Akal Budi Melayu
OLEH ATIQAH ABD RAHIM
Sesi Wacana Ilmu 2020 Siri Kedua
telah bersiaran langsung menerusi laman Facebook rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka
Malaysia pada 15 Julai 2020 yang lalu. Sesi bicara yang berjudul “Akal Budi
Melayu” telah disampaikan oleh Profesor Dr. Nor Hashimah binti Jalaluddin,
pensyarah Program Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Profesor Dr. Nor Hashimah
mendefinisikan akal budi sebagai cara kita memberi makna dan mentafsir alam
sekeliling dengan menggunakan akal fikiran. Kita perlu melibatkan intelektual
atau yang lebih tepat dirujuk sebagai akal budi bagi mencapai makna yang sebenar.
Beliau merujuk buku Datuk Dr. Hassan Ahmad yang bertajuk “Bahasa dan Pemikiran
Melayu”. Buku tersebut menceritakan tentang metafora Melayu atau kiasan Melayu
tradisional seperti peribahasa dan pantun. Metafora Melayu perlulah dikaji dari
perspektif saintifik dan falsafah di sebalik penciptaannya. Banyak pengajaran
dan nasihat yang dapat ditemukan daripada hubungan intelektual metafora
tersebut dengan penciptanya.
Kiasan Melayu menuntut tafsiran dan pemikiran aras tinggi untuk memahami maksud yang hendak disampaikan. Profesor Dr. Nor Hashimah memetik kata-kata Dr. Syed Taufiq al-Attas yang mengatakan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa yang bersifat saintifik kerana memerlukan akal dan fikiran untuk mentafsir serta mengupas maknanya. Beliau memberikan beberapa contoh bagaimana peribahasa, simpulan bahasa dan pantun yang dihasilkan telah membuktikan tingginya aras intelektual penciptanya dan pengguna bahasa Melayu.
Peribahasa bagai isi dengan kuku
yang bermaksud keakraban dalam perhubungan atau persahabatan. Beliau
mempersoalkan mengapa tidak diciptakan peribahasa lain, contohnya, bagai bibir
dengan gigi. Apabila beliau mencari kata kekunci “kuku” di laman sesawang
Kementerian Kesihatan Malaysia, terdapat pelbagai masalah kesihatan yang boleh
dihubungkan dengan warna kuku seseora
ng. Sebagai contohnya, kuku yang
berwarna putih dan dilingkari dengan warna hitam adalah petanda awal kepada
penyakit hepatitis dan penyakit kuning. Kuku dan bibir yang berwarna kebiruan
mempunyai penyakit jantung berlubang. Kuku yang berwarna kekuningan bagi
seorang perokok pula ialah petanda awal kepada jangkitan kulat. Manakala, kuku
yang tidak rata dan mempunyai lubang-lubang kecil menunjukkan penyakit
keradangan artritis atau sinonimnya dipanggil radang sendi. Hasil kajian beliau
ini menunjukkan bahawa orang Melayu bijak mencari analogi yang paling rapat
dengan tubuh badan dan sekelilingnya. Kepentingan menjaga kesihatan dapat
dilihat daripada warna kuku dan telah dikaitkan dengan betapa rapatnya hubungan
antara isi dengan kuku, yang dianalogikan dengan hubungan yang rapat dalam
perhubungan atau persahabatan.
Contoh yang kedua ialah mulut tempayan yang bermaksud orang yang tidak boleh menyimpan rahsia. Tempayan kebiasaannya diletakkan di dapur dan dibiarkan terbuka tanpa penutup. Ciri yang sama juga ditunjukkan oleh periuk. Walaupun tertutup rapat dengan penutup, makanan yang panas dalam periuk tersebut lama-kelamaan akan menyamai suhu bilik. Yang sebaliknya, tempayan yang sememangnya tidak mempunyai penutup menunjukkan rahsia yang disimpan pasti akan terlepas.
Seterusnya, peribahasa kecil
tapak tangan, nyiru saya tadahkan yang bermakna berbesar hati dengan pemberian
orang. Persoalannya, mengapakah memilih nyiru dalam peribahasa ini? Nyiru ialah
alat yang digunakan di sawah padi dan berfungsi untuk menampi beras daripada
sekam. Selepas menumbuk padi menggunakan alu dan antan, padi akan ditampi.
Beras diambil manakala sekam dijadikan bahan bakar seperti membakar labu
sayung, menghalau serangga atau nyamuk dan menyalai ikan yang ditangkap.
Mengapakah sekam perlu dibuang? Ciri sekam ialah miang, tajam, liat dan tidak
boleh dimakan. Fungsi nyiru ini diibaratkan apabila orang memberi kita sesuatu,
dinasihatkan supaya memikirkan terlebih dahulu sekiranya mempunyai unsur miang,
tajam dan liat yang memudaratkan kita. Peribahasa ini mengajar kita supaya
berhati-hati dengan pemberian orang. Begitu juga dengan berita palsu yang
dikongsikan di media sosial. Gunalah nyiru untuk menampi apa yang dibaca dan
akal fikiran untuk menilai sama ada berita tersebut sahih atau palsu.
Peribahasa menanam tebu di tepi
bibir juga dilihat agak janggal dan tidak masuk akal tetapi mempunyai makna
yang tersendiri. Bibir ialah anggota badan manusia yang digunakan untuk
bertutur. Manakala, air tebu rasanya manis. Persoalannya, mengapakah memilih
tebu? Menurut beliau, ciri tebu lebih kurang sama dengan sekam. Beliau
memperincikan struktur tebu yang daunnya kasap, berduri dan miang. Kulitnya
liat dan kita perlu menggigit dan mengunyahnya dengan gigi untuk mendapatkan
air tebu yang manis. Hampasnya tidak dimakan kerana bersifat tajam dan boleh
memudaratkan diri. Pada zaman sekarang, kulit tebu dimasukkan ke dalam mesin
untuk diambil airnya. Dalam erti kata lain, walaupun rasa tebu manis tetapi
boleh memudaratkan diri kita, perkara ini boleh dianalogikan dengan menabur
janji manis melalui kata-kata yang boleh memudaratkan.
Perbincangan menarik tentang
falsafah di sebalik penciptaan metafora Melayu ini mengundang Profesor Dr. Nor
Hashimah untuk mempersoalkan anak muda kini yang suka mencipta peribahasa
baharu di media sosial. Antaranya ialah kecil tapak tangan, padang bola saya
tadahkan; mendengarkan guruh di langit, segala timba dan baldi saya keluarkan;
dan ada udang di sebalik mi. Beliau mengulas keupayaan anak muda ini mencipta
peribahasa baharu yang tidak ada unsur falsafah dan sebab kukuh peribahasa itu
diciptakan. Anak muda ini hanya suka mencipta peribahasa yang mempunyai rima
yang menarik perhatian pengikut laman media sosial. Malangnya, peribahasa
tersebut tidak kekal lama dan bersifat relevan. Yang kekal hanya peribahasa
Melayu lama yang penuh berprinsip.
Profesor Dr. Nor Hashimah juga
mengupas tentang ulam-ulaman sebagai objek dalam pantun Melayu. Beliau telah
mengedarkan borang soal selidik dalam kajiannya tentang keutamaan memilih ulam
yang dimakan. Hasil kajian beliau menunjukkan masyarakat di negari-negeri utara
lebih menggemari makan ulam-ulaman berbanding dengan negeri kelahirannya, iaitu
Johor yang hanya menghidangkan timun atau pegaga sebagai ulam-ulaman dalam
juadah harian. Beliau menjelaskan hal ini berkemungkinan disebabkan oleh
topografi negeri Johor yang mempunyai tanah berasid yang hanya sesuai untuk
penanaman getah dan kelapa sawit. Berbeza dengan negeri-negeri di utara yang
bertanah pamah dan sesuai untuk pelbagai tanaman ulam-ulaman.
Sehubungan dengan itu, beliau
telah menjalankan kajian tentang hubungan kiasan Melayu dengan pemakanan orang
Melayu. Beliau melihat sebab selasih, pegaga dan petai dipilih sebagai objek
dalam pantun. Semua pantun yang melibatkan petai mesti dikaitkan dengan orang
yang berilmu, orang perantara dan jurubicara. Apabila kita memakan petai, mulut
akan berbau, bermaksud pertuturan orang berilmu yang penuh berisi. Semua pantun
yang mempunyai perkataan selasih pula dikaitkan dengan kasih sayang. Selain
itu, labu dikaitkan dengan ciri orang yang sombong. Cili, halia dan ketumbar
dikaitkan dengan sifat panas. Daging juga bersifat panas dan boleh menyebabkan
penyakit kanser. Pantun yang mempunyai perkataan daging yang sering
dikaitkan dengan sikap hipokrit, talam dua muka, menganiayai orang dan bersikap
zalim. Sifat-sifat ini merupakan ciri kanser yang boleh merosakkan masyarakat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan