Rabu, 9 Mei 2012

Kafir

Dalam entri bertarikh 8 Mei 2012 telah saya tulis bahawa fatwa mengharamkan perhimpunan Duduk-Bantah Bersih 3.0 oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia adalah berbahaya ternyata benar. Mantan Ketua Polis Negara, TS Abdul Rahim Noor dalam kenyataannya terhadap Bersih 3.0 menganggap YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai 'Bapa Kafir." Saya percaya kenyataan itu ekoran fatwa yang menganggap perhimpunan Duduk Bantah Bersih 3.0 adalah haram. Saya tidak pasti setakat mana ilmu agama Islam beliau, namun saya cukup yakin dengan ilmu agama Islam YAB Tuan Guru Dato' Nik Aziz. Jika orang yang tidak pernah meninggalkan solat, apatah lagi solat wajib, dianggap 'kafir,' maka yakinkah anda bahawa TS Abdul Rahim Noor seorang yang beriman mengatasi YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz. Walau apapun pegangan politik anda adalah sangat bersalahan menganggap beliau sebagai 'bapa kafir.' Saya bimbang kenyataan ini akan disebarluaskan oleh TV3 yang sentiasa dahaga isu kontroversi, terutama yang berkaitan pembangkang. Mungkin juga 'ilham syaitan' TS Abdul Rahim Noor itu terbit kesan daripada menonton tayangan berulang kali visual Bersih 3.0. oleh TV3. Dalam hal ini, saya juga yakin bahawa punca asal mengkafirkan ulama itu bermula dari fatwa dan ditambah dengan isu yang negatif yang dimainkan oleh TV3. Sedarlah bahawa institusi kemasyarakatan kita sudah rosak, dan kian dirosakkan oleh media elektronik seperti TV3 dan politikus liar. Ke manakah kita mahu membawa masyarakat dan negara dengan kenyataan-kenyataan liar begini?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan