Rabu, 25 April 2018

Teks Ucapan APC

Hari ini aku telah siap menulis teks ucapan untuk Pengarah sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017.


TEKS UCAPAN PENGARAH
SEMPENA MAJLIS APC 2017


ASSALAMUALAIKUM WARRAMATULLAHI WABARAKATUH
SELAMAT SEJAHTERA, DAN SALAM 1 MALAYSIA


1.           Syukur Alhamdulillah, dengan limpah dan rahmat-Nya majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) warga Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu 2017, yang dirancangkan pada hari ini, telah menjadi kenyataan dan berjalan lancar.

2.           Saya dan seluruh warga Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu amat berbesar hati dan mengalu-alukan kedatangan Yang Berusaha Dato’ Hj. Idris bin Zaharudin, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia ke kampus IPG Kampus Bahasa Melayu. Sesungguhnya, kehadiran Yang Berusaha Dato’ amat bermakna bagi kami di sini.

Indah berbalam si awan petang,
        Berarak cecelah pohon cemara;
Pemanis kalam selamat datang,
        Awal bismillah pembuka bicara.

Tempat bermula awal pendidikan,
        Ilmu bertambah hari ke hari;
Kehadiran Dato’ dialu-alukan,
        Semoga majlis tambah berseri.

3.           Terima kasih kepada tetamu VIP kita, Yang Berusaha Dato’ Hj. Idris bin Zaharudin, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, kerana berkelapangan dan dapat hadir ke majlis APC  IPG Kampus Bahasa Melayu tahun 2017. Sesungguhnya, kehadiran tetamu kita telah menyerikan lagi majlis yang sangat bermakna, khususnya kepada penerima APC IPG Kampus Bahasa Melayu 2017.

4.           Untuk makluman Yang Berbahagia Dato’, IPG Kampus Bahasa Melayu ditubuhkan pada 12 Januari 1956 menggunakan nama Institut Bahasa. Penubuhannya sebagai menyahut syor dalam Laporan Penyata Razak 1956. Fungsinya adalah untuk melaksanakan tugas melatih bakal-bakal guru yang akan mengajarkan bahasa Melayu.

5.           Pada November 1957, Institut Bahasa telah memperoleh bangunan sendiri di Bukit  Senyum, Johor Bahru. Pada akhir tahun 1958, Institut Bahasa berpindah ke kampus tetap di Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan kekal sehingga kini.

6.           Pada 25 Ogos 2008, Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan Perndidikan 1996 yang membenarkan maktab perguruan dinaik taraf ke Institut Pendidikan Guru Malaysia. Sekali lagi nama institut ini berubah daripada nama Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia telah ditukarkan kepada IPG Kampus Bahasa Melayu. Kini, sebagaimana peranan IPG yang lain, kami menawarkan kursus pada peringkat ijazah pertama.

7.           IPG Kampus Bahasa Melayu sentiasa mengadakan pelbagai majlis, baik di peringkat kampus mahupun di peringkat kebangsaan.  Malah, kami juga berkolaboratif dengan agensi luar seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA, Jabatan Pendidikan Daerah dan Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Institut Integriti Malaysia dan sebagainya. Semuanya demi memberi impak kepada pelajar dan warga IPGKBM.

TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN

8.           Majlis pada hari ini membuktikan komitmen dan kesungguhan warga IPG Kampus Bahasa Melayu melaksanakan amanah selaku penjawat awam bagi memastikan dasar dan agenda nasional dapat direalisasikan dengan sempurna, selaras dengan akuntabiliti dan integriti.

9.           Dalam kehangatan kempen Pilihan Raya Ke-14 ini, IPG Kampus Bahasa Melayu tidak lupa dengan pelbagai isu yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran. Antaranya ialah isu integriti dalam kalangan warga institut.

10.        Isu integriti ini merupakan satu daripada beberapa isu yang sering dikaitkan dengan penjawat awam. Bidang pendidikan tidak terlepas daripada isu nasional ini. Warga IPG Kampus Bahasa Melayu juga terlibat secara langsung dan tidak langsung. Baik staf akademik mahupun staf sokongan, semuanya mempunyai peranan penting bagi memastikan diri masing-masing mempunyai integriti yang tinggi.

11.        Sebagai kakitangan yang cintakan keharmonian, marilah kita sama-sama membina dan mermpertingkatkan ciri-ciri integriti dalam diri kita sendiri dan menjadi suri teladan kepada orang lain. Dengan adanya imej integriti dalam diri kita akan memberi keselesaan bekerja dan seterusnya dapat meningkatkan prestasi diri dan organisasi. Orang yang berintegriti sentiasa ceria. Hidupnya lebih bahagia. Tidak ada stress. Orang berintegriti sentiasa bersemangat hendak melaksanakan amanah, tanggungjawab dan berdaya maju. Bak kata perpatah, belum ditanya sudah menjawap. Imej inilah yang sentiasa diamalkan dan ditunjukkan oleh warga IPG Kampus Bahasa Melayu, khususnya para penerima APC tahun ini.

Kayu Cengal dari Inderagiri,
    Kayu Meranti dari Lembayu;
Hendak kenal orang berintegriti,
    wajah berseri berdaya maju.



PARA HADIRIN SEKALIAN.

12.        Selain intergriti, kita juga dituntut agar mempunyai 5C, iaitu Communication, Critical Thinking, Collaboration, Creativity dan Computer. Kepada pensyarah ditambahkan satu lagi syarat, iaitu kemahiran pengajaran dan pemudahcaraan. Kemahiran ini dapat membantu meningkatkan kualiti diri dan produktiviti. Malah, kemahiran ini merupakan ciri penting bagi mencapai kejayaan dalam Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21).
13.        Tanpa ciri-ciri integriti dan kemahiran PAK21, adalah sukar untuk kita mencapai objektif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025.

14.        Sesungguhnya, kakitangan yang cemerlang, berintegriti dan saling berkolaboratif akan dapat menghasilkan pelajar yang berjiwa cemerlang. Kecemerlangan pelajar adalah bukti kecemerlangan kita yang mendidiknya. Kayu ukur kepada kejayaan PAK21 ialah kemenjadian pelajar yang kita hasilkan. Baik kepada staf akademik mahupun staf sokongan, malah agensi-agensi lain juga,  produk kita ialah kemenjadian pelajar atau warga generasi baharu.

Hadirin sekalian.

15.        Sempena majlis ini, saya mengucapkan tahniah kepada semua warga IPG Kampus Bahasa Melayu yang dinobatkan menerima  APC pada tahun 2017. Kepada yang belum menerima, bukan bererti khidmat anda tidak cemerlang. Saya yakin pada tahun-tahun berikutnya, mungkin giliran anda pula naik ke pentas sebagai penerima APC. Saya berharap, penerima-penerima APC dapat meneruskan perkhidmatan dengan lebih cemerlang lagi sepanjang perkhidmatan mereka.

16.        Kepada Yang Berusaha Dato’ Hj. Idris bin Zaharudin, sekali lagi kami mengucapkan ribuan terima kasih kerana dapat menyempurnakan acara dalam majlis ini.

Bunga Seroja bunga Selasih,
Sekian sahaja terima kasih.

ASSALAMUALIKUM WARAMATULLAHI  WABARAKATUH
SALAM SEJAHTERA DAN SALAM 1 MALAYSIA.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kenangan bersama-sama dengan Pyan

 Aku kenal Pyan sekitar tahun 1987. Aku selalu bertandang di Rumah Anak Alam, Jalan Merbuk, Kuala Lumpur. Di sini aku berkenalan juga dengan...