Khamis, 17 Mei 2012
Bengkel Sajak
Rabu, 9 Mei 2012
Kafir
Dalam entri bertarikh 8 Mei 2012 telah saya tulis bahawa fatwa mengharamkan perhimpunan Duduk-Bantah Bersih 3.0 oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia adalah berbahaya ternyata benar. Mantan Ketua Polis Negara, TS Abdul Rahim Noor dalam kenyataannya terhadap Bersih 3.0 menganggap YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai 'Bapa Kafir." Saya percaya kenyataan itu ekoran fatwa yang menganggap perhimpunan Duduk Bantah Bersih 3.0 adalah haram. Saya tidak pasti setakat mana ilmu agama Islam beliau, namun saya cukup yakin dengan ilmu agama Islam YAB Tuan Guru Dato' Nik Aziz. Jika orang yang tidak pernah meninggalkan solat, apatah lagi solat wajib, dianggap 'kafir,' maka yakinkah anda bahawa TS Abdul Rahim Noor seorang yang beriman mengatasi YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz. Walau apapun pegangan politik anda adalah sangat bersalahan menganggap beliau sebagai 'bapa kafir.' Saya bimbang kenyataan ini akan disebarluaskan oleh TV3 yang sentiasa dahaga isu kontroversi, terutama yang berkaitan pembangkang. Mungkin juga 'ilham syaitan' TS Abdul Rahim Noor itu terbit kesan daripada menonton tayangan berulang kali visual Bersih 3.0. oleh TV3. Dalam hal ini, saya juga yakin bahawa punca asal mengkafirkan ulama itu bermula dari fatwa dan ditambah dengan isu yang negatif yang dimainkan oleh TV3. Sedarlah bahawa institusi kemasyarakatan kita sudah rosak, dan kian dirosakkan oleh media elektronik seperti TV3 dan politikus liar. Ke manakah kita mahu membawa masyarakat dan negara dengan kenyataan-kenyataan liar begini? Selasa, 8 Mei 2012
Fatwa
Hasil Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia menganggap himpunan Duduk-Bantah Bersih 3.0 adalah haram di sisi agama Islam. Fatwa ini disanggah oleh TG Nik Abdul Aziz. Kata beliau, "Fatwakah namanya sekiranya tanpa penjelasan dari kedua-dua belah pihak, terus sahaja dijatuhkan hukuman? Huru-hara tercetus jika ia dihalang. Andaikan himpunan di Gua Musang dan RTC, Kota Bharu ketika kedatangan Perdana Menteri baru-baru ini ke Kelantan dihalang dan disembur dengan air, tidak mustahil ia turut menjadi huru-hara. Jika BERSIH berhimpun dianggap haram, apa pula hukum perhimpunan Presiden UMNO di Gua Musang dan RTC baru-baru ini yang tujuannya jelas mengajak rakyat menukar kerajaan Kelantan? Nurul Izzah (Malaysiakini, 8 Mei 2012) mengemukakan enam soalan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan, yang saya rumuskan sebagaimana berikut: (1) haramkah perhimpunan Duduk-Bantah Bersih 3.0 yang menuntut pilihan raya bebas dan adil?, (2) haramkah perhimpunan Duduk-Bantah Bersih 3.0 yang melanggar larangan mahkamah yang menghalang perhimpunan di Dataran Merdeka? (3) haramkah perhimpunan Duduk-Bantah Bersihb 3.0 yang ingin bersurai telah menerima tindakan kekerasan melampau daripada segelintir anggota polis bertugas? (4) haramkah perhimpunan Duduk-Bantah Bersih 3.0 menganjurkan demonstrasi bagi menjatuhkan kerajaan sah di sisi undang-undang? (5) haramkah perhimpunan Duduk-Bantah Bersih 3.0 kerana membantah proses pilihan raya yang disekat dengan pelbagai akta? dan (6) haramkah perhimpunan Duduk-Bantah Bersih 3.0 membantah kerajaan yang dibantuk berdasarkan pilihan raya tidak adil? Saya bersetuju dengan pandangan YAB TG Nik Abdul Aziz dan YB Nurul Izzah. Sudut pandangan fatwa tersebut jelas nampak kejulingan dan sangat membahayakan. Kenyataan ini boleh mengundang kenyataan juling yang lain, khususnya golongan berkepetingan dalam parti dan si jahil. Pada saya, kenyataan ini amat tidak sepatut datang daripada golongan berilmu seperti para mufti. Kejulingannya akan merosakan imej agama Islam. Jika golongan dianggap ulama pun bertindak juling, maka kepada siapa lagi dapat masyarakat menyandarkan atau memurnikan akidahnya? Barangkali inilah yang dikatakan sebagai ulama di akhir zaman.Sabtu, 5 Mei 2012
Gawai
