Ahad, 29 Januari 2012

Pasport

Pertama kali aku memiliki pasport ialah sekitar tahun 1982/1983. Waktu itu aku masih belajar di sekolah. Oleh sebab sekolah membuat lawatan ke Singapura, maka aku terpaksa membuat Pasport Terhad Singapura. Terlupa pula bayaran yang dikenakan. Itulah kali pertama dan kali terakhir aku ke Singapura. Pada tahun 1994, sekali lagi aku membuat pasport - Pasport Malaysia - kerana Inst. Bahasa Melayu (kini IPGKBM) bercadang membuat lawatan ke Indonesia. Bayarannya ialah RM300.00. Kini, tahun 2012 sekali lagi aku membuat pasport (bayarannya RM5.00) yang dinamakan Dokumen Perjalanan Terhad, dikeluarkan oleh Pejabatan Imigresen Sabah cawangan Tawau. Dengan pasport ini aku dibenarkan tinggal di Sabah sehingga 2017. Sebelum itu, aku diberikan Pas Lawatan untuk tinggal di Sabah selama 30 hari. Rupa-rupanya, kerajaan Sabah dan sarawak menganggap warganegara Malaysia dari Semenanjung sebagai pelawat. Statusnya sama dengan warga asing. Bezanya, rakyat Semenanjung boleh menggunakan kad pengenalan. Memang hati kecilku terarasa undang-undang ini menyusahkan dan tidak perlu.  Terasa aneh apabila disyaratkan kepada rakyat Malaysia dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak perlu diberikan Pas Lawatan atau menggunakan pasport, sedangkan syarat ini tidak dikenakan terhadap rakyat Sabah dan Sarawak yang berkunjung ke Semenanjung.  Saya fikir undang-undang imigresen ini perlu dimansuhkan kerana tidak menggambarkan ciri-ciri 1Malaysia.  

Jumaat, 27 Januari 2012

Datuk Dr Mohamed Hassan Ali

Pemecatan serta-merta Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia, Datuk Dr. Mohamed Hassan Ali, daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membuktikan bahawa bukan senang memperjuangkan Islam dan ketuanan Melayu di tanah airnya sendiri. Juga membuktikan bahawa PAS bukan parti yang memperjuangkan Islam dan Melayu sepenuhnya, sebagaimana anggapan umum. Kalau UMNO dianggap parti Melayu yang menjadi parasit Melayu dan ketuanan Melayu serta Islam, prinsip beliau yang berusaha membela Islam, membela Melayu dan ketuanan Melayu, serta membela raja-raja Melayu telah dianggap merugikan parti dan Pakatan Rakyat.  Kalau bekas ahli UMNO yang dipecat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi ‘hantu’ kepada UMNO dan Barisan Nasional, pemecatan tergesa-gesa Datuk Dr Mohamed Hassan Ali pula bakal menjadi ‘hantu’ kepada PAS dan Pakatan Rakyat.  Namun, wajarkah beliau menjadi ‘hantu’ dan membakar kelambu yang pernah menjadi tempat menterjemah mimpi? Saya fikir lebih baik Datuk Dr Mohamed Hassan Ali memilih jalan yang dipilih oleh Lee Lam Thye apabila keluar daripada DAP. Beliau tidak menyertai mana-mana parti, sebaliknya terus memberi khidmat sosial kepada masyarakat. Khidmat ini lebih dihargai berbanding khidmat sebagai ahli politik. Barangkali beliau boleh memfokuskan isu akidah orang Islam sebagai landas khidmat sosialnya.

Rabu, 25 Januari 2012

Keadilan Sosial


Demonstrasi Natrah
Menurut DS Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam bukunya, Menjuarai Tranformasi, "Perpaduan tidak mampu dipupuk dengan hanya menggunakan mekanisme politik tanpa disertai asas sosioekonomi bertunjangkan keadilan sosial" (ms. 24). Saya berpendapat perihal keadilan sosial sering kali tidak dapat diterjemahkan oleh agensi kerajaan sendiri. Umpamanya, hak kontrak sosial orang Melayu, diskriminasi kenaikan pangkat one-off staf akademik IPG, pencabulan terhadap hak demonstrasi jalanan secara aman, kegagalan SPR melaksanakan pilihan raya adil misalnya adalah contoh ketidakadilan sosial yang melanda masyarakat di negara ini. Demonstrasi jalanan di Malaysia dipelopori UMNO kini sedaya-upaya dilabelkan sebagai negatif. Sedangkan, demonstrasi jalanan merupakan jalan akhir setelah rundingan senyap gagal. Menuduh demonstrasi jalanan di Malaysia sebagai ganas merupakan satu usaha mereka yang gila kuasa, atau separa waras untuk bertindak sewenangannya. Sebarang sikap dan tindakan yang membelakangi keadilan sosial akan memusibahkan semua pihak. Tegas DS Mohd Najib lagi, "Manusia yang memperoleh pengajaran yang betul daripada peristiwa sejarah dapat mengelak daripada melakukan kesilapan dan tindakan yang membawa kepada kejatuhan sesebuah negara mahupun tamadun" (ms. 17).

Durian Belanda

Nama saintifiknya ialah  Annona muricata L. Buah ini berasal dari hutan tropika Carribean dan kini banyak tumbuh di Asia Tenggara. Dahulu, semasa di kampung, aku membiarkan tumbuh, berbuah dan gugur begitu sahaja. Amat jarang aku memakannya. Namun kini, Durian Belanda telah menjadi buahan ekslusif. Harganya naik mendadak setelah diketahui khasiat. Di Kota Bharu, Durian Belanda dijual secara timbang dengan harga RM14.00 sekilo. Namun di Tawau, isteriku membeli sebiji Durian Belanda yang beratnya lebih tiga kilo dengan harga RM3.00. Malangnya, amat sukar diperoleh. Menurut laporan dari http//:wwwdurianbelanda.com, buah berduri lembut dan berkulit lembut ini mempunyai banyak khasiat. Antaranya, dipercayai dapat mengubat penyakit darah tinggi, kencing manis, gastrik, masalah jantung, penyakit hati, sakit sendi dan sengal anggota tubuh, dapat meningkatkan susu badan wanita, elak ketengangan, boleh dijadikan ubat penyakit malaria, ulser perut, antibakteria, antikanser, antitumor, astrigen dan sakit saraf, Isinya yang lembit boleh dimakan terus atau dibuat jus. Malah, daunnya juga boleh dibuat teh. Selamat mencuba.

Selasa, 24 Januari 2012

Berkunjung ke Kunak

Jarak Kunak dari Balung sekitar 50 KM. Jalannya mendatar dengan hiasan ladang kelapa sawit berselang pohon pisang, durian, rambutan dan hutan. Nama daerah seluas 438 batu persegi (1134 KM) ini sempena nama kapal kepunyaan Straits Steamship Company yang berlabuh di Lahad Datu sekitar 1960, di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Kunak. Walaupun baru mendapat nama, daerah Kunak yang terletak di Pantai Timur Sabah, telah pun didiami manusia sejak 30,000SM, khususnya di Tingkayu. Penduduknya sekitar  60,086 orang dari etnik Bajau, Bugis, Suluk, Cocos dan lain-lain.  Majoriti (95%) beragama Islam. Perjalanan ke Pekan Kunak akan menempuh bandar baru Kunak yang sedang berkembang dengan dua stesen minyak (Esso dan Petronas), beberapa deretan bangunan kedai (majoritinya kedai perabut dan pakaian), pasar, balai polis, sekolah, KFC, dan sebuah hospital. Jalannya berakhir ke bandar lama. Di kiri dan kanan bandar lama berderetan bangunan kedai kayu serta beberapa pentempatan rumah di atas air. Jalannya agak sesak. Selain peladangan sawit, kegiatan ekonomi masyarakat Kunak ialah pertaniabn dan menangkap ikan. Justeru, di sini kaya dengan hasil maritim yang segar dan murah. Walaupun terdapat perpustakaan awam, daerah yang mempunyai dua mukim ini - Mukim Madai dan Mukim Pangi - tidak mempunyai kedai atau gerai menjual bahan-bahan bacaan, termasuk akhbar. Ini kekurangan yang perlu diatasi agar pembangunan fizikal seimbang dengan pembangunan interlektual.

Ahad, 22 Januari 2012

Menu Pagi

Kata pepatah, 'lain padang lain belalang.' Demikian juga sikap dan cita rasa manusia. Semasa tinggal di Kuala Lumpur, menu pagi masyarakatnya ialah roti canai atau nasi lemak dipadankan dengan teh tarik. Menu pagi masyarakat di Kelantan pula ialah nasi berlauk, nasi kerabu, nasi dagang dan pelbagai kuih-muih. Namun begitu, lain pula menu pagi masyarakat Tawau. Saya belum ketemu roti canai, namun ada dijual nasi lemak. Satu kelainan menu pagi masyarakat Tawau ialah pisang goreng, cempedak goreng, roti sandwic goreng. Pisang dan cempedak goreng itu dicicah kicap berlada (cili pedas). Dua jenis makanan ini terus dijual dari pagi sampai ke petang. Lazimnya, pisang goreng dan cempedak goreng di Semenanjung menjadi hidangan petang sahaja. Satu hal yang istimewa ialah harga pisangnya ialah RM1.00 sesisir.  Masakan mereka amat kurang gulai-menggulai (kari). Ini menjadi masalah kerana aku suka kari/kuah. Sambalnya tidak pedas langsung. Namun, ada cili yang sangat pedas dijual. Air pula amat tidak menyelerakan masyarakat Kelantan kerana tawar. Susu disebut 'nain.' Kalau anda memesan teh susu sebut saja 'teh nain / kopi nain.' Ada juga teh tarik. Sejak berada di Tawau, menu pagi aku ialah sama ada nasi lemak + teh nain / kopi nain atau kuih + teh nain / kopi nain.

Pasar Tamu

Pagi ini aku berkunjung ke Pasar Tamu. Letaknya di Jalan Apas, antara Bandar Seri Indah ke persimpangan Lapangan Terbang Tawau. Konsepnya sama sahaja dengan istilah Pasar Minggu / Pasar Pagi atau Pasar Malam di semenanjung. Pasar Tamu diadakan separuh hari sebelah pagi. Di sini juga ada pasar malam.

Harga barang-barang dijual tidak mahal. Purata kuih ialah RM1.00 untuk empat biji. Misalnya, karipap dalam gambar di sebelah. Kuih-muihnya sama sahaja dengan kuih-muih di semenanjung seperti kuih gulung, cucur, kuih seri muka, donat dan sebagainya, Namun, pulut pianggang lebih besar dan berintikan antaranya sambal udang, ikan, atau kacang (seperti adunan dalam ampan). Pada bahagian hujung daun pisang dilipat ke dalam (kalau di Kelantan diselitkan dengan lidi atau distaplerkan.  Pakaian bander pula antara Rm2.00 (baju) - RM10.00 (seluar).  Ada pelbagai jenis sayur. Paling banyak terung, labu dan sawi. Harga beras dan ikan lebih murah dari semenanjung. Namun, harga ayam daging lebih mahal. Ada juga dijual ayam hidup. Walau apapun, kebanyakan barangan masih boleh dibeli dengan harga RM1.00.

Kenangan bersama-sama dengan Pyan

 Aku kenal Pyan sekitar tahun 1987. Aku selalu bertandang di Rumah Anak Alam, Jalan Merbuk, Kuala Lumpur. Di sini aku berkenalan juga dengan...