Guru-guru selalu dimaniskan dengan kata-kata bahawa pekerjaan sebagai guru adalah paling mulia. Saya tidak menolak kebenarannya, sebagaimana saya tidak menolak bahawa bekerja sebagai guru juga, terkadang, paling hina. Kalau kita menyebarkan ilmu yang benar, maka mulialah kerja kita sebagai guru, dan sebaliknya. Di sini, saya akan berbicara dua realiti yang akan memungkinkan guru dapat penghinaan.
Pertama, untuk menjadi mulia, maka guru-guru
dianjur, digalak dan mengamalkan sikap berkolaborasi. Sikap ini juga diterap
kepada murid dan diamalkan dengan meluas oleh sebilangan pegawai di peringkat
kementerian, jabatan pendidikan dan juga institut pendidikan guru. Kamus Dewan
mencatatkan maksud kolaborasi sebagai kerjasama membuat pakatan jahat atau
merancang melakukan kejahatan. Tentulah perbuatan ini bertentangan dengan
ajaran agama. Walaupun kemungkinan guru tidak mengetahui maksud sebenar
kolaborasi, jika murid mengetahui maknanya dan melakukan pakatan jahat itu atas
alasan digalakkan oleh guru, maka guru tetap bertanggungjawab terhadap
saranannya. Maka, kerja mulia guru akan bertukar menjadi kerja yang hina.
Kedua, saya merujuk satu kesilapan dalam Modul
Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu, ditulis oleh empat orang doktor falsafah
dan dua orang sarjana. Topik yang
dibicarakan ialah kesalahan sebutan dalam bahasa Melayu, iaitu kesilapan
disebabkan pemilihan kata yang tidak tepat. Perhatikan contoh ayat yang diberikan
dalam modul di halaman 74.
- Dia
menunggang kuda pintar.
- Dia
menunggang kuda cerdik.
Dalam Ayat 1 terdapat istilah "pintar",
manakala dalam Ayat 2 terdapat istilah "cerdik." Dikatakan bahawa penggunaan istilah “pintar”
dalam Ayat 1 adalah salah. Yang betulnya ialah menggunakan istilah “cerdik”
sebagaimana dalam Ayat 2.
Kedua-dua istilah itu merujuk kepada binatang.
Pernahkah anda bertemu dengan kuda "pintar" atau kuda
"cerdik?" Tentunya tidak. Maka, dari segi wacana, kedua-dua ayat itu
salah, walaupun binaan ayatnya betul. Salah kerana pemilihan perkataan
"pintar" dan "cerdik" yang dipadankan dengan binatang.
Makhluk yang "pintar" dan "cerdik" hanyalah manusia sahaja. Kuda bukan manusia. Kuda, sebagaimana binatang lain, sekadar ada otak sahaja, tetapi tidak mampu menggunakan otak sehingga menjadi "pintar" atau "cerdik." Yang ada otak dan menggunakannya sehingga "pintar' dan "cerdik" ialah manusia. Manusia dianggap haiwan berakal. Oleh sebab manusia menggunakan dan memanfaatkan akal, maka manusia berbeza dengan makhluk Allah yang lain, termasuk Malaikat. Dengan menggunakan akal, maka manusia menjadi pintar dan cerdik.
Berbalik kepada dua ayat di atas, kesalahan
menggunakan perkataan telah menyebabkan kesalahan makna, dan seterusnya
kesalahan maksud mesej yang ingin disampaikan. Tidak ada kuda yang pintar sebagaimana
tidak ada kuda yang cerdik. Maklumat yang disarankan agar pelajar menggunakan istilah
“cerdik” (dalam Ayat 2) sebagai menggantikan istilah “pintar” (dalam Ayat 1) adalah
salah. Kedua-dua ayat itu salah. Untuk menunjukkan istilah “pintar” dalam Ayat 1
adalah salah, maka kosa kata "cerdik" dalam Ayat 2 perlu ditukarkan.
Oleh sebab kuda sejenis binatang, maka Ayat 2 itu mesti diganti dengan istilah
"jinak" atau "liar" agar Ayat 2 betul, manakala Ayat
1 kekal dengan istilah "pintar" atau "cerdik" sebagai membuktikan salah. Contoh ayat sebagaimana di bawah.
- Dia
menunggang kuda "pintar / cerdik."
- Dia menunggang kuda "liar / jinak."
Demikian dua contoh kesilapan, walaupun tanpa sengaja, yang boleh menjerumuskan ke arah pekerjaan paling hina.
Kebijaksanaan nilai kemanusiaan...ikhlas guru berlakulah kemenjadian murid.
BalasPadam