Kita ada pilihan sama ada berdiri menunggu kaunter berfungsi atau duduk dan membiarkan selipar/kasut yang beratur. |
Bukan senang mahu jadi senang dan bukan susah mahu jadi susah. Tidak mustahil juga bahawa bukan susah mahu jadi senang dan bukan senang mahu jadi susah. Umumnya beranggap semuanya itu bergantung pada nasib. Orang-orang Islam menganggapnya sebagai sudah ditakdirkan atau sudah ditentukan oleh Allah sejak azali lagi. Dalam hal untungrugi nasib ini, saya percaya Allah tidak menetapkan secara objektif. Oleh sebab Allah telah beri fikiran kepada manusia, maka terserah kepada manusia mencorakkan untungrugi dirinya. Saya percaya bahawa Allah memberi alternatif terhadap untungrugi nasib manusia. Jika manusia itu memilih Jalan A, maka dia akan bertemu dengan sekian-sekian perkara. Jika manusia itu memilih Jalan B, maka dia akan menemui sekian-sekian perkara pula yang menjadi untungrugi nasib dirinya. Ini yang dikatakan keadilan sebab ada alternative bagi manusia mencorakkan untungrugi nasib dirinya. Semua ini bergantung pada akal fikiran atau minda. Minda itu pula banyak dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti keturunan, persekitaran, ideologi, pendidikan, jantina dan sebagai. Bak kata pepatah, minda kecil bincang pasal orang; minda sederhana bincang pasal peristiwa; dan minda besar bincang pasal idea. Minda manakah yang baik? Tentunya minda besar. Namun, minda kecil juga ada baiknya. Dari minda kecil boleh membentuk minda besar. Apabila kita merasa sedih akan nasib sebilangan rakyat Mesir yang mati dibunuh junta tentera diketuai al-Sisi atau kematian kanak-kanak Syria akibat serangan bom kimia, itu tergolong dalam minda kecil. Apabila kita membincangkan sebab-musabab peristiwa itu berlaku, sudah memasuki minda sederhana. Manakala, apabila kita membincangkan cara mengatasinya, maka perbincangan kita itu sudah memasuki minda besar. Kita mempunyai pilihan dan pilihan itu pula bakal menentukan untungrugi nasib diri kita. Saya percaya bahawa pilihan kita itu adalah juga berdasarkan ramalan untungrugi nasib diri kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan