Beberapa tahun lepas pembangkang menuduh bahawa rakyat Malaysia tidak selamat. Sebelum itu, dalam tahun 1990-an, Amerika mengata Malaysia menjadi trasit pengganas. Kedua-dua tuduhan itu disangkal oleh menteri dan pihak keselamatan.
Namun kini, sangat ternyata bahawa kegiatan tembak bunuh berlaku saban hari di Malaysia. Pun kegiatan mencuri, menyamun, meragut, pecah rumah, rogol, gaduh dan segala kejahatan kian menjadi-jadi di sekeliling kita. Maka, saban harilah rakyat Malaysia tidak selamat.
Tuduhan pembangkang dan Amerika itu ternyata ada benarnya.
Gusar dengan ketidakselamatnya itu, ada pihak menyalahkan Perdana Menteri, DS Mohd Najib, kerana memansuhkan Akta ISA. Mereka berseru agar akta itu dihidupkan kembali.
Saya, secara peribadi, tidak bersetuju dengan pandangan bekas Ketua Polis Negara untuk hidupkan kembali Akta ISA. Pada saya, tidak ada kena mengena antara tembak bunuh dengan Akta ISA.
Tembak bunuh ialah kegiatan jenayah. Malaysia sudah ada undang-undang jenayah. Maka gunalah undang-undang itu. Tidak perlu banyak undang-undang. Lebih baik menguatkuasakan atau mengemaskan undang-undang sedia ada.
Pada saya juga, fenomena tembak bunuh itu dilakukan oleh penjenayah terhadap penjenayah atau terhadap orang yang ingin membongkar kegiatan jenayah seseorang. Sejahat manapun manusia tidak akan menembak manusia sebarangan. Tentu orang yang ditembak itu ada sesuatu yang tidak kena sehingga hukuman tembak bunuh dikenakan terhadapnya.
Justeru, lebih baik polis menyiasat akan sebab tembak bunuh itu daripada berusaha menghidupkan Akta ISA. Berusaha dengan seikhlas hati dan semulia niat. Siasat dari manakah senjata api diperoleh? Siapakah pembekalnya? Siapakah pemilik senjata api berlesen? Di manakah pusat belajar menembak dan siapakah ahlinya?
Sebagai rakyat, saya rasa kecewa dengan kegiatan dadah. Walaupun hukum bunuh diperuntukkan dan dilaksana, namun kegiatan dadah dan kedadahan masih berleluasa. Ternyata Akta ISA pun tidak mampu mengatasinya. Maka, saya berpandangan, ada sesuatu yang tidak kena dalam pelaksanaannya. Ia bukan kerana undang-undang, tetapi kerana pelaksanaan. Sudah berpuluh tahun hukuman bunuh terhadap pengedar dadah dilaksanakan, namun kedadahan tidak juga ada titik penamatnya.
Dan, apakah femomena tembak bunuh ini juga tidak menemui titik penamatnya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan