Isnin, 27 Ogos 2012

Mencari Jalan Pulang

Saya baharu selesai membaca buku autobiografi Dr Kassim Ahmad berjudul "Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme kepada Islam (MJP) terbitan ZI Publications Sdn. Bhd, tahun 2008. Suatu ketika dahulu, saya pernah membaca akan cita-cita akhir Dr Kassim ialah mahu menulis autobiografi dan terjemahan al-Quran. Satu cita-citanya telah tercapai, hanya tinggal satu lagi. Harapan saya, semoga cita-cita berbaki itupun akan tercapai. Saya pasti bahawa cita-cita berbaki itu juga akan tercapai. Keyakinan ini berasaskan kepercayaan saya bahawa dalam semua tulisan-tulisan Dr Kassim yang memuatkan terjemahan ayat al-Quran adalah terjemahan beliau sendiri. Kalau benar, ini bermakna usaha terjemahan itupun hanya tinggal bakinya sahaja.
 
Saya memang meminati tulisan-tulisan Dr Kassim. Pemikirannya tinggi, telus dan berani. Karya-karya sasteranya adalah bersifat kerakyatan. Malahan, berkenaan pembentukan negara bangsa dan perpaduan nasional telahpun dijanakan oleh Dr Kassim sejak awal kemerdekaan lagi. Ideanya itu lebih menarik berbanding idea-idea yang dilaksanakan oleh Perikatan. Kalau Dr Kassim berada dalam Perikatan, saya percaya, telah lama Dr Kassim dilantik sebagai menteri.
 
Berdasarkan pembacaan saya terhadap buku-buku yang mengisahkan penglibatan seseorang dalam aliran kiri ialah kerana berlaku penindasan dan kekejaman pihak berkuasa terhadapnya atau keluarganya. Dalam hal ini saya dapati demikian juga pada diri Dr Kassim. Kekiriannya bukan kerana ideologi kiri yang menarik, tetapi disebabkan kemiskinan dan kesengsaraan keluarga. Kekiriannya ditarik oleh faktor kemiskinan. Namun begitu, jiwa sebenarnya bukan bersifat kekirian, apalagi beraliran komunisme. Malahan dalam buku setebal 243 halaman ini digambarkan seolah-olah beliau tersalah masuk dalam dunia kekiriannya itu. Usahanya untuk keluar daripada kekiriannya itu dan memasuki aliran keislaman sudah bermula sejak tahun 1960-an lagi. Walau bagaimanapun, saya menganggap usaha awal itu bukan cetusan nuraninya yang sebenar.
 
Berdasarkan catatannya dalam buku MJP ini, faktor mutakhir (mungkin sebenar) ialah kerana kejatuhan aliran sosialis di peringkat dunia. Negara pendokong sosialis telah beralih kepada aliran kapitalisme. Ini ditambah pula dengan tindakan partainya yang menolak kepimpinannya. Dua faktor ini, pada pandangan saya, telah membawa perletakan jawatan Presiden partai dan ahli partai pada tahun 1984 dan menyertai UMNO pada tahun 1986. Persoalannya, mengapakah beliau tidak menyertai PAS?
 
Buku ini memang banyak mutiara ilmu. Kita boleh mengetahui fenomena dunia, pemasalahan Malaysia, politikus, partai dan diri Dr Kassim sendiri. Walau bagaimanapun, saya tidak puas membaca buku ini. Saya merasai Dr Kassim masih menyimpan banyak rahsia dirinya. Dalam bab-bab tertentu pula saya merasai tulisannya itu sebuah esei kemasyarakatan atau politik dunia. Beliau mencernakan pandangan, bukannya kisah dirinya. Hanya kisah berkenaan isu antihadis telah diceritakan perihal penglibatannya yang sebenar dan terasa kepuasan membacanya. Hal ini amat berbeza dibandingkan buku autobiografi Syed Husin Ali berjudul Dua Wajah. Justeru, saya berpendapat Dr Kassim masih perlu menulis autobiografi dirinya. Barangkali, beliau boleh memfokuskan buku itu khusus untuk bidang tertentu sahaja. Misalnya, sebuah autobiografi menceritakan penglibatannya dalam politik. Autobiografi yang lain menceritakan penglibatannya dalam sastera, dan sebagainya. Autobiografi menceritakan pengalamannya di bawah Akta ISA telah diterbitkan, berjudul Universiti Kedua.
 
Itu pandangan saya dan pandangan ini bukan bermaksud buku MJP ini tidak bagus. Telah saya katakan bahawa buku ini banyak mutiara ilmu, khususnya perihal kemasyarakatan. Setakat ini, bukunya dalam dunia sastera ada sebuah sahaja, iaitu buku Kemarau Di Lembah yang memuatkan cerpen dan sajak. Buku tentang esei kesusasteraan belum ada lagi sedangkan beliau bergiat aktif dalam bidang berkenaan. Sebagai peminat, saya menunggu buah kalam Dr Kassim seterusnya.
 
Mengakhiri catatan ini, saya perturunkan petikan kata-kata Dr Kassim sebagai peringatan dan renungan kepada saya dan rakan-rakan penulis.
 
"Minat saya kepada sastera antara lain ialah kerana saya tertarik kepada bahasa yang cantik dan indah yang diperlihatkan dalam novel dan puisi."
                               
                                                                                (Dr Kassim Ahmad, 2008: 51)
                                                                                               

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kenangan bersama-sama dengan Pyan

 Aku kenal Pyan sekitar tahun 1987. Aku selalu bertandang di Rumah Anak Alam, Jalan Merbuk, Kuala Lumpur. Di sini aku berkenalan juga dengan...