Kini ada dua pihak yang mendakwa bahawa kumpulan masing-masing sebagai pejuang kemerdekaan. Pertama, golongan politik Barisan Nasional (BN), manakala golongan kedua ialah kumpulan beraliran komunisme. Paling kuat bersuara ialah golongan BN. Golongan komunisme tidak bersuara. Hanya pihak yang bersimpati dengannya menyuarakan sumbangan mereka.
Pada saya, pejuang kemerdekaan dan kemerdekaan diperoleh bukan kesan daripada perjuangan satu golongan sahaja. Ia adalah hasil kerja secara kolektif masyarakat Tanah Melayu dahulu. Asal perjuangan menentang penjajahan Inggeris bukan kerana mahu kemerdekaan. Perjuangan menentang Inggeris tercetus kerana perasaan tidak puas hati para pembesar terhadap tindakan Inggeris yang menyekat 'kemewahan' dan kebebasan mereka. Pejuang awal seperti Dato' Kelana misalnya, menentang Inggeris kerana Inggeris menyekat kebebasannya mengutip cukai. Manakala pejuang akhir, Abdul Rahman Limbong dan Tok Janggut misalnya, menentang Inggeris kerana Inggeris mengenakan cukai terhadap barangan atau usaha mereka. Mereka menentang Inggeris bukan kerana mahu memartabatkan agama dan bangsa, sebaliknya kerana mahu mengembalikan martabat kekuasaan mereka.
Golongan berpendidikan Mesir menentang Inggeris kerana faktor agama. Kesedarannya timbul setelah digerakkan oleh golongan radikal di Timur Tengah. Walaupun agama Islam cemerlang di Tanah Melayu, namun tiada catatan membayangi bahawa kecemerlangan itu mencetuskan bibit-bibit kesedaran menentang penjajahan Inggeris. Api penentangan mereka diimport.
Satu kumpulan, pada saya, adalah juga golongan yang menyemarakan kesedaran menentang penjajahan Inggeris ialah penjajahan Jepun. Idealisme Jepun, Asia untuk orang Asia, dan kejayaannya menentang Inggeris telah membangkitkan semangat juang orang Melayu dan bukan Melayu secara menyeluruh di Tanah Melayu. Hal ini ditambah pula dengan kekejaman pemerintah pada masa itu, baik dari kalangan tentera Jepun mahupun pemerintah selepas penguasaan tentera Jepun.
Saya katakan bahawa pejuang kemerdekaan dan kemerdekaan diperoleh bukan kesan daripada perjuangan satu golongan sahaja. Maka, siapakah golongan yang ramai itu. Saya merumuskan bahawa pejuang-pejuang kemerdekaan Tanah Melayu terdiri daripada golongan pembesar yang kecundang kekuasaan, golongan beraliran kapitalis, golongan beraliran komunis sosialis, golongan beraliran agama, dan golongan pendidik (guru dan wartawan). Yang lebih mendominasi di saat ambang kemerdekaan dan seterusnya menguasai negara ialah golongan kapitalis.
Malangnya, pada saya, nilai kemerdekaan yang mereka capai itu, kini kian pudar pada generasi. Malah, identiti kenegaraan yang sepatutnya berdiri kukuh, juga kian menghilang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan