Alhamdulillah, dicelah kesibukan kerja yang tidak menentu, akhirnya dapat juga saya menghabiskan pembacaan buku setebal 474 halaman ini. Banyak maklumat yang mengesankan saya perolehi daripada buku Rihlah Ilmiah Wan Mohd Nor Wan Daud: Dari Neomodernisme ke Islamisasi Ilmu Komtemporer (RI), khususnya berkenaan gerakan ilmu dan keintelektualan muslim Malaysia dan dunia. Rupa-rupanya gerakan ilmu benar tidak semudah harapan dan sangkaan. Banyak halangan termasuk dari pemimpin Islam sendiri.
Buku memuatkan dua dalam satu ini - autobiografi dan biografi dipersembahkan secara wawancara, mendedahkan pengalaman Wan Mohd Nor Wan Daud, dan ketokohan Syed Muhammad Naquib al-Attas, sebagai sarjana intelektual muslim Malaysia peringkat dunia. Banyak rahsia disingkatkan seperti strategi pengukuhan gerakan intelek dan halangannya, pendirian kesarjanaan, hubungan diplomatik kesarjanaan, gerakan pelajar muslim Malaysia di luar negara, krisis keintelektualan sarjana, sarjana muslim palsu, serta panahan politik hingga 'terbunuhnya' jawatan al-Attas dan ISTAC.
Membaca buku yang diusahakan oleh Dr. Adian Husaini terbitan UTM-CASIS, Jakarta, 2012, ini memberi kepuasan ilmiah tersendiri. Pembaca dihidangkan pandangan-pandangan kritis seperti gerakan Islam di Malaysia tidak pernah sampai ke hujung silibus, tiada kesungguhan, dan sentiasa diwarnai kepentingan peribadi. Apabila hal ini terjadi maka ilmu yang diterima oleh manusia tidak suci, tidak benar dan tidak bebas apabila manusia meletakkan makna ilmu berdasarkan pandang alam dirinya, tafsiran pada pemahamannya dan huraiannya berdasarkan cita rasa dan ideologi. Maka dengan itu, ilmu tidak lagi bebas. Hal inilah yang sedang membarahi masyarakat di negara kita.
Bagi membersihkan anasir jahat dalam penyebaran ilmu salah dan demi keharmonian bangsa dan negara, dan mengislamisasikan ilmu, Malaysia memerlukan satu gerakan radikal bagi mengatasinya. Gerakan ini, disarankan, harus dimulakan oleh golongan pendidikan di perguruan tinggi kerana pendidik merupakan sumber pusat yang boleh mewariskan semangat kesedaran ilmu benar kepada murid dan seterus kepada masyarakat melalui murid atau bekas murid. Guru yang mengajar di peringkat prasekolah, sekolah dasar dan sekolah menengah merupakan produk dari perguruan tinggi. Justeru, pengajaran dan pembelajaran di perguruan tinggi perlu direformasikan seperti kepakaran tenaga pengajar, sukatan pelajaran, bahan-bahan pembelajaran, juga visi dan misinya.
Mengakhiri catatan ini, berdasarkan kefahaman saya membaca buku ini, saya berpendapat bahawa Wan Mohd Nor Wan Daud adalah ibarat sebuah perpustakaan al-Attas yang di dalamnya tersimpan visi - misi, cita-cita, ilmu, cara kerja, rakan, jerit-perit, kepercayaan serta suka duka al-Attas. Malahan tersimpan juga pengalaman-pengalaman peribadi al-Attas. Pengetahuannya tentang al-Attas amat mendalam. Maka benarlah pada orang yang berkata bahawa beliau merupakan kultus al-Attas. Bagi saya, beliau merupakan al-Attas Junior. Beliau dikenali kerana orang mengenali al-Attas dan beliau sangat dipercayai oleh al-Attas. Hal ini tidak menghairankan kerana beliau sangat hormat dan menyayangi al-Attas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan