Isnin, 3 Januari 2022

Melawat Arau

 Malam 30 Disember 2021 aku sampai di Arau. Esoknya, aku melawat sekitar bandar Arau. Arau merupakan Bandar DiRaja di negeri Perlis.


Perlis terletak di utara Semenanjung Malaysia bersempadanan dengan Santun, Songkla dan Kedah. Asal Perlis sebahagian daripada negeri Kedah. 

 

Terdapat lima sumber dipercayai asal-usul negeri Perlis, iaitu pertama, Phrau Loi (kelapa hanyut) yang dipendekkan bunyinya jadi 'pereleh' (Buyung Adil); kedua, daripada perkataan ‘peroleh’ yang membawa maksud kurnia daripada kerajaan Kedah; ketiga, daripada nama seorang ulama besar Nusantara bernama Tok Perlis. Kuburnya di Bukit Mengulang, Perlis; keempat, daripada perkataan ‘perlus’ iaitu tanah sawahnya mudah  ‘terperlus’; dan kelima, menurut Ahmad Ismail dan Yazid Mat nama Perlis dipercayai berasal daripada nama pokok perlis yang banyak tumbuh di kawasan pinggir sungai. 

 

Keluasan negeri Perlis sekitar 821 kilometer persegi dengan kapasiti penduduknya bancian 2010 seramai Bumiputera (194,584 atau 88.4%), Cina (17,522 atau 8%), India (2,675 atau 1.2%) dan lain-lain (5,329 atau 2.4%). Ibu negeri bernama Kangar, manakala Arau merupakan Bandar Diraja.

 Aku melawat Kangar dan bermalam di Arau pada malam 30 Disember 2021. Walaupun dikatakan terdapat 10 buah hotel terbaik di Arau, namun aku menjumpai dua hotel bajet sahaja. Keesokannya aku melawat Hub Bas Perlis, Stesen Kereta Api, Rumah Warisan Perlis dan masjid. 


Kegiatan ekonomi utama masyarakat Perlis ialah menanam padi. Buah yang paling dikenali ialah buah Pauh Harum Manis.