Tarian Gawai merupakan tarian warisan masyarakat Iban, Bidayuh dan Orang Ulu di Sarawak, dan sekali gus menjadi kebangaan bagi masyarakat dan negara Malaysia. Tarian ini disambut selepas musim menuai, iaitu sekitar bulan Mei atau Jun. Tarian Gawai boleh dipersembahkan secara solo atau berpasangan. Si lelaki menari membongkok sambil berjalan dan membawa pedang. Ada kalanya pedang di tangan dan ada kalanya pedang digigit. Si perempuan pula bergerak perlahan sekadar menginjak-injak kaki dan menarikan tangan, mengiringi rentak tari si lelaki. Penari memakai baju tradisi kaum, berantai manik, berperisai di tangan kiri dan beberapa helai bulu Burung Kenyalang diikat tegak di kepala si lelaki. Si perempuan berpakaian lengkap, berbaju tanpa lengan, berkain skert dan berhiasan di kepala. Nampak sopan dan menarik. Namun, pakaian si lelaki separuh bogel. Hanya bercawat bagi menutup anu sahaja. Aku fikir, cara berpakaian si lelaki itu tidak sesuai lagi, khususnya bagi majlis peringkat nasional. Tepat untuk zaman tradisional, namun tidak tepat pada zaman moden. Apalagi, tarian itu dipersembahkan di hadapan tetamu kehormat dari etnik dan budaya berbeza. Dengan paha dan punggung penuh tatu dan tertonggeng-tonggeng ke arah tetamu pulak, amat terasa ketidaksopanan masa. Alangkah baiknya jika si lelaki memakai trek atau setidak-tidaknya berseluar pendek. Kemudian, diikuti pakaian tradisional yang bermanik-manik itu. Pergerakannya pula disopankan agar tidak membelakang tetamu atau punggung 'tertunjuk-tunjuk' pada tetamu. Manakala air tuak boleh digantikan dengan air mineral.Khamis, 3 Mei 2012
Rezeki
Hari ini, 3 Mei 2012, merupakan perhimpunan bulanan staf kali ketiga. Aku terkesan beberapa maklumat. Dr Jeffriden Pilus menyampaikan tazkirah bertajuk "Rezeki Barakah." Katanya, tanda-tanda barakah ialah sedikit mencukupi, banyak memberi. Beliau juga menganalogikan manusia seperti empat jenis cawan. Cawan pertama tidak dapat menakung air. Cawan kedua melimpahkan air. Cawan ketiga mengotori air dengan nila setitik di dalamnya, dan cawan keempat dapat menakung air nan bersih. Tuan Pengarah pula menasihati agar kami mengelakkan diri daripada unsur-unsur antikerajaan dan gejala negatif yang memusnahkan karier. Sebagai pegawai kerajaan hendaklah memberi ketaatan kepada kerajaan. Kita bebas guna facebook atau blog tetapi jangan mencemari imej seseorang, ketua atau rakan. Jangan sampai kita diheret oleh gejala yang remeh-temeh. Justeru, setiap pagi ketika melangkah ke pejabat hendaklah kita teropong niat di hati. Sebaiknya, selalulah teropong diri sendiri sebelum teropong orang lain. Katanya lagi, hak kita sebagai pekerja ialah gaji. Setiap bulan kerajaan beri gaji tanpa kurang sedikitpun. Bagaimana pula dengan hak kerajaan sebagai majikan? Hendaklah tidak terkurang kesetiaannya. Terkesan betul dengan kata-kata mereka berdua: Ya, Allah, Engkau jauhi daku daripada hamba-hamba-Mu yang sesat.
Sajak Pertama
Di sebelah merupakan siaran pertama sajak aku sejak menetap di Tawau. Sajak ini disiarkan dalam Utusan Borneo bertarikh 24 April 2012. Sajak ini telah lama dikarang: dari pendek hingga menjadi panjang, dari gemuk hingga menjadi kurus. Diksinya sering berubah. Ada yang menjelma dan ada yang menghilang. Demikian, rangkapnya: dari banyak baris kepada sedikit baris. Dari sedikit baris kepada banyak baris. Juga kepuasan: sekejap terasa puas sekejap terasa tidak puas. Telah berkali juga dihantar ke media, namun tidak bersambut. Mungkin rezekinya di Tawau. Apapun, terima kasih Abd Naddin Shaiddin. Beliau telah memasyarakatkan sajak lima rangkap ini. Selasa, 1 Mei 2012
Provokasi
Dia membelasah polis trafik dalam demonstrasi Bantah-Duduk Bersih 3.0. Disepak diteranjangnya polis itu hingga cedera dan rosak motorsikal. Dia merupakan antara ribuan penyokong Bersih 3.0 yang hadir berdemonstrasi pada 28 April 2012. Kemudian, dia dengan wajah sama tetapi berlainan baju, telah menangkap peserta Bersih 3.0. Dia berada dalam kumpulan polis dan bersama-sama polis menangkap peserta Bersih 3.0. Justeru, timbul pertanyaan: Siapakah dia? Ada blogger yang menganggap dia sebenarnya antara 200 anggota polis provokasi yang ditugaskan bagi menghuru-harakan demonstrasi Bersih. Dia dan rakan-rakannya berjaya dalam misi tersebut.
Langgan:
Catatan (Atom)
Kenangan bersama-sama dengan Pyan
Aku kenal Pyan sekitar tahun 1987. Aku selalu bertandang di Rumah Anak Alam, Jalan Merbuk, Kuala Lumpur. Di sini aku berkenalan juga dengan...
-
Berdasarkan cerita lisan, asal nama Kampung Inderasabah ialah daripada perkataan Indonesia dan Sabah. Hal ini kerana masyarakat di sini ...
-
Aku kenal Pyan sekitar tahun 1987. Aku selalu bertandang di Rumah Anak Alam, Jalan Merbuk, Kuala Lumpur. Di sini aku berkenalan juga dengan...
-
Aku belajar di Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) mulai Julai 1987 hingga November 1989 dalam jurusan Pengajian Sekolah Menengah subje...

