Novel 'Ke Pulau Sebatik 1' (kePS) merupakan karya sulung penulis muda bernama Nur Mustika. Berdasarkan catatan biodata, Nur Mustika atau nama sebenarnya Noor Ainna Ab. Hamid mula melanjutkan pengajian di Akademi Pengajian Melayu pada tahun 2006. Majornya dalam Kesusasteraan Melayu dan minornya dalam bidang Pengajian Media. Jika diambil kira tahun pengajian rasmi peringkat sarjana muda dan penerbitan karya sulung pada tahun 2012, maka boleh dikatakan bahawa Nur Mustika seorang yang bertuah. Semangatnya masih berkobar-koibar dan idea mencurah-curah. Dengan keberuntungan itu, saya amat berharap agar pohon intelektualnya terus membuahkan karya-karya lain.
Novel kePS bertolak daripada perahu pengalaman masa lalu diri pengarang. Saya fikir, idea ini wajar dan berkesan, dan patut diteladani. Tidak salah beridealisme yang tinggi-tinggi yang hebat-hebat jika berkemampuan. Tidak salah juga jika bertolak daripada pengalaman, kerana dengan cara ini, pemasalahannya lebih mendekati diri pengarang.
Nur Mustika ternyata berjaya menguli pengalaman masa lalunya hingga membentuk sebuah karya bertulis. Oleh sebab berkaitan masa lalu, maka novel ini padat dengan realiti sejarah. Penceritaan kePS bertolak dari rasa rindu watak terhadap kampung halaman, Pulau Sebatik. Imaginasi penceritaan bergerak mengiringi alam realiti watak Nur dari Universiti Malaya ke KL Sentral, dari KL Sentral ke LCCT, dan dari LCCT ke Tawau. Mengisi pergerakan watak Nur ke tiga stesen itu, Nur Mustika meramburambakan cerita dengan mengimbas kenangannya di Pulau Sebatik. Pulau yang terbelah dua ini menyimpan sejarah penjajahan Inggeris-Belanda, pembentukan Malaysia, kegiatan ekonomi masyarakat, sistem kepercayaan, adat dan adab masyarakat, etnik, dan sebagainya.
Oleh sebab novel kePS kaya dengan nilai sejarah tempatan dan kemasyarakatan, lebih-lebih lagi mengisahkan pengalaman watak Nur, maka saya berpendapat novel kePS ini merupakan novel autobiografi sejarah. Autobiografi kerana mengimbaskan realiti kenangan diri pengarang, manakala kesejarahannya kerana memaparkan realiti sejarah benar di Pulau Sebatik.
Nur Mustika berjaya memfiksyenkan sejarah hidupnya dalam sebuah karya kreatif terbitan ITBM dan PENA. Pengarang berjaya mengawal kisah sejarah agar bebas dari bersifat laporan dengan memfiksyen atau memberi nilai sastera bagi meramburambakan kisah sejarahnya. Hal ini menyebabkan wujud beberapa unsur suspen dan bebas dari jangkaan pembaca. Nur Mustika bijak memainkan perasaan pembaca.
Kesimpulannya, pengarang novel setebal 133 halaman ini berjaya memfiksyenkan sejarah hidupnya, dan kegiatan sosio budaya masyarakat di Pulau Sebatik. Membacanya kita akan dapat memahami sejarah dan sosiologi masyarakat Pulau Sebatik, di samping memahami nilai kasih-sayang dalam sesebuah keluarga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan