IPG Kampus Tawau Mulakan Cabaran Cipta Rekod Pengajaran Makro 182 Jam Tanpa Henti
Oleh Nashir MansorTAWAU, 4 Okt (Bernama) -- Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau hari ini memulakan cabaran mencipta nama dalam Malaysia Book Of Records melalui pelaksanaan Pengajaran Makro selama 182 jam tanpa henti.
Projek Makroton yang membabitkan 249 guru pelatih dan kakitangan IPG berkenaan dimulakan tepat 8 pagi ini di kampus itu dan akan berakhir pada pukul 10 malam 11 Okt.
Guru-guru pelatih berkenaan dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil dan ada di kalangan mereka bertindak sebagai guru dan sebahagiannya sebagai murid dan setiap kumpulan itu akan menyampaikan pengajaran makro mereka selama sejam.
"Proses mencipta rekod ini akan mengambil masa sembilan hari lapan malam membabitkan 74 orang saksi daripada kalangan bukan kakitangan IPG Tawau tetapi dari pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan terdiri daripada doktor, jururawat, pengetua dan penolong-penolong kanan sekolah.
"Mereka secara sukarela dan gembira dilibatkan dalam projek yang disifatkan sebagai julung-julung kali diadakan dan ingin menyaksikannya," kata Pengarah IPG Kampus Tawau Masni Madat kepada Bernama di sini hari ini.
Masni berkata antara lain projek berkenaan bertujuan mempromosi kecemerlangan pendidikan IPG Kampus Tawau ke peringkat kebangsaan dan memartabatkan pengajaran bahasa Melayu dan Inggeris memandang pengajaran makro dilaksanakan menggunakan kedua-dua bahasa berkenaan.
Melalui usaha ini, ia dapat memberi pengalaman autentik kepada pelatih mengenai prosedur melaksanakan projek bagi melonjakkan kecemerlangan profesionalisme keguruan serta memberi pendedahan kontektual mengenai amalan kebertanggungjawaban bersama untuk meningkatkan kualiti profesion keguruan.
Masni berkata pihaknya sudah bersedia sepenuhnya dari segala segi termasuk menghadapi kemungkinan gangguan bekalan elektrik sepanjang projek itu berlangsung bagi memastikan kejayaannya.
"Rakaman semua rancangan pengajaran sepanjang 182 jam itu akan diserahkan kepada Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching pada 12 Okt sebagai bukti pengajaran ini telah selesai dan terlaksana," katanya.
Masni juga berkata semua rancangan pengajaran yang disampaikan sepanjang projek berkenaan juga diharap akan menjadi sumber rujukan kepada IPG lain di seluruh negara yang berminat menggunakannya.
"Sepanjang tempoh 182 jam itu, pengajaran makro ini disampaikan melalui pelbagai cara termasuk menggunakan komputer riba dan lukisan," katanya.
-- BERNAMA 4 Oktober 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan