. Pemegang STPM tidak layak memohon belajar di IPGK. Mereka hanya layak untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di universiti. Hanya universiti di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang masih mengiktiraf STPM. Saya fikir, sikap KPM yang mendiskriminasikan anak sendiri itu perlu dibuang. Apa salahnya jika graduan cemerlang STPM diberikan peluang belajar di IPGK. Mereka boleh terus diterima masuk ke Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP). Setidak-tidaknya sebagai petanda KPM menghargai mereka yang pembelajarannya jauh lebih susah berbanding pembelajaran Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) di IPGK. 

Ahad, 5 Februari 2012

Bertaraf

Saya akui kebenaran catatan AGI Sarawak dalam Utusan Malaysia (01.02.12) yang bertajuk "Banyak Karenah di IPG?" Menurut pensyarah lama, karenah itu sudah menjadi warisan dan sebati. Ia wujud sejak IPG bergelar maktab lagi. Walaupun maktab bernyawa dalam lumpur karenah, namun sumbangannya melahirkan guru cemerlang tidak dapat dinafikan. Sebilangan tenaga akademik pakar di universiti atau politikus berjaya pernah diasuh di maktab. justeru, saya berpendapat, maktab merupakan lambang keintelektualan guru di Malaysia. Maktab merupakan kilang yang berjaya menghasilkan guru-guru berkualiti di sekolah kerajaan di Malaysia. Kualiti gurunya mengatasi kualiti guru yang dihasilkan oleh universiti, walaupun tenaga kerjanya tiada bergelar profesor. Kini, semua itu menjadi catatan sejarah. IPG yang membesar daripada benih maktab perlu mencipta sejarahnya tersendiri. Diharapkan sejarah itu lebih gemilang daripada sejarah maktab. Untuk itu, IPG perlu bermuhasabah diri. Mengkaji segala kekuatan dan kelemahan maktab untuk diteladani. Catatan AGI Sarawak bahawa IPGM dan IPGK masih mengamalkan karenah lama perlu diberikan perhatian. Kalau kerajaan Barisan Nasional sedang rancak mentranformasikan sistem pentadbiran, maka IPGM dan IPGK perlu mereformasikan dirinya. Reformasi dan tranformasi perlu dijelmakan dalam semua aspek di IPG, baik dari segi perjawatan (staf akademik mahupun sokongan), sistem pentadbiran, pemikiran, sukatan pelajaran, aktiviti pelajar dan sebagainya. Kurang aktiviti bercakap, bermesyuarat, berhimpun, pesta-pestaan. Gantikan semuanya dengan aktiviti akademik bagi melahirkan modal insan berkualiti dalam pengajaran dan pemikiran. Bagi mencapai hasrat institusi akademik 'bertaraf dunia,' maka undang-undang, peraturan dan sistem perjawatannya juga mesti bertaraf dunia. Untuk itu, saya fikir, kuasa autonomi juga perlu diberikan kepada IPGK. Namun begitu, sebelum itu, peneraju IPGM dan IPGK mestilah tokoh akademik yang bertaraf dunia. 

AKAL BUDI MELAYU

  Akal Budi Melayu OLEH ATIQAH ABD RAHIM   Sesi Wacana Ilmu 2020 Siri Kedua telah bersiaran langsung menerusi laman Facebook rasmi Dew...