TEKS
UCAPAN PENGARAH
SEMPENA
MAJLIS APC 2017
ASSALAMUALAIKUM
WARRAMATULLAHI WABARAKATUH
SELAMAT SEJAHTERA,
DAN SALAM 1 MALAYSIA
1.
Syukur Alhamdulillah, dengan limpah
dan rahmat-Nya majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) warga Institut
Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu 2017, yang dirancangkan pada hari ini,
telah menjadi kenyataan dan berjalan lancar.
2.
Saya dan seluruh warga Institut
Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu amat berbesar hati dan mengalu-alukan
kedatangan Yang Berusaha Dato’ Hj. Idris bin Zaharudin, Pengarah Akademi
Pencegahan Rasuah Malaysia ke kampus IPG Kampus Bahasa Melayu. Sesungguhnya,
kehadiran Yang Berusaha Dato’ amat bermakna bagi kami di sini.
Indah berbalam si awan petang,
Berarak
cecelah pohon cemara;
Pemanis kalam selamat datang,
Awal
bismillah pembuka bicara.
Tempat bermula awal pendidikan,
Ilmu
bertambah hari ke hari;
Kehadiran Dato’ dialu-alukan,
Semoga
majlis tambah berseri.
3.
Terima kasih kepada tetamu VIP kita, Yang
Berusaha Dato’ Hj. Idris bin Zaharudin, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah
Malaysia, kerana berkelapangan dan dapat hadir ke majlis APC IPG Kampus Bahasa Melayu tahun 2017.
Sesungguhnya, kehadiran tetamu kita telah menyerikan lagi majlis yang sangat
bermakna, khususnya kepada penerima APC IPG Kampus Bahasa Melayu 2017.
4.
Untuk makluman Yang Berbahagia Dato’,
IPG Kampus Bahasa Melayu ditubuhkan pada 12 Januari 1956 menggunakan nama
Institut Bahasa. Penubuhannya sebagai menyahut syor dalam Laporan Penyata Razak
1956. Fungsinya adalah untuk melaksanakan tugas melatih bakal-bakal guru yang
akan mengajarkan bahasa Melayu.
5.
Pada November 1957, Institut Bahasa
telah memperoleh bangunan sendiri di Bukit
Senyum, Johor Bahru. Pada akhir tahun
1958, Institut Bahasa berpindah ke kampus tetap di Lembah Pantai, Kuala Lumpur
dan kekal sehingga kini.
6.
Pada 25 Ogos 2008, Dewan Rakyat telah
meluluskan pindaan Perndidikan 1996 yang membenarkan maktab perguruan dinaik
taraf ke Institut Pendidikan Guru Malaysia. Sekali lagi nama institut ini
berubah daripada nama Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia telah
ditukarkan kepada IPG Kampus Bahasa Melayu. Kini, sebagaimana peranan IPG yang
lain, kami menawarkan kursus pada peringkat ijazah pertama.
7.
IPG Kampus Bahasa Melayu sentiasa
mengadakan pelbagai majlis, baik di peringkat kampus mahupun di peringkat
kebangsaan. Malah, kami juga
berkolaboratif dengan agensi luar seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Universiti
Malaya, Universiti Teknologi MARA, Jabatan Pendidikan Daerah dan Negeri, Jabatan
Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia, Institut Integriti Malaysia dan sebagainya. Semuanya demi memberi
impak kepada pelajar dan warga IPGKBM.
TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN
8.
Majlis pada hari ini membuktikan
komitmen dan kesungguhan warga IPG Kampus Bahasa Melayu melaksanakan amanah
selaku penjawat awam bagi memastikan dasar dan agenda nasional dapat
direalisasikan dengan sempurna, selaras dengan akuntabiliti dan integriti.
9.
Dalam kehangatan kempen Pilihan Raya
Ke-14 ini, IPG Kampus Bahasa Melayu tidak lupa dengan pelbagai isu yang
berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran. Antaranya ialah isu integriti
dalam kalangan warga institut.
10.
Isu integriti ini merupakan satu
daripada beberapa isu yang sering dikaitkan dengan penjawat awam. Bidang
pendidikan tidak terlepas daripada isu nasional ini. Warga IPG Kampus Bahasa Melayu
juga terlibat secara langsung dan tidak langsung. Baik staf akademik mahupun
staf sokongan, semuanya mempunyai peranan penting bagi memastikan diri
masing-masing mempunyai integriti yang tinggi.
11.
Sebagai kakitangan yang cintakan
keharmonian, marilah kita sama-sama membina dan mermpertingkatkan ciri-ciri
integriti dalam diri kita sendiri dan menjadi suri teladan kepada orang lain. Dengan
adanya imej integriti dalam diri kita akan memberi keselesaan bekerja dan
seterusnya dapat meningkatkan prestasi diri dan organisasi. Orang yang
berintegriti sentiasa ceria. Hidupnya lebih bahagia. Tidak ada stress. Orang
berintegriti sentiasa bersemangat hendak melaksanakan amanah, tanggungjawab dan
berdaya maju. Bak kata perpatah, belum ditanya sudah menjawap. Imej inilah yang
sentiasa diamalkan dan ditunjukkan oleh warga IPG Kampus Bahasa Melayu,
khususnya para penerima APC tahun ini.
Kayu
Cengal dari Inderagiri,
Kayu Meranti dari Lembayu;
Hendak
kenal orang berintegriti,
wajah berseri berdaya maju.
PARA HADIRIN SEKALIAN.
12.
Selain intergriti, kita juga dituntut
agar mempunyai 5C, iaitu Communication, Critical Thinking, Collaboration, Creativity dan
Computer. Kepada
pensyarah ditambahkan satu lagi syarat, iaitu kemahiran pengajaran dan
pemudahcaraan. Kemahiran ini dapat membantu meningkatkan kualiti diri dan
produktiviti. Malah, kemahiran ini merupakan ciri penting bagi mencapai
kejayaan dalam Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21).
13.
Tanpa ciri-ciri integriti dan kemahiran
PAK21, adalah sukar untuk kita mencapai objektif Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2013 – 2025.
14.
Sesungguhnya, kakitangan yang
cemerlang, berintegriti dan saling berkolaboratif akan dapat menghasilkan
pelajar yang berjiwa cemerlang. Kecemerlangan pelajar adalah bukti
kecemerlangan kita yang mendidiknya. Kayu ukur kepada kejayaan PAK21 ialah
kemenjadian pelajar yang kita hasilkan. Baik kepada staf akademik mahupun staf
sokongan, malah agensi-agensi lain juga, produk kita ialah kemenjadian pelajar atau
warga generasi baharu.
Hadirin sekalian.
15.
Sempena majlis ini, saya mengucapkan
tahniah kepada semua warga IPG Kampus Bahasa Melayu yang dinobatkan menerima APC pada tahun 2017. Kepada yang belum
menerima, bukan bererti khidmat anda tidak cemerlang. Saya yakin pada
tahun-tahun berikutnya, mungkin giliran anda pula naik ke pentas sebagai penerima
APC. Saya berharap, penerima-penerima APC dapat meneruskan perkhidmatan dengan
lebih cemerlang lagi sepanjang perkhidmatan mereka.
16.
Kepada Yang Berusaha Dato’ Hj. Idris
bin Zaharudin, sekali lagi kami mengucapkan ribuan terima kasih kerana dapat
menyempurnakan acara dalam majlis ini.
Bunga Seroja bunga Selasih,
Sekian sahaja terima kasih.
ASSALAMUALIKUM WARAMATULLAHI WABARAKATUH
SALAM SEJAHTERA DAN SALAM 1 MALAYSIA.